Tuesday, August 2, 2011 | By: Luna Biru

Ramadhan dan kisah kita I


Ramadhan...

Pastinya setiap kita punya ceritanya sendiri. Kisah yang manis dan lucu, juga menyakitkan, bahkan pastinya punya rahsianya sendiri. Ramadhan itu adalah himpunan sebuah kisah yang bisa kita bukukan untuk dikongsi bersama dengan generasi dunia hari ini.

Aku masih ingat kali pertama belajar puasa. Ketika itu, usiaku baru menganjak 9 tahun. Hari pertama puasa aku cuma mencapai sekerat hari saja. Pecahnya puasaku kerana tidak tahan dengan godaan bau bubur ayam yang umi masak untuk adikku yang baru berusia setahun. Tipis betul imanku waktu tu. Bila abah tahu aku ponteng puasa kerana alasan yang begitu kecil, dia marah betul. Abah denda aku tak boleh berbuka bersama dan cuma boleh tengok saja sepanjang dorang makan. Sedih betul aku waktu tu dan aku nekad akan menghabiskan puasaku keesokan harinya.

Alhamdulillah....sampai juga niatku untuk meneruskan puasa pada esok harinya. Namun, semua janji abah untuk berbuka bersama tidak dapat aku tunaikan sama sekali. Puncanya, sebab aku sudah jadi macam sayur layu yang  kering mengulai di katil. Terpaksa abah bawakan aku secawan air untuk membuka puasa dan menyuapkan makanan ke mulutku. Aku betul-betul tidak berdaya waktu tu. Abah pula mati-mati ketawakan aku. Namun sejak itu, aku mula bertatih melaksanakan ibadah puasaku. Tapi tipulah kalau kalau aku kata yang aku tak pernah menipu. Hehe....

Waktu aku kecik dulu, umi ambil tempahan buat kuih maruku untuk hari raya. Biasanya, akulah yang disuruh menghantar dan mengambil pesanan pelanggan. Selalunya, bila aku sampai ke rumah pelanggan, makcik di rumah tu rasa kesian tengok aku berpeluh-peluh dan akan hidangkan aku air. Kejam sungguh. Adake pulak hidangkan orang air di bulan ramadhan,kan? Terpaksalah aku minum juga....hehe....sampai rumah puasa balik.

Bila aku meningkat remaja, umi mula buat perniagaan di bazaar ramadhan menjual kuih-muih tradisional dan makanan berat. Sekali lagi, aku jugalah yang bertanggungjawab dari membantu umi membuat kuih, menghantar, menjual sampailah mengemas balik semua peralatan. Memang seronok betul dapat berjualan di bazaar setiap petang. Makanan jualan umi laku setiap hari. Aku pula tak perlu susah-susah mau fikir berbuka dengan apa sebab setiap hari pasti ada orang belanja makan. Bila waktu berbuka, kami berbuka beramai-ramai di bazaar. Setiap makanan yang tak laku akan ditukar-ganti dengan hidangan masing-masing. Tapi pasal jualan umi habis awal, jadi kami jarang dapat tukar dengan apa-apa. Hanya terima saja pemberian orang. Hehee....

Waktu aku masuk maktab, umi masih juga meneruskan perniagaannya. Tapi mungkin agak sukar umi meneruskan kerjanya tanpa anaknya sorang ni. Akhirnya umi berhenti berniaga. Kesian pula aku tengok umi. Aku tahu dia sedih bukan sebab tak dapat berniaga tapi sebab tak dapat lagi hendak bersosial dengan rakan-rakan niaganya. Yalah...umi tu kan cuma suri rumah sepenuh masa. Dia mana ada kawan lain.

Kini, aku sudah dewasa, sudah bergelar guru dan sudah menjadi ibu. Setelah lama menyepikan diri dari dunia perniagaan, kini kami berentap lagi dengan dimensi perniagaan yang lebih berdaya saing. Semenjak tiga tahun lepas, kami mula menerima tempahan membuat kek lapis sarawak dan biskut raya. Alhamdulillah....sambutan agak memberansangkan. Paling penting, pelanggan kami tetap setia.

Bila sudah jadi ibu, baru aku sedar betapa susahnya meneruskan hidup dengan menggalas begitu banyak tanggungjawab. Berniaga mungkin hobi kami tapi juga sebenarnya adalah pembantu kepada perbelanjaan yang semakin meningkat setiap hari. Mungkin orang cakap kami suami isteri cikgu, gaji besar jadi senanglah hidup. Hakikatnya, cubalah korang rasa ada anak 6 orang...fuh! Tak tertangan gaji babe!

Harapan aku, setiap tahun, cukuplah kalau tetamu datang kenyang makan, anak-anak serupa orang dan rumah berseri dengan keikhlasan. Walaupun sering diulit mimpi ngeri menjelang ramadhan dan hari raya, tapi aku yakin, Allah sentiasa sediakan rezeki untuk anak-anak aku.

Insya Allah....

0 comments:

Post a Comment