Friday, November 25, 2011 | By: Luna Biru

"Biar mati anak, jangan mati adat"

"Biar mati anak, jangan mati adat".

Itu pepatah yang buat aku bertengkar dengan cikgu aku waktu aku sekolah rendah dulu.

Jangankan dengan cikgu, dengan abah aku pun aku selalu bertengkar pasal hal yang sama juga. Sebabnya, aku selalu dengar abah cakap macam tu kalau kami didapati buat kesalahan yang melanggar prinsip dan etika adab dalam sosialiti kehidupan.

Takkanlah kerana mau pertahankan adat, sanggup bunuh anak sendiri,kan?


Tapi bila aku sudah jadi mak kepada 6 orang anak, baru aku mengerti apa maksud pepatah tu. Mungkin penggunaan bahasa pepatah tersebut kedengaran agak kejam. Mungkin, nenek moyang kita tak patut guna perkataan 'mati' sebab bunyinya macam tak sayangkan anak. Mungkin, kalau maksud pepatah ini  diterjemahkan dalam bentuk yang lebih halus, maknanya lebih dapat diterima oleh semua orang. Tapi, mungkin juga kalau ianya tak disampaikan dalam bentuk yang sekejam itu, manusia takkan tahu betapa pentingnya adat dalam kehidupan kita.

Semalam, aku pergi ke rumah sepupu aku yang agak rapat, tapi sudah lama tidak bertemu. Selalunya, bila aku datang, anak-anaknya akan mengerumun aku untuk bersalaman dan bertanya khabar. Tapi semalam situasinya agak jauh berbeza. Anak-anaknya yang selalunya manja dengan aku tu, langsung tak peduli walaupun aku sudah lebih tiga kali beri salam di luar pintu. Dorang semua sedang asyik main game PS2 dan ada pula yang tengah layan internet waktu aku datang. Terpaksa aku masuk rumah tu sendiri walaupun salam aku belum bersahut oleh tuan rumah. Percaya tak, sampai aku duduk sebelah dorang pun, budak-budak tu cuma toleh sekejap saja dan kemudian teruskan perjuangan dorang dalam dunia maya tu.

Baiklah. Aku bukannya minta kena hormat semata-mata kerana aku ni makcik budak-budak tu. Otherwise, aku sedar, dorang ni budak lagi, apalah yang aku mau demand sangat,kan? Tapi, korang percaya tak bahawa benda-benda macam nilah yang sebenarnya akan mematikan 'adat' yang kita pertahankan selama ni? Kalau kita orang tua tak alert dengan benda-benda macam ni, bila budak-budak ni mau mengerti pasal adat dan etika waktu berjumpa dengan orang tua?

Aku tak kata sepupu aku ni tak tau mendidik anak. Aku sedar, dunia makin sibuk. Kita ibubapa ni pula selalu habiskan masa di luar. Kita tak banyak masa mau dihabiskan dengan anak-anak. Dalam masa yang sama, kita juga tak mahu kalau anak-anak kita berkeliaran di luar rumah. Jadi, untuk pastikan anak-anak kita sentiasa ada di rumah, maka kita sogokkan dorang dengan pelbagai macam gadget permainan maya. Betul, anak kita terselamat dari gejala sosial dan pengaruh rakan sebaya. Tapi kita mungkin tak sedar bahawa anak kita sebenarnya tak benar-benar selamat. Ini kerana pengaruh buruk internet dan games telah memusnahkan pembentukan etika dan perkembangan adab serta komunikasi anak kita pada dunia luar.

Aku juga tak kata yang aku ni mak yang sempurna. Anak-anak aku pun tak terlepas dari gejala buruk ni sebenarnya. Waktu raya hari tu pun, tetamu sibuk bertandang ke rumah, anak-anak aku sibuk memicit-micit keyboard laptop dan joystick PS2. Mata pula sudah macam terpaku di monitor dan TV. Jangankan mau bantu aku siapkan minuman di dapur, menoleh pada tetamu pun tidak. Apalagi mau diharap dorang bangun dan menyalam tetamu, huh...janganlah haraplah.

Dan, aku cukup marah bila perkara macam ni berlaku. Silap-silap, aku boleh tukul-tukul joystick PS2 tu dengan lesung batu atau patah-patahkan CD games (sebab itu saja part yang paling murah), kalau aku dapati anak-anak aku buat hal macam ni. Pernah juga aku baling broadband kesayangan aku tu nun jauh ke tengah padang malam-malam hanya kerana anak-anak aku sudah kemaruk dengan internet waktu kenduri sedang diadakan di rumah. Melilau juga dibuatnya dorang cari besok paginya. Oleh kerana malam tu hujan lebat, maka broadband tu pun rosak dan tak boleh digunakan lagi. Walaupun terpaksa membeli yang baru, tapi aku bersyukur sebab lepas tu dorang berubah. Sekurang-kurangnya, dorang tau, walau macamana tengah seronok bermain sekalipun, kalau ada tetamu datang, kena 'pause' kejap, salam, hidang air, dan lepas tu, baru sambung main balik. Dan paling penting, budak-budak ni juga tau bila masa boleh 'on' kan games, dan bila masa pengharaman games.

Jadi, korang dapat kaitkan tak apa perkaitan cerita aku ni dengan pepatah yang jadi intro aku di atas tadi?

Ya. Bila sudah tua begini, barulah aku sedar apa maksud pepatah tu. Mungkin aku kena ubah sikit, "Biar joystick hancur, jangan anak hancur tak beradat"

Pada ibubapa di luar sana, tolonglah, biar sibuk macamana sekalipun, jangan sampai anak bertuankan gadget sampai tak tau mau beradab dan tak kenal saudara mara sendiri ok?

0 comments:

Post a Comment