Thursday, May 12, 2011 | By: Luna Biru

Drama JUVANA : Dari kacamataku

Ketika entry ini kutulis, aku baru saja menyudahkan empat kali pusingan menonton drama JUVANA dari episod 1-3 melalui youtube. Anehnya, aku belum bosan-bosan juga. Aku malah memaksa anak-anakku, suamiku dan rakan-rakan sekerjaku untuk turut sama menonton drama yang penuh pengajaran ini. Aku mahu drama ini menjadi satu sejarah kepada satu anjakan fenomena baru dalam industri hiburan di tanah air kita. Aku mahu ia menjadi drama yang ditunggu-tungu setiap minggu. Aku juga mahu sekeluarga berhimpun di depan televisyen dan menghayati setiap bait nilai yang cuba diterapkan dalam slot ini. Aku mahu ianya menjadi sehebat Akademi Fantasia. Hebat ketika ditayangkan, dan nostalgik saat dikenangkan.

Tinggikah sangatkah impianku? 

Nyatanya, dalam tiga minggu tayangan, penonton JUVANA sudah mencecah ke angka 2.4 juta. Alhamdulillah...

Kukira drama ini punya kelasnya tersendiri. Kehadirannya sangat tepat pada saat dunia kita yang sedang bergolak dengan gejala sosial remaja hari ini. Aku juga berharap agar drama ini bukan hanya sekadar ditonton. Tapi juga untuk diinsafi oleh semua golongan agar kita saling menjaga nilai pilar kerukunan dalam kekeluargaan kita. Alangkah malangnya jika suatu hari nanti anak kita masih menempati tempat itu sedangkan kita sudah melihat hidangan busuk itu di depan kaca televisyen kita sendiri. Alangkah ruginya kalau kita tidak mampu mengambil sebarang ikhtibar dari keberkesanan sebuah amanah yang dipikul oleh barisan pelakon-pelakon JUVANA yang mengesankan itu. Aku tabik spring pada krew JUVANA dari sebesar-besar jawatan hinggalah sekecil-kecil peranan. Aku tadahkan 5 bintang percuma tanpa diskaun. Ambillah semuanya. Kalian memang layak.

Melantun sangatkah pujianku?

Manakan tidak. Apalagi yang kita mahu? Saat industri filem dan hiburan di Malaysia ini sedang sarat mempertontonkan genre seram dan ganas tanpa kompas,muncul JUVANA dengan sejuta kelainan. Bukan jalan cerita yang menjadi ukuran, namun sentuhan teknik penceritaan, mainan peranan seorang pemeran, sinematografi dan skrip menjadi taruhan pujianku ini. Semuanya nampak begitu sempurna meski ada sesekali nampak janggal di mata (maklumlah dah tengok empat kali jadi mata lebih awas dan peka). Namun semua itu tidak mencacatkan sebuah penampilan JUVANA yang terkesan mengujakan.

Kepada anda yang belum sempat menonton, jangan lewati peluang ini. Saksikanlah sendiri sebuah kisah yang mampu membuat kita menjadi tukang fikir dan pekun di tempat duduk sendiri. Kepada remaja yang masih serabun ayam, jangalah bersuluh di tengahari. Semoga kisah ini menjadi titik tolak kepada satu pembaharuan kepada perubahan serta penghijrahan minda dalam diri kita.

Yah....nampaknya kita semua sudah semakin matang memilih tema cerita. 

Lakonan itu wujud kerana sebuah idea yang benar. Pelakon itu hebat kerana sebuah amanah. Terima kasih kerana telah menyampaikan amanah itu dengan baik. Amin....

Silakan google untuk mencaritahu informasi mengenai drama ini.

0 comments:

Post a Comment