Wednesday, August 15, 2012 | By: Luna Biru

Hidup jangan menongkat langit


"Hidup jangan menongkat langit, kelak tongkatmu patah, baru kau tahu langit tinggi rendah. Baru kau tahu apa rasanya hidup dihempap langit..."

Itu pesan arwah mama (nenda Salmah) yang maknanya tak ku faham langsung dulu. Namun kata-kata itu sering diluah bila aku didapati bersalah kerana berlaku curang pada iman dan kesabaran. Oleh kerana aku anak bungsu dan cucu bungsu, dan agak sedikit lebih dari orang lain dari segi fizikal dan mental, maka egoku pun juga agak melebih sedikit.


Namun saat kedewasaan mulai menginjak usia, aku mulai menyusur sedikit demi sedikit makna yang terkandung pada setiap baris nasihat yang yang diberikan dalam bentuk tradisional itu. Ya, mereka benar. Hidup bukanlah bermaksud untuk menongkat langit. Setinggi manapun bintang yang mampu kita gapai, janganlah lupa rumput yang melata di muka bumi. Segagah manapun tubuh yang kekar melangkah, akhirnya akan longlai juga ditimpa penyakit. Segah manapun suara berazmat, akhirnya akan tersungkur juga oleh batuk dan kerak. Sepandai manapun lidah bersyarah, akhirnya akan kaku dan kejang juga. 
"Maka untuk itu cucuku, berfikirlah dulu sebelum kau bertindak. Sentiasa ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Saat kau gagah, janganlah kau lupa yang kau akan lemah juga suatu hari nanti. Manusia yang kau buang hari ini, mungkin akan membantumu esok hari. Ingatlah, Sesungguhnya Allah takkan redha pada manusia yang dihatinya ada sebiji sawi kesombongan. Dan ingatlah, kau juga perlukan redha manusia untuk kau terus bahagia di muka bumi ini...."

Alfatihah untuk nendaku...


1 comments:

Anonymous said...

ya, kata-kata mutiara yang melunakkan keresahan hati ketika hidup mengalami musim yang rusuh

Post a Comment