Saturday, September 10, 2011 | By: Luna Biru

Aku dan hidupku

Masa berputar dan kita lelah mengejar. Atau barangkali sememangnya ia tidak perlu dikejar-kejar kerana ia akan terus saja berlari. Setiap hari adalah detik-detik penting yang buat kita lupa bahawa kita pernah mengecapi satu dunia yang aman-aman dan damai-damai. Barangkali pula ini balasannya kerana selalu membiarkan masa berlewat-lewat dulu. Atau juga barangkali hidup hari ini adalah sebenar-benarnya hidup yang selalu dimaknakan oleh orang tua yang sudah banyak makan garam. Hidup yang dulu-dulu itu hanyalah sekadar pemanasan badan untuk bersedia kepada hakikat sebenar kehidupan yang rupa-rupanya payah benar.

Aku bukan merungut tentang hidup. Jauh sekali melantun benciku ke langit dan membisikkan marahku pada takdir yang kurang menyenangkan. Hidup tidak perlu mempersalahkan siapa-siapa. Atau apa-apa. Selalu saja yang bukan-bukan itu mampir dan mengucar-ngacirkan hidup. Namun itulah hidup. Bisa saja ia buat kita makin matang atau makin senteng. Terserah pada kental atau lunak minda dan jiwamu. Bahkan imanmu. Barangkali bukan aku yang ditakdirkan menjadi sang puteri yang bisa menyanyi di tepi perigi ditemani dayang-dayang yang beratur setia. Barangkali, aku adalah ksatria yang berjuang di medan perang dunia yang macam-macam telagahnya. Barangkali juga aku cuma ibu kepada dayang-dayang yang perlu sentiasa ada untuk semua.

Apapun aku, inilah hidupku.

0 comments:

Post a Comment