Monday, April 11, 2011 | By: Luna Biru

Hati wanitaku...

Satu komunikasi yang tidak jelas sifatnya telah berlangsung antara aku dan sahabat lamaku. Terus-terang saja, aku tidak tahu ke mana arah isu perbincangan kami yang sudah melebihi kuota ketetapan masa yang aku tetapkan itu. Akhirnya, aku sudahi perbincangan itu dengan satu klik di hujung jariku. Begitu mudahnya. Padahal, bisa saja perbicangan itu menjadi lebih jauh sulit dari yang sebelumnya.

Ah, sahabatku. Kenapakah kau begitu? Selalu menyasar aku dengan soalanmu yang tak berpandu. Kau selalu menghujam aku dengan soalan berbentuk sangat peribadi yang tidak ingin kukongsikannya pada sesiapa pun. Dan kau tidak pernah mahu menghormati keputusanku yang memilih untuk terus merahsiakannya. Kau selalu terus mendesak dan mendesak aku. Hingga aku jadi nanar dan naif dalam pertemuan kelabu di dunia maya yang seharusnya indah. Dan alangkah sulitnya membuatmu mengerti bahawa aku punya hak untuk memilih itu.

Hati wanitaku, adalah bagai laut yang dalam, yang di dalamnya penuh kesegalaaan. Apa saja yang kau buang ke dalam aku, barangkali bisa timbul, barangkali bakal tenggelam. Kadang-kadang, bisa jua yang terbenam menyusup ke dasar pasir, lalu hilang dari mata, tapi yang pastinya, masih di situ, di dalam aku. Mana mungkin bisa kugali lagi pasir itu dan memperlihatkannya padamu kerana ia sudah terlalu jauh terbenam di situ. Kenapa tidak kita biarkan saja ia terus terbenam di situ? Kenapa mesti digali lagi, cuba mencungkil apa isinya? Sedang itu adalah milikku. Milik peribadiku yang sudah sebati bersama lautku yang masih dan biru.

Sahabatku, aku tahu kita sudah cukup tua untuk semua ini. Bahkan aku pun bukan muda lagi. Masa sudah merompak remaja yang belia dengan hati yang merah jambu. Izinkanlah aku menjadi pelukis pada kanvasku, melakar sebuah lakaran yang seluhur mahuku, bukan mahumu. Mana mungkin kau bisa menentukan lagi apa yang perlu dan tidak perlu di atas kanvasku, sedang aku sendiri masih mencari-cari murniku di atasnya. Kenapa tidak kau menjadi pemerhati yang menunggu hasilanku, mengagumi kesenianku dan mengucapkan tahniah atas keberjayaanku? Jangan rosakkan kanvasku dengan emosi masa lalu kita. Aku hanya seorang pelukis, yang melukis seadanya, semahu fikiranku. Aku bukan perakam gambar, yang menggambar realiti dan dicetak seadanya. Sama hakikatnya, perbezaan seorang novelis dan journalist; teorist dan idelist. Aku cuma aku...wanita itu....

Aku tak terbiasa dengan semua ini, dari dulu, sejak aku mengenalmu, bahkan hingga kini, masih aku tak terbiasa. Masih...

0 comments:

Post a Comment