Wednesday, November 2, 2011 | By: Luna Biru

Prejudisme

Bosan aku dengan manusia prejudis. Menghukum manusia hanya dengan separa dengar lalu menghujam dengan sepenuh lidah tanpa memikirkan soal kewajaran.

Kasihan Anisku. Puteri tunggalku satu-satunya....


Kelmarin,
Anis telah datang padaku dengan tubuh sonder kerdilnya untuk membuat satu pengakuan tentang sesuatu yang sangat mengejutkan. Sebagai ibu, yang perlu kulakukan kala itu adalah menenangkan diriku sebijaksana mungkin agar si kecil manis itu terus bicara sejujurnya. Meski marah menjadi keputusan pada natijah perlakuannya, namun bukan itu jalan yang kuambil. Aku mahu Anis percaya bahawa kejujuran yang dilakukannya bukanlah satu kesalahan fatal yang harus dihukum setimpal dengan perbuatan yang terlanjur dilakukannya. Aku mahu dia percaya bahawa aku bukan saja seorang ibu, guru, malah juga teman terbaiknya yang boleh dimandatkannya dengan beban kepercayaan. Beritahulah padaku, bisakah seorang anak kecil yang melakukan kesalahan datang padamu dan membuat pengakuan tentang kesalahannya, sedangkan kau tak pernah tahu bahawa dia sedang melakukan kesalahan?

Tidakkah wajar aku menghargai kejujurannya?

Bagi aku, rasa bersalah yang dirasai Anis sudah cukup sebagai hukuman pada kesalahan yang dilakukannya. Percayalah, seberat apapun hukuman yang kita kenakan pada seorang anak, jika anak itu gagal merasai perasaan bersalah, maka hukuman itu tidak langsung bermakna pada dirinya. Namun, jika seorang anak itu tahu mengenal erti rasa bersalah, lalu membuat keputusan untuk memperbetulkan dirinya dan keadaan, maka wajarkah kita terus menghukum si anak?

Sebagai keputusan, aku memintanya membuat satu refleksi tentang pengalaman yang dilaluinya itu. Lalu, tanpa aku perlu menjerit-jerit dan memaki hamun, Anis sudah bersedia untuk memperbaiki dirinya, mengakui kesalahannya dengan janji tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.

Malangnya, waktu Anis pulang dari sekolah tadi, dia mengadukan padaku tentang respon segera yang diterimanya dari beberapa manusia prejudis tentang salahlakunya. Baiklah itu kesalahanku. Aku tidak dapat menahan marahku kelmarin lalu aku menceritakan hal itu kepada beberapa orang rakan. Aku tidak memikirkan bahawa tindakanku bakal mencetuskan konsekuensi yang buruk. Akhirnya, hari ini, Anis menerima natijahnya. Dia dihujam dengan kata-kata yang mengyakitkan dan disakiti pula secara mental dengan hukuman berbentuk leteran.

Aku agak kesal dengan perkara ini. Kesal dan rasa bersalah yang teramat sangat. Aku telah menghancurkan kepercayaan Anis padaku. Anis telah menerima aku sebagai orang yang sangat dipercayainya, kerana itu dia membuat pengakuannya. Dan, alangkah hancurnya hati Anis bila orang yang dipercayainya ini ternyata telah membocorkan rahsianya pada orang lain hingga dia menerima hukuman yang tidak pernah diduganya sama sekali. Oh, tolonglah. Aku bukan saja telah merosakkan kepercayaannya padaku, tapi aku juga telah membuatnya terus menjadi mangsa keadaan. Aku tak tahu bagaimana aku dapat memperbetulkan keadaan ini. Bila Anis pulang tadi dengan airmata yang ditundanya sejak dari sekolah, aku rasa jiwaku sudah dikoyak-koyak. Saat Anis bertanya padaku,"Mama, what had you told to your friend? I trust you mama...tell me how am I going to face my friends after all this?" 


Ya. Beritahulah aku...tolong beritahu aku bagaimana lagi aku dapat meraih kembali kepercayaan puteriku itu? Beritahu aku, kalaulah kejujuran itu satu kesalahan, apakah pula yang benar-benar betul? Abang bilang, begitulah masyarakat kita,enggan menerima kejujuran hingga manusia lebih selesa berbohong dan menyembunyikan kebenaran. Dan, mungkin kerana itu jugalah ramai gadis bawah umur yang membunuh bayi mereka sendiri semata-mata takut untuk berlaku jujur.

Tuhan, aku mulai digenta rasa bersalah yang makin menghimpit warasku. Perlukah ku marah teman seperjuangan yang telah menegur Anis dengan cara yang tidak berhemah? Atau perlukah aku menerangkan pada Anis bahawa itulah hakikatnya masyarakat kita di Malaysia ini, yang mengamalkan prejudisme?  Kepada temanku yang mungkin membaca ini, maaf ya. Aku adalah seorang ibu yang mengamalkan keterbukaan dalam perhubungan kami anak-beranak. Aku tidak suka menghukum, apalagi berleter. Aku sudah cukup dibesarkan dengan hukuman berbentuk seperti itu dan aku percaya bahawa semua itu tidak membawa makna apa-apa. Aku lebih mengamalkan sikap saling mempercayai, jujur pada perbuatan dan ikhlas dalam tindakan. Aku percaya, jika amalan baik yang kita terapkan mampu disalurkan dengan cara yang betul, kita akan lebih mendapat manfaat yang sebaiknya dari anak-anak. Apa yang berlaku hari ini telah merosakkan sedikit sistem yang kupegang selama ini. Ah, bayangkan sajalah kalau ia berlaku pada anak kamu...

2 comments:

Atie said...

zue, aku rasa aku manusia plg tidak layak untuk bg pendapat aku pasal ibu dan anak. sebab aku belum pernah jadi ibu. aku cuma pernah jadi anak.
"sikap manusia boleh merubah sifat", aku percaya pada frasa ini. maka apa yang kau lakukan dengan menceritakan kisah Anis pada temanmu, mungkin telah mengubah sistem yang kau bina dalam hubungan kau dengan anak2 kau. tapi seperti kata frasa ini, kita manusia maka sifat kadang2 berubah malah merubah. mungkin masa kau bercerita pada temanmu kau dalam keadaan bawah sedar dan saat kau sedar, ia telah melukakan hati Anis, puteri tunggal kau itu. tapi aku percaya kau telah mendidik Anis dengan baik, baik dari segi duniawi mahupun Ukhrawi. jadi aku yakin, Anis mungkin sedih sekali, mungkin sipi hatinya tidak lagi mempercayai kau, tapi aku yakin dengan didikan agama dan cara didikan kau, dia tetap akan selalu percaya pada kau zue. dia akan bagi kau peluang lagi, malah mungkin berfikir bahawa, sebagai ibunya kau lakukan kesalahan apatah dia sebagai anak. aku yakin, Anis masih percaya lagi sama mamanya. aku rasa kau pasti dapat mengembalikan kepercayaan Anis pada kau. peluang kedua selalu adakan.....

Luna Biru said...

Terima kasih Tie. Tadinya Anis sampai tak mahu ke sekolah sebab takut menghadapi kemungkinan yang bakal dihadapinya. Tapi bila aku pulang sekolah tadi, dia terus jumpa aku di muka pintu dan bilang; Mama, I'm ready to school tomorrow.

Aku cuma senyum dan mengangguk. Aku cuma harap yang dia bakal berdiri menjadi seorang gadis yang tabah dalam hidupnya. Bak kata abahnya bilang, sekali Anis lari, Anis akan terus lari sampai bila-bila. Tapi bila Anis mampu melepasi ketakutan ini, maka ketakutan apapun yang bakal muncul selepas ini, akan Anis hadapi dengan tenang. Ini baru sedikit ujian. Ada banyak lagi ujian yang akan merentang dalam usia menuju kedewasaan...

Mungkin kata-kata itu jugalah yang buat dia merasa kuat. Dan aku, pengajarannya, pandai2 memilih teman untuk dikongsi cerita. Kan?

Post a Comment