Monday, September 19, 2011 | By: Luna Biru

Sebuah Kehilangan



Ini berita paling menyayat hati. 

Seorang bekas murid aku, Farhan namanya, telah ditemui mati lemas petang kelmarin ketika berkelah bersama keluarganya di Sungai Penampang. Mayatnya ditemui di Sungai Petagas beberapa jam selepas itu. Arwah telah selamat dikebumikan pada hari yang sama. 

Al-fatihah untuk arwah. 

Sebenarnya, kehadiran arwah dalam hidup aku agak berbeza dari murid lain. Aku sendiri pun sudah anggap dia lebih dari sekadar seorang murid. Bapa arwah (Encik Suili-yang juga sudah meninggal 6 tahun yang lepas) memang agak rapat dengan kami suami isteri. Aku masih ingat kami selalu lepak minum petang di Restoran Dyna (sekarang sudah tiada lagi). Abang pula sudah anggap arwah Suili ni macam abang sendiri. Susah senang selalu dihadapi bersama sampai kadang-kadang aku jadi jeles dengan arwah. Hehe....waktu tu lah...Hinggalah tiba suatu detik kami menerima berita kematian arwah Suili ketika kami sedang asyik meraikan Eid-Mubarak. Arwah meninggal kerana renjatan elektrik. Begitu tiba-tiba sekali. Padahal, baru saja dia menolong kami mengincar pemandu lori yang sudah langgar lari keretaku di Jalan Kelatuan. 

Waktu itu, arwah Farhan baru berusia 7 tahun. Setiap hari ikut ayahnya ulang alik Papar-Kambizaan naik motor. Kehilangan ayahnya satu tamparan hebat buat Farhan. Entah kenapa aku begitu prihatin sekali padanya. Mungkin kerana mahu menggalas tanggungjawab yang ayahnya pegang selama ini walaupun aku tahu aku tak layak sama sekali. Tapi, setiap kali menatap wajahnya, yang ku terbayang adalah keikhlasan hati sang ayah, serta ketabahannya menghidupi keluarganya. Farhan memang agak manja dengan aku. Aku pula,selalu curi-curi bawa Farhan jalan-jalan ke Pekan waktu pulang sekolah, sementara dia tunggu vannya yang selalu lewat ambil dorang. Memang baik budak Farhan ni. Beradap dan penuh susila. Tak macam budak-budak lain. Meskipun ada yang cakap dia ni jenis panas baran, tapi dia tak pernah pula meragam kalau dengan aku. Entahlah....manusia itu berubah sifat mengikut situasi. 

Dan hari ini, aku dikejutkan pula dengan berita kematian Farhan, sama macam terkejutnya aku waktu terima berita arwah ayahnya dulu. Tak sangka, dalam masa 7 tahun, dia sudah menyusul arwah ayahnya pergi. Apa yang buat aku sedih, sejak Farhan tinggalkan sekolah ni tahun lepas, aku tak pernah punya kesempatan untuk jumpa dia lagi. Dan aku tak akan pernah ada kesempatan untuk jumpa dia lagi sampai bila-bila. Aku tak dapat bayangkan apa perasaan ibu arwah Farhan ketika ini. Sedangkan aku sendiri sudah tak mampu menahan hibaku, apalagi dia. Semoga dia tabah menghadapi segala dugaan. Kehilangan demi kehilangan pasti akan menemukan kekuatan pada sisi lainnya. Aku percaya dia akan mampu berdiri sebagai seorang wanita yang tegar, kerana itu Allah berikan ujian ini untuknya. Dan, aku tak pasti setegar itukah aku kalau aku berada di posisinya. 

Waktu lawatan tahun 6 2010 ke Taman Pertanian, Tenom. Arwah pakai baju merah duduk hujung sekali bertulis GAP.

Original pix (di atas aku dah crop). Arwah dan Eddy, waktu Program Mentor Mentee 2010. 
Apa yang pasti, kehilangan ini pasti lebih dirasai oleh Izwan, adik bungsu arwah, yang juga muridku di tahun 4I.

0 comments:

Post a Comment