Thursday, September 6, 2012 | By: Luna Biru

Sebuah perjalanan ke Puncak Borneo



Setelah puas merayu dan membuat muka kiut, maka hari ini abang tunaikan juga impian untuk menjejak kaki ke Puncak Borneo...A tip of Borneo, Simpang Mengayau, Kudat, Sabah. Ada pendapat mengatakan bahawa tempat ini juga merupakan kawasan paling hujung di dunia. Di sinilah terletaknya pertemuan Laut Cina Selatan dan Laut Sulu. Wallahuaklam...

Terletak sejauh 200km dari KK, tidak kunafikan perjalanan ini adalah sebuah perjalanan yang sangat memenatkan, jauh dan memberi tekanan dari segi mental. Hatiku terdesak untuk merasa menyesal memaksa abang mengikuti rombongan ini. Namun aku sentiasa berdoa agar Tuhan akan memberikan sesuatu yang lebih baik di hujung perjalanan ini. 


Melihat kepada betapa teruknya jalan raya yang menghubungkan KB-Kudat, hatiku mulai akur tentang alasan besar rakyat Sabah mulai berpaling dari kerajaan persekutuan. Setelah 15 tahun memerintah Sabah, inikah hasil terbaik yang dapat kerajaan berikan pada rakyat Sabah? Oh, maaf agak sedikit emosi. Tapi bila membandingkan jalan lebuh raya KL-Pulau Pinang, maka hati tertanya juga kenapa fasiliti sebaik itu tidak dapat dinikmati oleh rakyat Sabah? Kalau penduduk Semenanjung merungut pasal bayaran tol, maka silalah berkunjung ke Sabah. Silalah nikmati jalan raya kami dan korang pasti akan bersyukur walaupun terpaksa membayar mahal untuk tol. 

Lebih menyedihkan, perjalanan ke puncak Borneo juga masih di tahap yang mendukacitakan. Bukankah ia adalah pusat pelancongan dunia? 

Tapi syukurlah...saat kaki terjejak di puncak, mata terpaku melihat keindahan deruan ombak dan keteguhan monumen yang didirikan khas di kawasan tersebut. Kawasan berbatuan seakan dicipta seperti tangga memudahkan kita untuk menuruni terus ke hujung dunia. Segala keletihan hilang dan berganti dengan rasa keterujaan yang penuh ghairah. 

Mulanya hati berhajat untuk tinggal di chalet berdekatan. Terdapat dua penginapan disediakan di sini iaitu Tommy's Place dan Merrimas Chalet. Namun hajat ini terpaksa dibatalkan sebab angin kencang dan ribut yang tiba-tiba saja melanda saat senja mulai berlabuh. Difahamkan ia adalah kesan daripada ribut yang terjadi di Filipina. Maka akhirnya, Marina Golf Club menjadi pilihan. 

Menginap di Marina Golf Club Kudat membuat diri merasa seperti tinggal di Sutera Harbour. Tidak menyesal memilih hotel ini walaupun harganya agak mahal. Kepada kakitangan kerajaan, jangan lupa membawa kad kerajaan untuk mendapat potongan harga yang sangat bajet. 

Namun ada satu masalah yang kurang menyenangkan sepanjang sesi lawatan singkat ini. Kami mendapati bahawa Kudat sangat tidak mesra restoran, kalau istilah itu wujud. Terdapat sangat sedikit pilihan restoran dengan perkhidmatan yang sangat kurang berkualiti. Kita terpaksa menunggu lebih sejam untuk menerima pesanan makanan, walaupun cuma minta sepinggan nasi putih. Sungguhpun harga makanan jauh lebih murah dari KK, malah Papar sekalipun, tapi apalah gunanya kalau kita sampai sempat terkena serangan gastrik,kan?    Satu-satunya tempat makan yang paling mudah ialah Medan Selera. Terdapat banyak pilihan makanan di sini termasuklah kek harijadi. Kebetulan juga kami mencari kek harijadi untuk isteri si Halim Ringgo. Hmmm....tak pernah aku jumpa orang jual kek harijadi di pasar malam weh...

Esplanade pula merupakan salah satu tarikan utama di Kudat. Ia merupakan mercu tanda Kudat dan katanya tak sah kunjungan kalau tidak ke tempat ini. Kami tidak sempat menikmati malam yang hidup di Esplanade dan semoga kami masih punya waktu lain untuk itu. 

Ok. Sekian dulu buat hari pertama di Kudat. Nanti akan disambung lagi untuk hari kedua. Stay tune with me k...

Love. 







Titanic ooo...
Aku tak sempat bergambar di sini...
alahai Mak Jemah...








satu-satunya karya aku...
Angin kuat mulai menyerang di Pantai Kelambu



Memikirkan perjalanan ke Kudat membuatkan aku ingin mendeletekannya saja dari senarai pelancongan aku untuk trip akan datang. Tapi hatiku sudah tertinggal di Simpang Mengayau, pasti aku akan kembali untuk mengambilnya kembali nanti. 

Insya Allah....


0 comments:

Post a Comment