Friday, November 25, 2011 | By: Luna Biru

Memburu perhatian

Suatu masa dulu seorang rakan pernah bertanya padaku;

"Apa rasanya jadi cantik?
Apa rasanya jadi perhatian sepanjang masa?
Rasa hebatkah? Terujakah?"

Lama juga aku terdiam mendengar soalan-soalan yang menubi itu. Mudah sekali untuk memberi jawapan itu sebenarnya. Ia bukanlah soalan sukar yang memerlukan kemampuan intelektualiti yang tinggi untuk menjawabnya. Tapi aku tidak mahu menyuapnya dengan jawapan mudah yang membuatnya akan terus bertanya dan bertanya lagi. Oleh itu, aku pun berbalik bertanya padanya dalam satu usaha aku memberikan penjelasan yang lebih mudah difahaminya sendiri. Aku mahu dia sendiri menemukan jawapa itu.

"Apasal? Kau rasa aku ni cantik sangatkah?" tanyaku.

"Bolehlah...banding kita-kita semua, dan orang-orang di sini, aku rasa, kau antara yang tercantik", jawabnya agak selamba.

"Kau tak cantikkah?"pancingku memburu rasa ingin tahu.

Rakanku itu mengangkat bahunya dengan hujung bibir yang diherotkan ke bawah. "Kau rasa?"

Aku merenung wajah sahabatku itu dengan dahi sedikit berkerut. Kulitnya jauh lebih cerah dari kulitku. Raut mukanya sangat tenang dengan sepasang mata bundar dan layu. Bila tersenyum, matanya akan segera menyipit, membuatnya nampak sangat keanakan. Senyumnya pula seolah tersimpul di tengah mulut. Bila senyumannya melarik ke pipi, kedua 'telur' yang ada di kedua pipi mulusnya akan terserlah. Kalau ditanya samada dia cantik atau tidak, sudah pasti jawapanku ya, secara fizikalnya, dia sangat cantik.

Namun, tanpa memberi jawapan yang pasti kepadanya, aku malah menanyakan soalan lagi.
"Penting sangatkah menjadi cantik?"

"Oh, sudah tentu. Dengan memiliki wajah cantik, kita mudah mengakses dunia, mudah mendapat perhatian, mudah menjadi hebat. Pokoknya, cantik merupakan satu aset yang memudahkan kita untuk mendapat apa yang kita inginkan,"jelasnya dengan yakin.

"Apa seronoknya menjadi perhatian?" tanyaku, lagi.

Rakanku itu terdiam seketika. "Bukankah itu soalan yang aku tanyakan pada kau tadi?"

Aku menggeleng. "Tadi kau bertanya, apa rasanya menjadi perhatian. Dan sekarang aku bertanya, apa seronoknya menjadi perhatian,"

"Jadi jawapanmu apa?" tanyanya.

"Jawab dulu pertanyaanku. Apa seronoknya menjadi perhatian?"

Sekali lagi rakanku itu terdiam. Kali ini agak lama juga. Matanya bolak-balik dari kiri ke kanan seolah sedang memikirkan jawapan terbaik untuk diberikan padaku. Dahinya berkerut dan kejang-kejang. Sekejap-sekejap, dia menghela nafas panjang. Akhirnya, dengan suara lemah, dia berkata;"Entahlah...aku pun tak tahu,"

"Maksudnya, kau mahu sesuatu yang kau sendiri tak tahu kenapa kau mahukannya?"

Dia mengangkat mukanya padaku. Sepasang mata bundarnya menatapku dengan penuh kehairanan. Mata itu sedang bergulat dengan perasaannya sendiri. Aku tidak tahu apa yang dirasainya saat itu. Barangkali saja dia baru menyedari bahawa keinginannya itu hadir dan tumbuh tanpa sebab yang jelas. Atau barangkali ia bisa apa saja. Aku sukar meneka.

...bersambung...

0 comments:

Post a Comment