Teruja benar berjumpa dengan Boy malam ni setelah belasan tahun terpisah lepas konvo dulu. Boy adalah antara yang terawal menghulur materai persahabatan zaman maktab dulu. Jauh sebelum aku berkawan dengan abang sekalipun. Ah...setakat orang macam aku, manalah ada ramai kawan. Bilangan jariku jauh lebih banyak dari bilangan kawan.
Sudah dua kali rasanya Boy turun ke Sabah dan merancang pertemuan dengan kami suami isteri. Malangnya setiap pertemuan itu dihadiri dengan aral yang merintang rencana kami. Aku pula, walau sudah berkali-kali turun ke KL tapi tidak pernah terfikir untuk mengadakan apa-apa pertemuan dengannya. Bahkan mahu menghubunginya pun tidak. Kenapa ya? Entahlah. Kadang, hidup itu tidak perlu alasan barangkali. Namun kali ini aku berjanji benar mahu berjumpa dengannya.
Boy yang kutemui malam ini ternyata masih juga Boy yang sangat aku sukai dulu. Mulutnya masih celupar dan lawaknya masih bisa buat aku tergelak sakan. Tiba-tiba aku rindu pada musim-musim lalu saat kami berkongsi segala kisah di tangga kuliah mahupun di dalam kelas. Aku cuba mengingat-ngingat sebuah drama yang buat kami tergelak bagai yang sampai ke sudah aku tak ingat apa ceritanya.
Boy bagi aku adalah seorang kawan yang sangat memahami segala kekurangan aku. Malahan, aku juga sangat mengerti segala kelemahannya dan menerima dia apa adanya. Meski aku bukanlah menjadi favorite pet dan friend di maktab, tapi Boy tetap mahu menjadi kawan aku. Kami pernah berkongsi segala duka dan masalah bersama sehinggalah aku akhirnya memutuskan persahabatan itu kerana sebuah konfrontasi gender antara aku, dia dan abang.
Boy punya tempat tersendiri dalam hati aku. Kami pernah menangis bersama dan pernah melalui kehidupan remaja yang samar-samar maknanya. Biarpun tidak sering bertemu, aku mahu Boy tahu, bahawa dia sudah kuangkat menjadi sahabatku dan tentu saja, dia sudah menempah ruang dalam hidup aku.
Dan Zarul....
Meski sekelas, tapi kami tidak begitu rapat. Entah kenapa, tapi seakan laluan untuk menjadi kawan baik tidak terbuka antara kami. Zarul agak pendiam dan aku bukanlah peramah sangat pun. Tapi begitu-begitu pun, ada sesuatu tentang Zarul yang akan terus jadi ingatan untuk aku. Saat itu, aku tak ingat sangat apa topiknya, yang pastinya, pada akhirnya, Zarul kata begini pada aku;
"Bukan semua benda kau boleh pandang remeh, Zue. Dan bukan semua benda boleh kau pandang ringan. Ada benda kau kena ambil kisah. Kau kena pandai buat penilaian, Zue,"
Sampai sekarang aku gagal mengingat topik perbicaraan aku. Hanya aku ingat topik itu menjurus tentang sikapku dan kata-kata Zarul adalah untuk menegur dan menyedarkan aku.
Kata-kata itu membuat aku menaruh sedikit segan padanya. Bahkan, sampai ke malam pertemuan ini pun, rasa segan itu masih ada. Aku percaya Zarul dah tak ingat semua tu. Tapi tahukah kau, Zarul? Ia membekas sampai sekarang dan menjadi loceng penggera dalam kehidupan aku hari ini. Thanks, Zarul.
0 comments:
Post a Comment