Kassim Masdor.
Nama itu memang terasa dekat dengan aku sejak kecik lagi sebagai peminat dunia seni tanahair. Aku melihat nama itu dalam setiap montaj di penghujung filem melayu terbitan Shaw Brothers (MFP). Namanya pasti terpampang di situ sebagai komposer kepada muzikal soundtrack kepada filem-filem tersebut. Dan sejujurnya, aku rasa nama tu memang agak unik dan pelik bunyinya, menjadikannya mudah sekali diingat.
Ya. Siapa tak kenal Kassim Masdor dengan sentuhan ajaibnya?
Ah, terus-terang sajalah. Memang ramai yang kurang mengenalinya secara lahiriah. Hanya sekadar mendengar nama, sedang wajahnya jarang sekali keluar di dada publisiti. Atau bahkan, namanya pun tidak dikenali langsung oleh sesetengah orang, apalagi oleh generasi muda sekarang. Zaman kegemilangan seniman ini sudah berlalu, tidak sehebat seperti gemilangnya di Jalan Ampas.
Tapi tidak bagi aku.
Di mataku, Seniman Kassim Masdor adalah lagenda yang telah mencipta ramai seniman menjadi lagenda. Dia adalah permata yang telah menjadikan dunia seni tanahair kita bersinar megah suatu ketika dulu. Paling membahagiakan, sinar itu tidak pernah malap meskipun masa telah meragut kegemilangannya. Dia tetap bagai karang di laut yang kukuh berdiri walau diterjah ombak yang membadai. Dan aku percaya. meskipun ramai yang tidak mengenali kini, tapi masih ramai lagi yang mengenang keunggulan muzik ciptaannya.
Pertemuan dengannya hari ini bagi aku sangat istimewa sekali. Manakan tidak, disela keghairahan kami bergambar dengan seniman dan seniwati klasik di lobi hotel, hanya seniman ini yang tidak dijengah peminat. Sejak mula aku perasan dia hanya berdiri sambil memegang lugasinya memerhati rakan-rakan seperjuangannya menjadi rebutan peminat untuk bergambar. Tiada yang datang padanya. Dan aku, tak tahu harus bertanya pada siapa tentang siapa dia. Kupaksa otakku memerah klip-klip figura zaman melayu klasik untuk kugabungkan dengan wajah itu. Kucantum satu-satu figura itu cuba memadankan dengan nama-nama yang aku kenali. Hanya saja seketika kemudian, wajahnya mudanya muncul dengan nama yang samar-samar. Akhirnya aku memberanikan diri untuk bertanya sendiri padanya.
Ternyata, benar. Dialah seniman itu, Kassim Masdor.
Dan, gembira rasanya bila sapaan kita disambut baik oleh seorang manusia yang sudah bergelar seniman. Seperti Datuk Aziz Sattar dan Seniman Kuswadinata, seniman seorang ini juga sangat ramah dan baik orangnya. Beliau tidak lokek dengan senyuman malah sentiasa cuba membuat kita merasa selesa. Rasanya, aku mahu menghabiskan lebih masa berbual dengannya lewat secawan kopi hangat. Tapi,mana mungkinlah, kerana ini adalah hari terakhir penginapanku di hotel ini.
Semoga wajah ini terus kekal di hati peminat sekekal indahnya bait lagu Pelangi Petang, nyanyian Allahyarham Sudirman.
Semoga punya ruang untuk bertemu lagi.
Bersama Seniman Mustafa Maaruf |
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_05.htm
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kassim_Masdor
Shaw Brothers’ Malay Film Productions (MFP)
0 comments:
Post a Comment