Aku adalah lilin kecil yang sudah kehabisan sumbu. Apiku sudah malap dan batang tubuhku sudah dipenuhi oleh cairan jernih yang hodoh. Tidak ada yang dapat kubanggakan lagi meski sinarku masih mampu menerangi malam yang memekat. Sebentar lagi aku pasti punah oleh masa. Itu perjanjian yang sudah ditetapkan olehNya. Tanpa bahasa, mahupun kata-kata, besok aku pasti menjadi sebahagian isi bumi yang tidak akan memberi manfaat apa-apa lagi kepada manusia.
Aku hanya akan berguna pada sang cacing yang kelaparan dan menerima apa saja yang ditendang oleh manusia.
Namaku Mya. Aku wanita yang sudah mulai diserang kedut tua di hujung mata dan bibir. Aku memakai concealer yang agak tebal untuk menutupinya. Aku tidak boleh terlalu lama terdedah di bawah terik matahari khuatir concealer murahku pecah dan menerbitkan wajah tuaku. Rambutku yang gemulai bergulung sampai ke pinggang itu sebenarnya sudah ditumbuhi uban. Kalau kau selak jauh ke dalam pasti kau menemui sekelompok rambut putih yang rakus memerkosa keanggunan hitam rambutku. Payudaraku yang mengkal dan ranum di balik baju blouse merahku ini sebenarnya adalah ketulan daging lendir yang perlu kupangku dengan baju dalam berbesi yang sudah berkarat. Punggungku yang beralun yang telah membuat matamu tak kalih menatap itu sebenarnya dibaluti lingerie yang telah koyak rendanya baik di belakang mahupun di bawah. Aku adalah kecantikan sempurna yang palsu. Aku memalsukan semuanya sejak zaman keberadaanku di bumi metropolitan ini. Namaku juga palsu. Aku hanya mengingat nama sebenarku sekali-sekala saat melawati klinik yang memerlukan kad identitiku.
Aku melemparkan pandanganku ke serata ruang legar di KL sentral. Tempat inilah pertama kali kujejak belasan tahun yang lalu setelah aku turun dari kapal terbang yang membawaku dari Sabah ke KLIA. Dulu tempat ini tidaklah semeriah hari ini. Tempat ini sudah jauh berbeza dari segi kondisi dan fasilitas. Ia sudah mengalami musim pembangunan dan kemajuan yang drastik. Seperti dirikulah. Hanya saja ia semakin membaik dan akan terus membaik. Tidak seperti aku yang sudah layu seperti beca-beca tua yang dihiasi bunga-bunga plastik yang memudar di bandar Melaka.
Aku menghela nafasku berat. Dulu, belasan tahun yang lalu, di tempat yang sama aku berdiri inilah, aku berdiri. Waktu itu tubuhku masih langsing dan wajahku masih semulus telur rebus yang baru dikupas. Aku hanya perlu tersenyum manis malu-malu untuk mengundang simpati manusia. Teknik itu ternyata berjaya menjadikan aku seorang lagi mangsa kebuasan kotaraya yang lebih hauskan darah seorang dara. Daraku berharga beribu ringgit dan khidmatku menjadi rebutan kuasa-kuasa wang. Hanya yang benar-benar mampu dapat merasai kuasa cengkamanku. Bertuahlah aku kerana walaupun selalu gagal menjadi murid atau pun malang menjadi anak, tapi rupanya aku sangat mahir dalam permainan asmara. Semua itu tidak pernah diajar di sekolah, bahkan ibuku yang sudah tiga kali menjanda itu pun tidak pernah sama sekali mengongsikan ilmunya denganku.
Aku adalah penguasa Bukit Bintang yang dipaling disayangi oleh Mummy Omi. Aku adalah bintang yang bersinar di atas bukit. Kau perlu bertanding lari untuk merebut aku. Aku tidak peduli siapa yang sampai dulu. Apa yang penting ialah, siapa yang mampu membida dulu.
Namaku Mya.
Pasti kalian sudah mampu mengagak siapa aku, apa kerjayaku, dan kenapa aku kembali ke sini.
....bersambung....
0 comments:
Post a Comment