Tuesday, October 25, 2011 | By: Luna Biru

Kebenaran itu pahit

Aku selalu percaya bahawa kawan yang baik itu adalah mereka yang berkata benar, bukannya yang sekadar membenarkan kata-kata dan perbuatanmu, walaupun kau sedang salah.

Tapi hakikatnya, sejauh mana kita mampu berkata benar sedangkan dalam hal yang sama kita perlu menjaga hati kawan kita? Bukan semua kebenaran itu sedap didengar dan senang dilafazkan. Ada ketikanya kita berhadapan dengan situasi yang menyebabkan kita berfikir dua kali untuk berterus-terang mengenai keburukan dan kelemahan kawan kita sendiri, apalagi kalau ia berkaitan dengan hal yang menyentuh sensitiviti.

Namun dalam masa yang sama, konfrontasi berulang-ulang menyesakkan diri bahawa kita sememangnya perlu memberitahunya agar dia menghentikan segala kebodohan yang dilakukannya. Hakikatnya, mampukah manusia menerima bahawa dia sedang melakukan hal yang bodoh? Bodoh di mata di mata kita barangkali saja wajar di matanya. Tapi percayalah, sebagai kawan, aku tak sanggup lagi melihat sahabatku itu terus-terusan menjadi mangsa pada perbuatannya yang kurang adil kulihat untuk dirinya sendiri.

Ah,siapalah aku.

Ingat saja kata abah, bukan semua orang mampu menerima kebenaran. Kebenaran itu selalu pahit rasanya meskipun pada akhirnya ia sebenarnya terasa manis. Mungkin ini jugalah sebabnya orang tua selalu membiarkan si luncai terjun dengan labu-labunya. Tapi, sungguh, aku tak mahu!

Barangkalli kawanku itu akan membenci aku bila aku berkata benar. Tapi, tidakkah dia akan semakin membenciku nanti kalau aku terus membiarkannya membuat kesalahan yang ternyata fatal untuk dirinya? Ataupun, biarkan saja dia membuat kesilapan dan kemudian dia akan membuat hipotesis sendiri mengenai segala kesilapan itu. Mana satu?

Mahalnya harga sebuah kebenaran.

0 comments:

Post a Comment