Aku masih ingat macamana bersungguhnya aku waktu cuba hasilkan novel tu. Aku buat survey di perpustakaan sebab waktu tu internet belum secanggih yang ada sekarang. Dan, bayangkanlah pada zaman itu bila komputer adalah satu benda mewah yang hanya orang kaya saja yang ada (walaupun masih dalam bentuk database). Sampai tengahmalam aku mengetuk-ngetuk mesin taip tua abah yang sudah keriting rebennya. Waktu tu aku banyak terpengaruh dengan dua novelis kegilaan aku iaitu Mira W dan Sidney Sheldon.
Mulanya aku ragu-ragu juga mau hantar manuskrip kesayangan aku tu takut diplagiat dan disalahgunakan macam cerita Seniman lakonan M.Nasir. Tapi atas galakan Along, akhirnya aku beranikan diri juga untuk ikut peraduan tu.
Tiga bulan aku tunggu jawapan akhirnya yang aku terima adalah senaskah bungkusan yang sama seperti aku kirim dulu. Ya. Aku gagal dalam peraduan tersebut. Tapi bukan itu yang mengecewakan aku. Jesteru alasan pihak pertandingan itu yang mengatakan bahawa novelku itu tidak mengikuti syarat peraduan. Oh ye ke? Aku lupa, itu peraduan novel remaja. Katanya lagi, novel ku itu menarik tetapi terlalu sakastik dan agak melankolik sifatnya. Kukira itu adalah sebab utama kenapa aku tidak pernah lagi mengirim apa-apa hasilanku pada mana-mana pihak.
Tipulah kalau aku katakan bahawa aku tidak kecewa. Namun, aku bersyukur juga sebab dorang kembalikan manuskrip kesayangan aku tu bulat-bulat macam aku kirim dulu. Aku simpan bebaik manuskrip tu di satu tempat yang akhirnya aku sendiri tak tahu di mana.
Kini, hari ini, entah kenapa aku terfikir lagi untuk mencari manuskrip itu di stor tempat abah simpan khazanah lama-lama kami. Setelah sedikit pencarian, akhirnya aku menemukan juga manuskrip tu dalam timbunan fail-fail lama yang sudah berhabuk. Sebahagian manuskripku itu sudah dimakan anai dan ada pula yang sudah genta dimakan waktu. Nostalgik betul rasanya bila melihat detip-detip tulisan yang bertaip di atas helaian kertas itu. Mahu saja kupeluk tapi bila memikirkan yang aku bakal terkena serangan resdung, maka tak jadilah juga aku buat.
Rentetan penemuan itu, satu keberanian muncul yang menjadikan aku merasa bahawa kali ini aku pasti bertemu tuah pada penghasilanku. Dunia penerbitan semakin maju dan dunia sastera pula adalah satu pementasan tanpa visual yang sudah dipermodenkan. Kalau masyarakat dapat menerima Ramlee Ag.Murshid dengan Bagaikan Puteri-nya, pasti Sabrina...sebuah segara ku punya tempat di hati siapa-siapa.
Ya...selama mana aku mahu memendam sebuah berahi pada sebuah watak yang telah dikurnia untukku? Ilham menjadi penulis barangkali terlahir untuk siapa-siapa saja. Namun, menterjemahkan sebuah ilham ke layar pementasan di peta imaginasi adalah antara pemberian termahal yang dikurnia Ilahi.
Kalau aku berani menjual jiwaku, kenapa kamu tidak berani membeli? Tunggukan Sabrina ku muncul dalam satu watak yang penuh protogonist dan antogonist.
0 comments:
Post a Comment