Wednesday, September 14, 2011 | By: Luna Biru

Kisah kawan aku 2

Ada sesuatu berlaku hari ini yang menggoyah minda bawah sedarku lalu menggoncangnya supaya membawa kesedaran itu ke permukaan yang benar-benar sedar.

Ia adalah sekelumit kisah rumahtangga yang telah dilayari oleh sepasang suami isteri yang keduanya berusia sekisar 10 tahun dari usiaku.

Pagi itu aku ke rumah mereka dengan niat untuk menjemput si isteri ke satu pertemuan yang sudah kami rancang sejak minggu lalu. Sengaja kuletakkan kereta agak jauh dari halaman rumah mereka kerana aku malas mahu berpusing di hadapan rumah mereka yang agak sempit dengan pokok-pokok bunga yang ditanam si suami. Lalu aku pun berjalan kaki masuk ke kawasan kaki lima rumah mereka. Tidak terlihat temanku itu menyambut kehadiranku seperti selalu, mungkin kerana aku tidak mengirim text mesej padanya awal pagi tadi. Aku hanya bersandarkan janji yang kami persetujui kali terakhir semalam.

Sesampainya aku di kaki lima, terdengar bunyi-bunyi suara yang kurang menyenangkan dari dalam. Bunyi-bunyi suara itu amat kukenal sekali yang datangnya pasti dari sahabatku itu dengan suaminya. Seketika aku mula ragu untuk memberi salam. Hanya berdiri di muka pintu dan berfikir samada untuk meneruskan niatku ataupun tidak. Dalam pada berfikir begitu, sialan telingaku mula menangkap bercah-bercah pergaduhan yang mula berterbangan sampai kepadaku.

Dalam dercak gaduh yang kudengar, si suami menjerit-jerit mengatakan bahawa isterinya derhaka, selalu melawan cakap suami dan langsung tidak hormatkan dirinya. Dia juga mengatakan bahawa dia sudah bosan dengan sikap isterinya yang....(entahlah....kurang jelas kudengar).

Serta-merta aku didera perasaan bersalah. Pasti kerana janjitemu aku dengan sahabatku itu membuat suaminya marah benar. Tapi, kami bukanlah sering keluar bersama. Hanya saja hari ini sahabatku itu meminta aku menemaninya membeli keperluan membuat kek sekaligus meminta aku mengajarinya.

Lalu si isteri pun membalas dengan suara jerit yang sama bahawa dia tidak akan menjadi begitu kalau dirinya tidak merasa sepi. Dia bosan duduk di rumah dan hidup seperti tunggul kepada suaminya.

Si suami pun menjerit lagi dan bertanya apa lagi yang kurang yang dia belum berikan pada si isteri?

Si isteri pun menjawab bahawa dia hanya mahukan kasih sayang suaminya. Sudah lama katanya, dia jadi penunggu setia di katil menunggu suaminya menyentuhnya. Namun si suami malah memilih untuk tidur di bilik berasingan. Katanya lagi, kalaulah dia boleh menjerit meminta suaminya untuk menggaulinya, pasti dia akan melakukannya. Hanya saja dia merasa malu untuk meminta-minta itu semua dari suaminya.

Ok. Stop.
Ini sudah benar-benar di luar tahap yang perlu aku ketahui.
Aku membalikkan badanku dan bergerak pergi. Malangnya, aku sudah benar-benar terlambat. Si suami sudah membuka pintu dan menghempaskannya dengan kuat sekali. Ketika dia membalikkan badannya, baru dia menyedari bahawa aku sudah ada di sana.

Aku benar-benar berharap aku lenyap serta-merta dari bumi ketika itu.

Kami berpandangan. Lama sekali. Dan entah matanya sedang cuba memberitahu aku apa, namun jelas terkandung sesuatu di situ. Barangkali dia berharap bahawa aku tidak mendengar apa-apa dan jangan pula menghebohkannya pada siapa-siapa. Aku tak tahu apa maknanya. Akhirnya, aku cuma tersenyum lirih, menganggukkan kepalaku, dan berlalu pergi ke keretaku. Pertama-tamanya, aku bersyukur kerana meletakkan keretaku agak jauh dari kawasan kaki lima rumah mereka. Sekurang-kurangnya, sahabatku itu tidak sedar bahawa aku sudah datang dan mendengar cerita-cerita yang tidak sepatutnya aku dengar.

Sesampainya di rumah, aku terus mengirim mesej pendek kepada sahabatku itu dengan telefon selular. Kukatakan padanya bahwa aku tidak dapat menunaikan janji temu kami kerana masalah keluarga. Sahabatku itu tidak membalasnya. Biarkanlah. Dia perlu masa untuk bertenang setelah sebuah pertengkaran yang panjang dan penyedihkan.

Merujuk kembali kisah sahabatku ini. Sebenarnya, dia adalah seorang wanita yang sangat lembut dan manis orangnya. Dia melewati zaman remaja yang biasa dengan pekerjaan yang cukup biasa sehinggalah dia bertemu jodoh dengan suaminya ini. Kedua pasangan ini sudah mempunyai sepasang cahaya mata yang salah satunya masih di sekolah menengah dan seorang lagi sudah ke matrikulasi.

Sahabatku ini adalah seorang surirumah tegar yang menjalani kehidupannya dalam rutin yang sama setiap hari. Tiada apa yang menekan dalam kehidupannya kerana semuanya adalah disara suaminya yang bekerja sebagai pegawai kerajaan. Kukira mereka menjalani kehidupan yang normal-normal saja. Pagi si suami pergi kerja dan petang balik kerja, manakala si isteri adalah penghuni setia rumah. Memandangkan kedua anaknya tinggal di asrama, maka sahabatku itu sering mengadu padaku bahawa dia benar-benar merasa sunyi dengan kehidupannya. Maka aku pun mengajarinya membuat facebook. Kukira dia akan dapat mengisi sepinya nyatanya halaman muka buku itu tidak sama sekali menarik minatnya. Aku pernah bercadang agar dia membuka perniagaan sekadar mengisi hidupnya. Ternyata idea itu juga tidak membuatnya berminat.

Sampai akhirnya aku sendiri bosan untuk memberi cadangan yang langsung tidak berguna padanya.

Dan, baru hari ini aku tahu kenapa semua cadanganku itu tidak berguna langsung padanya. Yah...apapun subjek yang mampu pengisi sepi itu, jika tidak benar-benar mampu mengubat sepi, maka ia bukanlah sebuah cadangan yang bijak.

Seketika, beberapa soalan bermain di kepalaku:
1. Lelaki normal mana di dunia ini yang tidak berminat dengan hubungan seks?

Aku enggan mengulas sebenarnya, tapi mungkin si suami menghadapi masalah kebatinan yang malu dikongsikannya bersama isteri.

Ataupun, si suami sudah punya calon lain.

Atau juga, (ini adalah teori abang) ; si isteri sudah melakukan sesuatu yang 'mematikan' rasa si suami hingga si suami hilang minat untuk melakukan hubungan itu dengan si isteri. Menurut abang lagi, seorang lelaki apalagi suami, apabila ia sudah mencapai tahap tersinggung yang melampau kerana perlakuan si isteri, maka mereka akan jadi manusia yang mati rasa. Pakailah seseksi apa pun, selagi hati suami masih tersinggung, semua itu tidak akan berhasil untuk memancing keinginannya (teori ini untuk terhad untuk lelaki 'family man' bukan lelaki jenis gatal,ok!).

....baiklah. Katakanlah teori abang benar, jadi apa agaknya yang dilakukan si isteri itu sampai si suami mati rasa?

...pun aku tak berhak mengulas tapi kurasa teori itu ada benarnya. Sahabatku ini adalah seorang yang skema. Semuanya perlu ada peraturan dan semuanya mesti mengikut acuan. Setiap pergerakan suami di kawal dan setiap pakaian dan menu makanan suami mesti ditentukan. Setiap perhiasan di rumah, susun atur perabot mesti pula mengikut piawaian yang ditetapkannya. Kalau peraturan itu dilanggar, maka si isteri akan mula marah-marah. Kalau si suami sepahkan bilik contohnya lupa sangkut tuala mandi, si suami akan 'didenda' tidur di luar. Bukan sehari, malah berhari-hari pulak tu. Kalau si suami balik lewat, maka sahabatku ini akan merajuk dan balik ke rumah ibunya, pun berhari-hari. Kadang, sampai berminggu.

Fine. Cukupkah alasan itu membuatkan si suami mati rasa?

0 comments:

Post a Comment