Thursday, April 14, 2011 | By: Luna Biru

Apa yang menjadikan kita lebih baik?



Apa yang menjadikan kita lebih baik dari orang lain?

-Akhlak : jawab abah
-Rupa paras : kata kawanku
-Harta? :
-Keluarga!
-Jawatanlah....
-Ketrampilan & Keanggunan

.....well....semuapun jawapan tu betul kalau digabungkan. Dan kalau semuanya bergabung dalam diri seorang manusia,maka jadilah dia seorang yang sempurna.

Soalnya, adakah manusia sempurna?

Jadi, apa yang menjadikan kita merasa kita lebih baik dari orang lain hingga kita merasa yang kita berhak untuk mencanangkan keburukan orang di khalayak ramai? Sesungguhnya, memanglah mudah mencari dan men'detect' kesalahan orang lain. Sama mudahnya menuturkan keburukan itu untuk diperdebatkan di medan bual bicara baik di meja kopi atau di padang balapan. Tetapi amatlah sukar untuk merenung diri sendiri untuk bermuhasabah dan mempelajari kelemahan orang lain untuk dijadikan batas dalam kehidupan kita. Kita kadang-kadang bersifat tidak adil dengan hanya memandang dunia dengan sebelah mata sahaja. Sebelah lagi kita tutup dengan kedua tangan kiri dan kanan.

Tapi dalam banyak-banyak jawapan, aku paling suka jawapan abah. Ya, benar. Akhlaklah yang sebenarnya membezakan kita dengan orang lain. Ini bersesuaian dengan hadis nabi yang menuntut kita untuk menjaga akhlak. Akhlak yang dimaksudkan di sini ialah termasuk adab menjaga pergaulan, menjaga mulut, berbaik sangka dan bermanis wajah. Akhlak merupakan pakaian kita. Buruknya akhlak bermakna, compang-campinglah pakaian. Aku sedar aku belum sampai ke tahap itu. Terlalu banyak kekuranganku. Namun aku bersyukur bahawa dalam kekuranganku menjaga adab mulutku (yang sebenarnya laser gila), aku masih disaluti akal yang waras untuk tidak terlalu bersifat emosi. Aku masih mampu (sedikit) menjaga hati dan perasaan orang agar tidak terlalu sakit bila setiap kali berkomunikasi denganku. Aku juga masih mampu mengawal (pun sedikit), hatiku ini agar tidak terlalu berprasangka negatif dengan orang. Paling penting, meskipun sedikit, aku tetap mampu membatasi diriku untuk tidak membeberkan keburukan orang lain dan membalas serangan hendap kepadaku yang selalu bertujuan untuk membinasakan pertahananku.

Alangkah baiknya kalau aku bukan cuma ada sedikit....kalau banyak....mesti aku dah boleh jadi tahap riak. Huhu...Tapi sekurang-kurangnya, dengan bekalanku yang sedikit itu, aku yakin ada banyak hati yang dapat kujaga (walaupun sedikit).

So, my friends....all of us, and me...sama-samalah kita berusaha memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik baik di mata masyarakat mahupun di mata Allah. Tolong ingatkan aku kalau aku mula melupakan yang sedikit itu dan semakin mengurangi nisbahnya hingga menjadikan aku sebagai manusia perasan sempurna. Sesungguhnya, tiada manusia yang sempurna. Kita juga bukanlah yang terbaik. Maka, berhentilah mempertualangkan maruah orang lain di tangan dan lidah kita kerana sekejap saja, Allah akan mengembalikan segala aib itu ke mukamu. Segala bicara buruk yang kira lemparkan ke muka orang lain pasti akan kembali kepada tuannya.

Tolong ingatkan aku...

0 comments:

Post a Comment