Friday, April 15, 2011 | By: Luna Biru

Simpy Susan....Simple to be love.

Sudah lama aku ingin memuatkan kisah seorang sahabat terbaikku ini. Namun setiap kali aku mula mengetik pena papan kekunci, ideaku mati dan buntu. Aku tidak tahu apa kata-kata terbaik untuk kutuliskan tentang dia. Hubungan antara kami, begitu istimewa, begitu intim, malah lebih dari akrab. Nah kan...jadi apa istilahnya? Kalau aku harus bercerita tentang dia, maka aku perlu menulis sebuah novel untuk mengisahkan perjalanan persahabatan kami. Namun aku cuba meringkaskannya di sini, dalam bentuk bahasa yang paling mudah untuk difahami, juga paling indah untuk dihayati.


Namanya Susan. Penuhnya, Elsa Susanty@Susan Elsa. Aku masih ingat saat pertemuan kami kali pertama di tingkatan satu dulu. Anehnya, aku tidak ingat sejak bila kami mulai rapat. Apa yang pasti, keakraban itu semakin bercambah setiap hari dan berkembang bagai mekar yang dibajai. Kami memang serasi bersama meski dalam banyak hal, pandangan dan kesukaan kami jauh berbeza. Satu-satunya perkara yang dapat kami kongsikan bersama hanyalah melalui novel. Selebihnya, kami tetap selalu berbeza. Contohnya, kalau aku kata Nizam (Laksamana) hensem, dia pula kata Joe (Wings) lagi hensem. Kalau aku suka Keanu Reeves lagi best, dia cakap Brad Pitt lagi-lagi best. Kalau aku kata purple tu warna mati, dia pula suka sangat ngan warna purple. Baginya, hijaulah warna yang mati padahal aku suka sangat dengan warna hijau. Kalau aku suka Bon Jovi, dia kata GNR lebih sedap. Lalu kami pun mula berdebat tentang siapa dan apa yang lebih baik. Perdebatan itu kemudiannya berakhir dengan kedegilan kami mempertahankan pendapat masing-masing, Haha....lucu betul kalau diingat. Tapi perbezaan itu tidak pernah menjadikan kami tersisih menjadi kawan baik. Kami memang serasi.

Susan menghiasi setiap detik dalam kehidupan remajaku selama lima tahun, sehinggalah kami berpisah bila dia melanjutkan pelajarannya. Aku berani cakap, kalau mahu tahu kisah hidupku, siapa pacar-pacar lamaku, tanyakan saja sama Susan. Dia adalah arkib penyimpan khazanah dan artifak kehidupanku. Dan aku percaya, di kepala Susan itu ada otak sebesar gajah yang mampu menyimpan beribu2 gigs ingatan tentang aku. Susan selalu ada baik waktu aku sedih mahupun aku gembira. Dia lebih dulu tahu apa-apa tentang perasaanku berbanding orang lain, termasuk umi yang paling hampir denganku. Tidak ada hari tanpa Susan baik dalam alam  nyata mahupun di alam talian telefon. Kami berkongsi setiap detik bersama bagai kembar siam yang tidak mahu berpisah. Sebegitu eratnya hubungan kami hingga aku merasa bahawa dalam darahku sudah mengalir darahnya yang sebati dalam tubuhku.

Namun, sebagai sahabat, kami tidak lari juga menghadapi saat-saat sukar dan kemelut yang menghimpit nilai persahabatan kami. Bila begini, kami berdua akan menyingkir, berisolasi dan mencari destinasi baru untuk melalui satu tempoh bertenang. Kalau dulu, aku banyak menyalahkan dia. Tapi kemudiannya, aku mengerti bahawa semua itu berpunca dari kesilapanku sendiri. Ya, akulah yang sebenarnya yang salah. Ketika aku mula  berpacaran di usia 16 tahun, aku mula mengabaikannya. Tidak ada lagi petang-petang yang mengasyikkan bersama Susan di rumahnya, Aku mula menikmati dunia kencan sendiri tanpa kehadirannya hingga aku hanyut dalam dunia itu. Aku sama sekali tidak memikirkan betapa sunyinya dia setelah melalui empat tahun bersama aku. Wajarlah kalau dia merajuk dan menyingkir. Tapi waktu itu aku tidak mengerti.

Lalu bila usia kami menginjak 17 tahun, aku berpacaran lagi dengan seorang lelaki yang lain. Nah...kurasa inilah kemuncaknya. Aku, remaja yang mabuk dengan perasaan ketika itu, sudah tidak punya ruang lagi untuk Susan yang setia seperti pantai yang manis. Aku hanya sesekali menjenguk dia saat aku sedih dan keliru. Lalu bila aku gembira lagi, dia kubiarkan sendiri kembali. Sungguh aku tidak memikirkan hati dan perasaannya ketika itu. Aku malah menuduhnya dengan tuduhan yang macam-macam. Padahal, akulah puncanya semua itu terjadi. Oh Susan....Susanku yang manis dan baik, yang selalu setia....

Aku masih tidak menyedari betapa bersalahnya aku hinggalah suatu hari saat dunia pelajar kami tinggalkan. Sungguhpun kami mendapat keputusan yang baik, namun nasib dan rezekinya jauh lebih baik dariku. Allah telah memberikan yang terbaik untuk orang sebaik dia. Susan melanjutkan pelajaranya ke tahap yang aku begitu iri ingin miliki. Namun, aku tersungkur di dada takdir yang akhirnya kukusutkan setiap hari. Untuk pertama kalinya aku mengenal erti cemburu. Aku cemburu dengan keberhasilannya, sementara aku, hanya tinggal di sini menikmati dunia kecilku yang sempit. Aku menangis pada hari pemergiannya. Menangisi ketewasanku untuk bersyukur bersamanya. Ya, aku cemburu, Terlalu cemburu. Aku gagal menguasai perasaan itu.

Lalu, kutinggalkanlah dia dengan perasaanku yang keliru saat aku diizinkan oleh Allah untuk mengikut jejaknya menjadi guru setahun selepas pemergiannya. Aku berusaha untuk tidak membalas setiap surat-suratnya yang rajin bertamu saban minggu. Aku malah mencari alasan untuk tidak bertemu dengannya saat dia pulang bercuti semester. Kali ini,alasanku bukan lagi cemburu. Tapi kerana aku merasa bahawa aku sudah terlalu jauh meninggalkan dia selama ini. Aku sudah tidak terkejar lagi persahabatan kami yang pernah kusisihkan itu. Makanya, aku jadi rendah diri dan mula berundur.

Malangnya, aku tidak sedar sudah berapa jauh aku mengundurkan diri dalam arena perjuangan seorang sahabat. Masa itu berlalu begitu cepat sekali. Sesekali, pertemuan kami jadi kaku. Aku merasa seperti orang asing, padahal, aku begitu merindukan saat-saat kemanisan kami berdua. Masa yang kaku itu berlalu begitu lama. Lama sekali.....Sampai anakku jadi enam semuanya.

Hinggalah detik itu, saat kami dipertemukan dengan temujanji yang diatur pada majlis perkahwinan adiknya, Sandy. Aku masih enggan pergi sebenarnya. Namun, abang terus-terusan mendesak aku. Meski enggan, akhirnya aku bersyukur juga, pertemuan itu, antara kami bertiga, akhirnya menjernihkan kembali hubungan kaku yang aku ciptakan itu. Aku bertatih sekali lagi untuk menghampiri dunia kami yang sudah asing bagiku.

Ternyata...dia tetap Susan yang masih sama....

Ah, Susan...maafkan aku selalu mengabaikanmu dulu. Asal kau tahu, betapa sukarnya aku berdiri selama ini tanpa kehadiranmu di sisi aku seperti selalu. Aku masih juga cengeng dan manja macam dulu, dan masih sentiasa perlukan sokongan untuk aku berpaut. Kau pernah menjadikan aku perempuan setabah karang. Bahkan hari ini pun, aku bisa berjaya kerana kau pernah ada di sisiku dulu.

Terima kasih San....

Kau...adalah darah yang sudah menjadi daging melumuri setiap sel dalam tubuhku. Mana mungkin kupisahkan lagi daging-daging itu...

Love, Ade.

(sori San, kucuri pixmu)

2 comments:

Susan Elsa Saiful said...

Love you so much de. Speechless sekejap bila baca. Especially bila recall peristiwa2 di atas. You know that you are always in that special place in my heart.

Luna Biru said...

pengakuan berani mati tu. Sincere from the bottom of my heart. Sad buy true...

Post a Comment