Tertarik dengan iklan preview filem Ratu The Movie, aku pun melangganlah filem ni untuk ditonton di Astro First. Tapi, sebelum jejariku yang tak professional ni meneruskan ulasanku mengenai filem ini, jom kita tengok dulu sinopsis dan info mengenai filem ni yang aku kidnap di http://www.sinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Ratu_The_Movie_901
Ratu The Movie General Info
Pengarah : Proffesor Madya A. Razak Mohaideen
Kategori : Action Thriller
Skrip : Shukor Mohaideen
Lakonan : Eizlan Yusof (Iskandar), Fauziah Ghous, dan Eina Azman serta pelakon-pelakon baru.
Ratu The Movie : Dari Kacamataku
Sinopsis: Filem “Ratu The Movie” mengisahkan tentang 10 orang calon Pertandingan Ratu Cantik yang akan bertanding di peringkat akhir. Kesemua 10 calon itu telah dikumpulkan di sebuah jeti dan dibawa menaiki sebuah kapal layar ke lokasi yang ditetapkan. Sewaktu dalam pelayaran tiba-tiba berlaku ribut yang sangat kuat sehingga krew kapal dan kesepuluh-sepuluh calon itu terpaksa mendarat di sebuah pulau. Sepanjang malam mereka berada di pulau itu pelbagai kejadian aneh dan misteri telah berlaku. Mereka telah diserang dan satu demi persatu calon-calon itu hilang. Sehinggalah calon akhir berjaya diselamatkan dan diistiharkan sebagai pemenang. Sehubungan itu, segala kejadian aneh dan misteri itu merupakan salah satu daripada perancangan pihak penganjur untuk mencari ratu cantik yang sebenarnya di mana kesemua calon telah dinilai bukan sahaja daripada segi kecantikan, malah mereka turut dinilai daripada aspek kelakuan dan sikap serta kekuatan mereka menghadapi cabaran ...................................................................................................................................................................... |
Sebenarnya, aku tak perasanpun ini filem Professor Madya Razak Moheideen. Kalau aku tahu, sumpah aku tak nak tengok. Apalagi ke tahap nak menghabiskan duit aku pergi beratur membeli tiket, mahupun melanggan di Astro First. Betul-betul aku tergoda tengok preview movie yang ala-ala Sorority Row tu. Manalah tahu, kalau-kalau tahap perkembangan filem kita ni bakal berubah di dunia millenium ni kan?
Tapi, kemudiannya, apa yang kutonton dan kusaksikan selama 1 jam 20 minit di layar TV Plasma 48 inchiku itu hanyalah sebuah rekayaksa yang menyeksakan jiwa ragaku. Sungguh aku tidak menyangka bahawa masih ada filem sebegitu klise dihasilkan lagi dalam dunia serba moden ini. Alangkah naifnya bahawa produser segagah Proffesor Razak yang sudah menghasilkan lebih dari 30 filem dalam jangka masa lima tahun, masih menghasilkan filem yang kosong jiwa.
Terlalu banyak kelemahan yang dapat dikesan dengan begitu mudah dalam filem ini. Antaranya;
1. Penceritaan dan jalan cerita yang begitu simple dan klise.
Proffesor cuba mencari kelainan dengan menggunakan program realiti sebagai subjek permulaan cerita. Cerita berkembang dengan baik dan teratur, namun, ia hanyalah sebuah penceritaan yang kaku dengan kejutan yang sudah boleh dijangka.
Elemen thriller yang cuba dihidupkan sama sekali tidak menjadi dan langsung tidak mendebarkan. Pengarah juga tidak mampu mengaitkan kesinambungan sesuatu peristiwa dengan sebuah peristiwa yang lain. Padahal, mereka mempunyai peluang untuk menjadikan filem ini lebih dramatis lagi. Contohnya mengenai insiden yang berlaku pada Shireen sebelum mengikuti rombongan percutian itu. Namun, kejadian ini dimatikan begitu sahaja dan Shireen terlepas dari hukuman.
2. Pelakon yang plastik dan kaku.
Kehadiran bakat-bakat baru menjadi taruhan besar Proffesor dalam menghasilkan filem ini. Namun bagi aku, itu bukanlah penyebab kenapa filem ni gagal di panggung. Sesungguhnya, memang pun lakonan pelakon-pelakon ni nampak sangat kementahannya menjadikan filem ini semakin suram dalam durasi masa. Rasanya macam sia-sia saja pencarian bakat dijalankan di seluruh Malaysia untuk filem ini, kalau prof. tidak dapat mencungkil kemahiran pengarahannya untuk membentuk pelakon yang baik. Kecuali lakonan anak buah Juliza Adlizan yang boleh diketengahkan, yang lain, tiada apa yang dapat dibanggakan.
3. Skrip yang kurang mantap
Penghasilan skrip juga masih diparas amatur dan tidak menepati program realiti yang sebenar. Rasanya untuk skrip ni, penulis kena lebih sensitif mengenai isu dan rentak program realiti. Yalah, kalau diikutkan, sudah namanya Program Realiti, mestilah kameraman ikut ke mana-mana pesertanya pergikan? Ini tidak, kehadiran pembantu seperti Encik Johan dan Dani seolah-olah hanya bertindak menjadi bodyguard yang gila kuasa. Langsung tiada persamaan dengan dunia program realiti.
4. Perkaitan masalah dalaman peserta program tidak memberi kesan.
Setiap peserta dalam program ini mempunyai masalah dalaman masing-masing yang berkait dengan masa lalu mereka. Namun, apa yang malangnya, permasalahan peribadi ini langsung tidak mempengaruhi jalan cerita. Aku rasa, dorang saja-saja letak adegan ni sebab nak panjangkan cerita. Kalau tiada adegan ni pun, rasanya macam tiada apa-apa. Rugilah awek yang berlakon adegan rogol tu. Huhu...
5. Suspen yang tidak menjadi dan boleh dijangka
Bermula dari awal cerita lagi, dengan hanya sekali tengok senyuman si Johan dan si Eizlan tu, juga kedinginan sikap Cik Fouziah, aku dah dapat jangka semua ni memang permainan mereka semata-mata. Adegan yang sangat menyemakkan mata ialah apabila kehadiran helikopter penyelamat yang langsung tidak dapat melihat peserta sungguhpun sudah di depan mata. Pihak pengajur program tersebut juga nampak sangat bersungguh-sungguh menyakinkan peserta mengenai kapal mereka yang sudah hancur dipukul ombak. Padahal, dorang langsung tak tengok kapal tu atau menerima berita dari mana-mana pihak.
6. Pengakhiran yang 'menyedihkan'
Sungguh aku masih mengharapkan ada sesuatu di akhir cerita yang boleh menghidupkan filem ini. Namun, hingga ke titisan filem terakhir, nyatanya, ia hanyalah menambahkan kekecewaanku. Aku tak faham kenapa sebegitu mudahnya cerita ini berakhir dengan keadaan watak peserta utama yang datang ke majlis penutupan program seolah-olah dia adalah ratu yang ditunggu pada malam itu. Kalau pun benar, kenapa tak buat cerita macam SURVIVOR tu. Kan ke lebih menarik lagi. Lepas tu, peserta-peserta lain pun selamba saja tepuk tangan meraikan kekalahan mereka. Walhal, kemenangan itu bermakna penghinaan untuk mereka yang tamakkan harta dan pentingkan diri. Mustahil ia dapat diterima begitu saja dengan senyum-senyum. Huh...sungguh tak reallah...
Walau apa pun, ini cuma pandangan dari perspektifku sendiri. Anda mempunyai pilihan sama ada ingin terus menonton filem ini atau tidak. Mungkin citarasa kita berbeza. Apa yang aku tuliskan di sini adalah pendapat peribadi dan ia sekadar memberi gambaran tentang kualiti filem ini. Apa yang pastinya, kualiti masih dalam tempurung kemalaysiaan. Sungguh, itu orang sehebat Prof, seharusnya dia membelanjakan bajet itu untuk menghasilkan sebuah filem yang lebih berkualiti. Ini langsung macam tak ada editor yang memantau Quality Control. Kalau ada kerja kosong untuk itu, bolehlah tawarkan kat aku. Ataupun, kalau prof dah banyak duit sangat, bagus lagi sumbangkan untuk projek SERASI aku yang tak siap-siap tu. Huhu...
...bersyukur ada KRUSTUDIOS...
0 comments:
Post a Comment