Friday, October 14, 2011 | By: Luna Biru

Rumusan untuk tour KSSR

Maka, berakhirlah episod tour KSSR aku pada hari ini, detik ini dan ini jam, ini minit.

Syukur Alhamdulillah....

Apa-apa jemputan selepas ini tidak akan aku layan lagi. Cukuplah sudah segala amanah yang kugalas ku jalankan sebaik mungkin. Aku bukan terbaik. Ada lagi yang lebih berkemampuan dari aku. Maka, berikanlah tugasan itu untuk dijalani oleh mereka pula.

Secara keseluruhannya, aku boleh anggap tour ini berjaya. Ia boleh diukur dengan pencapaian baik peserta yang boleh dilihat melalui bengkel dan persembahan. Kesemua tempat memberikan komitment yang padu serta menunjukkan kefahaman mereka melalui sesi demi sesi yang dijalankan. Sungguhpun beberapa kesalahan kecil berlaku namun ianya dapat diperbaiki melalui sesi soal jawab. Syukurlah.

Namun, ada beberapa insiden yang sangat tidak menyenangkan berlaku di salah sebuah daerah yang tak perlulah kusebutkan namanya di sini. Memang sejak awal lagi ketika menerima jemputan tersebut hatiku sudah mula diserang sedikit keengganan. Keengganan itu berlangsung hinggalah pada hari aku berangkat ke sana. Lalu mungkin Tuhan mahu memberi petunjuk, maka beberapa insiden yang tidak diingini pula berlaku sepanjang perjalananku ke sana. Pertamanya, pihak urusetia daerah itu berjanji untuk mengurus penginapan sepanjang tempoh aku di sana. Malangnya, pada hari aku berangkat, aku difahamkan agar aku membayar snediri tempat penginapanku dan boleh membuat tuntutan kemudiannya. Ya. Memanglah boleh. Masalahnya, aku memang tengah kantoi duit waktu tu. Macamanana aku nak dahulukan duit penginapan sedangkan aku sendiri tak berkecukupan?

Akhirnya masalah itu selesai bila pihak PPD aku sendiri yang telefon urusetia di sana untuk uruskan penginapan aku. Aku pula waktu tu sudah mula tawar hati. Mahu saja aku pulang waktu tu juga. Tapi bila mengingatkan harapan orang dan amanah yang kupikul, akhirnya aku pergi juga.

Pada hari pertama kursus, aku mula disogokkan dengan pertanyaan seorang peserta kursus yang agak jauh menyimpang dari slot yang sedang aku bincangkan. Aku cuba menenteramkannya dengan mengatakan bahawa slot yang ditanyanya akan dibincangkan pada hari kemudian. Mungkin malu dengan jawapanku, peserta itu kemudiannya bertanya lagi soalan-soalan yang diputar-putar bentuknya. Sungguhpun aku dapat menguasai keadaan itu, namun jauh di hatiku mula berdetik bahawa, inilah sebabnya hatiku enggan ke sini. Aku tahu aku bakal menghadapi keadaan yang jauh lebih sulit lagi selepas ini.

Akhirnya kekusutan di hatiku terbukti pada hari terakhir kursus. Ketika itu aku sedang mengadakan slot Standard Pentaksiran. Aku tahu slot ini memang selalu berada dalam tahap bahaya. Dan sesungguhnya, aku memang sudah cukup bersedia untuk keadaan itu. Aku bukan baru dalam bidang ni. Aku tak kata aku pandai. Tapi boleh tak faham yang aku yang ni cuma bertugas sebagai penyebaran maklumat. Aku bukan cerdikpandai dalam bidang Seni. Aku bukan ada degree dalam bidang seni. Aku cuma lulusan diploma dari maktab saja. Tapi bidang tugas aku lebih kepada penyebaran maklumat. Aku tak bertanggungjawab langsung dalam penggubalan undang-undang BPK. Itu kerja panel lain.

Lagi satu, aku juga bukan bodoh untuk menilai soalan-soalan yang diajukan. Ada pelbagai jenis soalan yang boleh diajukan kepada JU. Ada soalan bodoh, ada soalan menguji, ada soalan benar-benar mahu tahu, ada soalan meminta pendapat, ada soalan sekadar untuk menunjuk pandai....dan aku terperangkap dalam soalan yang menyakitkan hati. Benar, sebagai JU aku kena siapkan diri aku dengan apa juga keadaan. Tapi apa yang berlaku hari ini benar-benar menguji tahap kesabaran aku. Memang tak patut pula rasanya bila peserta mempertikaikan aktiviti dua standard kandungan yang lebih menjurus kepada teori seni. Teori seni pula dibina sebagai bahan instrument untuk dijadikan bahan pentaksiran dan evidens. Kenapa pula wujud persoalan untuk mengubah aktiviti pada RPH sedangkan hakikatnya RPH tersebut akan disambung pada minggu hadapan? Aku tak mengerti hala tuju soalan tersebut. Berkali pun kuterangkan namun aku terus menerus didesak dengan persoalan yang sentiasa ada konsekuensinya. Aku tak tahu jawapan apa yang diharapkan peserta dari aku. Aku rasa aku langsung tak dihargai dan diperbodohkan. Tetiba saja aku rasa semua pengorbanan aku untuk tour KSSR ni tak bermakna sama sekali.  Apa yang paling aku kesalkan ialah bila ada manusia yang bertanya tetapi dia sendiri sudah menyediakan set jawapan dalam kepalanya. Lalu, apabila jawapan yang kita berikan tidak sama dengan istilah yang sudah dikarangnya dalam kepalanya, mereka akan menjadi ekstrem. Soalan terus diputar dan diputar hingga jawapan yang diberikan sama dengan jawapan yang sudah dirancangnya dari awal.

Ada pula lagi jenis soalan yang berbentuk hitam putih. Aku kadang-kadang dipaksa untuk memberikan jawapan ya atau tidak pada soalan yang berbentuk subjektif. Sedangkan hakikatnya, bukan semua jawapan boleh diberikan dalam bentuk ya atau tidak. Hidup bukan sekadar hitam putih. Begitu pula KSSR. Ya, kita boleh memberikan band 6 kepada murid dalam bidang menggambar dengan syarat murid kena lulus pentaksiran dari band 1. Mana boleh murid terus melompat ke band 6 sedangkan dia stuck dalam aplikasi seni iaitu mengenal unsur seni. Bolehkah guru mentaksir murid dalam bidang membuat corak dan rekaan sedangkan dia belum dapat mencapai band dalam bidang menggambar? Jawapannya YA, dengan syarat guru perlu melakukan taksiran ulangan untuk aktiviti menggambar pada masa lain. Tak semestinya murid kena menjalani taksiran pada masa yang sama dan tidak semestinya murid tidak boleh menjalankan aktiviti lain kalau dia belum menyudahkan aktiviti sebelumnya. Tapi pastikan guru mesti mengulang taksiran untuk aktiviti yang belum dicapai murid.

Berulang-ulang aku memberikan jawapan yang sama tapi jawapan itu tetap tidak dapat memuaskan hati. Entah apa lagi jawapan yang dapat membuat dia gembira. Inilah manusia. Mungkin orang macam ni kepingin sangat dirinya menonjol lebih dari orang lain. Mungkin juga dorang tak tahu mana nak salurkan kehebatan mereka hingga menjadikan kursus sependek itu untuk menonjolkan diri. Mungkin dia berharap supaya lebih hebat dari orang lain dengan berselindung di sebalik rendah diri. Hakikatnya, aku tidaklah sebodoh itu....

Ah...inilah manusia,kan?

Kalau dia berniat untuk menguji aku, aku harap dia sudah berjaya dalam niatnya. Kalau dia berniat untuk menunjuk pandai, aku harap dia benar-benar jadi pandai. Tapi kalau dia berniat untuk maju dengan cara itu, aku mahu dia tahu, bahawa orang macam dia takkan kemana.

Apapun, aku berterimakasih pada Yatie yang begitu berusaha untuk memastikan aku dan Zul selesa di daerahnya. Aku tau banyak juga duit Yatie habis untuk kami. Mudah-mudahan besar rezeki Yatie...

Ah...hidup...

....sebelum entry ini kututup, aku mau kasi konfession...aku benci dia!

0 comments:

Post a Comment