Ini adalah gontai hati yang terinspirasikan dari lagu AKU MAAFKAN KAMU.
Mana mungkinlah langitku dan langitmu berbeza warnanya sedang kita berpijak di bumi yang sama. Mungkin saja awanmu bergumpal hitam sedang awan di langitku belum tentu juga seindah fikirmu. Jadi berhentilah menganggap bahawa nasibku lebih baik darimu kerana tak ada satupun dari kita pernah menginginkan hidup serupa hari ini. Ia adalah renta rencana Tuhan yang tak pernah mampu kita siatkan dalam gempa mahu yang tersarat dalam bentuk apa-apa.
Maaflah. Aku memamg manusia dangkal yang suka bermadah. Benci barangkali kau mendengar desah puitisku. Sedang aku sendiri tak pernah biasa dengan cerca yang kau aranghitamkan ke muka manusia-manusia yang kau fikir layak untuk kau ludah.
Ya. Kau memang mahir meludah ke muka manusia dengan alasan jangan kau dimomok provokasi. Lalu bergempitalah suaramu bertempik untuk tampil memperjuang maruahmu Jadilah kau si hakim yang mengadili manusia hingga merasa wajar menjatuhkan taklik hukum. Dan, yah…terhukumlah sudah aku dalam lingkup aib yang mencela tulusku hingga ke mati.
Berpestalah kau kini barangkali menyorak pada kemenangan yang tiada piala. Percuma saja aku membodohkan diri merayu sembah mencium kaki agar aku kembali dipercayai. Kau sudah merampas segalanya hingga aku tertelanjang bulat berjalan di muka dunia. Betapalah celakanya aku hingga tak mampu mempertahankan diriku pada cemuh laser di lidahmu. Bertahun kubangun sebuah tugu yang bernama keluarga, habis ranap kau musnahkan sekelip mata.
Hanya diam mampu ku imarahkan dalam masjid hatiku.
Biar berkelek bertahun kutunggu bayangmu muncul mencuci maluku, aku tahu takkan mungkin akan terjadi. Hatimu sudah dipahat benci yang bersarang sejak entah bila. Tak kan mungkin dapat kulunak hati maujudmu dengan desak sabarku. Hanya saja aku ingin kau tahu bahawa, sebentar lagi, genap setahun usia kau menghancurkan hidupku. Kau takkan pernah tahu betapa sukarnya aku mencekalkan hati beraksi palsu di depan dunia yang aneh setelah itu. Kau takkan pernah tahu bahawa kau telah mengerat kedua kakiku hingga longlai aku tak mampu berdiri. Syukur Tuhan mengurniakan dua lagi kaki baru yang kupinjam dari manusia-manusia yang masih menyintaiku.
Kalau kau ingin menang, ya, kau sudah mendapatkannya. Semua kegemilangan itu milikmu, seperti rencanamu dan keinginanmu. Tuhan telah mengizinkan segalanya terjadi, syukurlah. Dan, meski tak pernah akan terjadi wajahmu menyongol di muka pintuku, aku mahu kau tahu bahawa aku sudah lama memaafkanmu. Kasih sayang Tuhan lebih besar padaku sejak kejadian itu. Terima kasih kerana mendekatkan aku pada Tuhanku.
…jangan pernah datang lagi menyentuh hatiku yang telah mati….untukmu.
Titik.
0 comments:
Post a Comment