Kenanglah aku,...sebagai perempuan itu, yang masih bergelar sebagai saudara seislammu, yang pernah berakad menjadi keluargamu. Dan sesungguhnya aku benar-benar menyayangi kamu, seadanya, seperti mereka yang sedarah dan serahim denganku.
Kenanglah juga, saat kau nekad merentap ikatan itu dengan menukul paku-paku karatmu di dinidng hatiku. Demikian kerasnya bagai ingin kau membenamkan paku-paku itu agar tak bisa tercabutkan lagi. Hingga banyaklah kesemuanya, memenuhi jantung, hati dan relung. Namun kau bagai tak puas juga. Terus menikam aku lagi, dengan belati yang kau simpan dalam mulutmu.
Mohon kau kenang juga, setiap butir paku karatmu yang kau benamkan di dalam aku. Hingga berdarah hatiku itu untuk terus mengenangmu. Juga mohon kau kenang juga, perihal ketabahanku saat menunggumu datang untuk mencabutnya kembali. Namun kau tak kunjung datang. Meski sudah kukirim pesanku lewat munajat pada Tuhan.
Aku juga mahu kau kenang pengakuanku ini; bahawa aku sudah jenuh menunggumu datang, hingga akhirnya aku nekad mencabutnya sendiri, Hingga berlubang-lubanglah hatiku. Luka di lubang itu, sudah menyembuh, tapi hatiku itu sudah tidak pernah sama lagi seperti dulu. Aku sudah mencuba, tapi aku tak pernah bisa, atau belum bisa. Aku bukan malaikat.
Kerana aku hanyalah seorang perempuan itu., Yang masih bergelar saudara seislammu, yang masih terakad untuk menjadi keluargamu. Namun, tak bisa lagi aku menyayangimu dan menghormatimu, seperti mereka yang sedarah dan serahim denganku.
Mohon jangan pernah kau lupakan semua ini. Kerana aku akan terus menuntut hakku di hadapan Tuhan, dan aku akan terus memburumu, biar kita berpadang di bumi masyar.
0 comments:
Post a Comment