Tuesday, August 30, 2011 | By: Luna Biru

Sebuah pentengkaran

Dua hari kelmarin,tepatnya saat 28 Ramadhan, waktu baru balik dari bazaar ramadhan, ada pentengkaran terjadi berlokasi dekat dengan keretaku. Kukira mereka adalah pasangan suami isteri dan memarking kereta bersebelahan dengan keretaku. Dari bait-bait bahasa yang ku tercuri dengar, si suami marah benar ke isteri kerana menghabiskan banyak wang untuk membeli bunga.

Segan untuk terlibat walaupun sekadar menumpang lalu, maka aku berpatah balik semula ke blok kedai dan biarkan mereka setelkan masalah tu. Meskipun pada dasarnya aku merasa cuak pada sikap suami yang menjerit-jerit marahkan isteri di khalayak ramai. Si isteri pula yang pada mulanya berdiam diri akhirnya mula membalas balik bila mereka mula menjadi bahan perhatian umum. Lalu bermula adegan jerit-menjerit, racau-meracau, maki-memaki lalu hempas-menghempas. Mula-mula aku mau buat tak tau sebab itu hal rumahtangga orang. Tapi bila jam sudah menunjukkan jam 6.10 minit, aku rasa aku tak boleh mengalah lagi. Mau sungkai sudah oooo....aku terbayang-bayang anak-anak aku di rumah tengah tunggu burger telur dorang dengan muka lapar. Apasallah dorang ni tak boleh balik ke rumah dan bertengkar di rumah saja?

Akhirnya aku buat keputusan untuk menuju ke keretaku. Terpaksalah aku minta excuse baik-baik dengan sang suami sebab waktu tu dia tengah menyandar di badan keretaku. Si suami hanya mendengus marah dan menarik badannya dengan kasar. Waktu tu baru aku sedar, dalam kereta dorang, ada tiga orang budak kecik sebaya anak-anakku si Abe, Acik dan Mizan sedang berada dalam kereta. Aku tergamam seketika melihat budak-budak tu. Aku rasa sudah lebih setengah jam ibubapa dorang bertengkar di luar kereta sambil menutup pintu kereta tanpa menghidupkan enjin. Itu bermakna, kanak-kanak tersebut sedang terperangkap dengan bahang panas dan udara dalam kereta.

Oh....ok...itu sudah menyentuh sensitiviti kewanitaanku. Maka aku pun dengan bangganya pergi masuk campur. Tanpa peduli apa bahasa yang kupakai dan apa sopan yang kuguna, aku menyuruh mereka berhenti bertengkar sebelum anak-anak mereka mati terperangkap dalam kereta.

Kedua mereka serta-merta terkaku dan melihat ke dalam kereta. Wajah si suami mendadak berubah begitu melihat anaknya sudah hampir lemas dalam kereta. Dia lalu membuka pintu kereta dan masuk ke dalam. Sebelum masuk,dia sempat lagi jerit dengan isterinya supaya pungut bunga-bunga yang sudah dia buang di jalan tu dan cepat-cepat masuk dalam kereta. Apalagi si isteri pun terkocoh-kocoh lah melakukan seperti yang disuruh suami. Akhirnya, kereta itu hilang dari pandanganku....

Aku sampai ke rumah jam 6.19 p.m. Belum terlewat untuk sungkai tapi benar-benar sudah agak terlewat untuk persiapan akhir sungkai.

Peristiwa tu bermain balik-balik dalam kepala aku sepanjang hari, sampai lah hari ni. Kelmarin petang, umi suruh aku beli bunga untuk letak dekat kabinet tv. Tiba-tiba saja aku pun jadi seram mau beli bunga. Aku ingat S.Kadarisman saja yang hampir pancung bini pasal belacan. Rupanya ada juga orang hampir nak terbunuh anak pasal bini beli bunga.

Aku faham perasaan si isteri. Yalah....perempuan memang macam tu. Lelaki manalah alert dengan benda-benda yang mereka anggap remeh tu kan. Tapi aku juga faham situasi si suami. Menurut apa yang kudengar tadi, wang yang digunakan oleh si isteri untuk membeli bunga itu tadi adalah sisa wang si suami untuk mereka sekeluarga gunakan sampai lepas raya.  Mungkin hanya si suami yang bekerja sementara si isteri adalah suri rumah. Sebab tu agaknya si suami marah benar.

Tapi, sefaham apa pun aku dengan keadaan itu, aku tetap tak setuju dengan apa yang telah berlaku. Si suami tak sepatutnya marahkan isteri di khayalak ramai. Isteri juga ada maruah dan sebagai suami dia perlu jaga maruah itu. Isteri pula tak sepatutnya boros berbelanja kerana sebagai isteri tugas kita adalah meringankan beban suami. Lihatlah hasil dari emosi dan akal yang tak rasional antara keduanya menyebabkan anak-anak mereka hampir menjadi mangsa keadaan.

Pengajaran?

Inilah bunga yang aku beli seperti yang disuruh umi termasuklah pasu. Mahal pula beli bunga ni kan? 
Yang ni pun sudah cecah kos RM45. Pasu RM23 dan selebihnya bunga. Aku beli dua set. Patutlah si suami tu marah betul sebab isterinya beli lebih banyak dari yang aku beli. Huhu....



1 comments:

Post a Comment