Thursday, April 21, 2011 | By: Luna Biru

Itu aku...

Bahawa inilah aku....

Tukang pendam dan diam yang paling utuh. Semua cerita yang kudengar kupahat kemas-kemas dalam hati. Atau kubuang saja ke laut. Yang pastinya, ia tidak akan keluar dari mulutku untuk membinasakanmu. Tidak juga hanya untuk sekadar ingin tahu. 

Kenapa aku begitu?

Kerana dari kecil aku sudah biasa melihat orang-orang yang kusayangi bertengkar kerana fitnah dan umpat. Juga atas alasan ingin menjadi pendamai atau bahkan sekadar ingin jadi tukang sampai. Sistem keluargaku musnah kerana peranan si tukang sampai. Lalu abah mengurung kami di rumah, jangan ke mana-mana, supaya kami tidak terlalu bergaul dan bertukar cerita. Supaya kami tidak menjadi orang yang terlalu banyak cakap. Kerana bagi abah, banyak bercakap, banyak silapnya. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut kita, itu bukan hak kita lagi. Ia bisa saja sesukanya dimanipulasikan orang.
Lalu semua itu membentuk aku yang begini. Bukan pendiam. Tetapi memendam. Ajaran abah masuk benar dalam setiap aliran darahku, tanpa aku sempat berfikir samada ia benar atau salah. 

Namun kemudiannya, sikap itulah yang banyak membunuhku setiap hari. Bila semua cerita yang disampaikan padaku, kutelan atau kubuang seenaknya. Aku lupa, orang lain bukan begitu. Mana mungkin orang lain boleh jadi seperti aku, sedang aku sendiri juga tidak mampu menjadi mereka. Ya...kenapa aku mampu menapis mana yang benar untuk ditelan tetapi mereka tidak? 

Ya Tuhan...aku paling benci situasi seperti ini. Bila manusia bertindak menjadi hakim pada acara pengadilan yang berat sebelah. Aku paling benci dihimpunkan dalam satu mesyuarah lalu dihujam dengan soalan samada benar atau tidak. Atau malah, tanpa soalan, hanya tuduhan. Tuduhan itu pula tidak meminta penjelasan kerana mereka sudah punya tentatif  sendiri. Ia hanya mengingatkan aku pada detik-detik sebelum itu....saat keluargaku bertengkar untuk saling menyalahkan. Yang si A menuntut kebenaran, sementara yang si B menafikan kesalahan. Sedang aku tahu bahawa si B memang benar-benar salah. Namun si B mampu berlakon sebaik mungkin hingga menjadikan si A mangsa keadaan. Aku terlalu kecil waktu itu untuk memberitahu siapa yang benar dan siapa yang salah. Aku hanya mampu melihat si A terus-terusan dikecam oleh sebuah rekayaksa cerita yang tiba-tiba punya saksi dan bukti. 

Lalu begitu juga seterusnya pada rentetan demi rentetan peristiwa yang datang dan pergi dalam hidupku...sebuah deretan cerita yang selalu tiba-tiba punya saksi dan bukti, yang kadang-kadang teriring dengan sumpah atas nama Allah. 

Kenapa selalu begitu? 

Oh tolonglah...aku paling tidak percaya pada pengadilan seperti ini!

Salahkah ajaran abah? 

Salah juakah aku? 

Mungkinkah seharusnya aku yang perlu bertindak duluan; menjadi tukang sampai sebelum menjadi mangsa. Tapi aku bukan begitu....Kenapa hidup terus mendesak aku untuk jadi seperti itu? 


0 comments:

Post a Comment