Sejak awal dimaklumkan lagi aku agak keliru untuk melakar idea tentang tema yang satu ini. Berbeza dengan tema-tema kemerdekaan sebelum ini yang bersifat patriotik, nyata tema Janji Ditepati agak sedikit terbabas dari unsur nasionalisme itu (sila rujuk tema kemerdekaan sebelum-sebelum ini ok).
Satu-satunya poster yang sesuai kujadikan contoh untuk murid-muridku ialah poster rasmi kemerdekaan yang telah digunakan sepanjang musim kemerdekaan ini;
Maka, berdasarkan daripada contoh poster itu tadi, maka dapatlah aku simpulkan bahawa istilah Janji Ditepati adalah merujuk kepada semua janji-janji pembangunan kerajaan yang telah terpenuhi selama 55 tahun negara merdeka.
Betulkan?
Lihat betapa cerianya kanak-kanak di hadapan poster yang menjadi penegasan utama. Lihat pula pada imej-imej di belakang yang melambangkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum beserta dengan mercu tanda negara. Tema Janji Ditepati adalah merujuk betapa kita sebagai warga Malaysia seharusnya bersyukur dengan segala pembangunan yang telah kita kecapi. Lebih daripada itu, kita sjuga seharusnya bersyukur dengan segala kemudahan yang telah diberikan oleh kerajaan termasuklah segala macam 1M (Rujuk lagu tema Janji Ditepati). Keyakinanku terhadap kesimpulanku ini semakin bertambah apabila aku menemui buku Janji Ditepati. Ha...tengok, aku bukan calang-calang guru tau...siap buat research lagi.
Maka atas keyakinan itu, aku mengajari murid-muridku. Selain dari ilmu asas membuat poster yang mengandungi asas seni reka dan prinsip rekaan, maka murid-muridku mulai memahami tentang tema ini.
Namun keputusan hakim akhirnya memihak pada sesuatu yang membuatku jadi malu menjadi guru PSV. Betul, aku cuma diploma PS dan sangat kurang pengalaman dalam dunia yang serba seni ini. Aku bukan mahu memenangkan muridku sebab aku tahu dorang juga tak layak menang. Jesteru yang kupertikaikan adalah konsep poster yang kuajarkan kepada muridku, yang ilmu poster itu pula adalah ilmu yang sah kupelajari di institusi, nyatanya sangat bertentangan dengan konsep poster di mata para hakim yang bijaksana dan berpengalaman itu.
Silalah rujuk kembali dan kalaupun kau merasa bahawa itu adalah makananmu, ku tetap memintamu untuk merujuk kembali ke kitab asli. Apa ciri-ciri utama poster, dan apa pula makna tema? Apakah poster itu akan memberi lebih tumpuan pada kreativiti hingga membelakangkan tema dan konsep? Perlulah kekaguman kita pada kemampuan peserta berkarya menjadikan mereka layak untuk menang sungguhpun hasilan itu tidak menepati asas seni reka dan prinsip rekaan, lebih-lebih lagi tema?
Malangnya, manusia yang merasa dirinya sudah banyak makan garam selalu merasa tak perlu disuakan garam lagi.
Saat keputusan diumumkan, dan poster pemenang dipamerkan, muridku yang sudah sedia maklum diri mereka tak menang, mulai mempertikaikan ilmu yang kuberikan pada mereka sebelum ini. Aku diserbu dengan soalan-soalan yang membuatku jadi malu dengan diriku, sekaligus merasa bingung. Ya, mereka betul. Kenapa sesuatu yang kukatakan menjadi kepantangan besar dalam poster akhirnya layak bergelar pemenang?
Jawapannya, aku tak tahu.
Keputusan pengadil adalah muktamad. Tapi itu belum cukup untuk memuaskan hati manusia-manusia kecil di sisiku ini. Malang lagi aku juga tidak menemukan jawapan terbaik untuk memaklumi perkara itu. Aku gagal untuk faham.
Mungkin benar, pengalamanku menjadi guru PS hanya sejengkal.
Ajarilah aku, wahai guru PSV...
Johan.
Secara keseluruhannya, poster ini memang menarik. Pemilihan bahan ilustrasi sesuai dengan tema. Namun secara teknikalnya, poster ini lebih berbentuk catan. Mukataip terlalu kecil dan hanya menenpati kurang dari suku kertas manakala ilustrasi lebih menguasai.
Mata adalah hakim pertama. Namun apa yang lebih menonjol di sini adalah keserabutan dari segi penggunaan warna. Kalau kau letakkan poster ini menjadi banner, dapatkah masyarakat menterjemah makna tema itu hanya dengan melihat poster ini? Mungkin wajah PM menjadi senjata utama tapi, apa kaitan wajah PM dengan tema ini?
Naib johan.
Asas poster adalah mudah. Latar belakang perlu diwarna rata tanpa ton.
Keduanya, apa kaitan bumi dengan janji ditepati? Sampaikah makna tema?
Dan, lihat mukataip merdeka yang ditulis ala sanskrip italik yang kemudiannya lebih kepada bentuk cincai.
Sekali lagi warna menjadi daya penarik hingga kita mungkin lupa untuk menilai jauh ke dalam.
Ketiga.
Sekali lagi juga wajah PM menjadi modal besar. Tanpa sokongan ilustrasi lain kecuali mercu tanda Malaysia, mampukah poster ini menyampaikan mesej?
Saguhati
Masih menggunakan wajah PM dengan tambahan objek twin tower dan wakil kaum.
Tapi kukira poster simple ini punya sedikit makna dalam menyampaikan mesej. Cuma kurang kemas.
Saguhati 05
Baiklah.
Yang ini sangat berbeza. Mukataip jelas. Latar belakang satu warna dan rata.
Ada klinik 1M, ada netbook 1M, ada budak sekolah, ada BR1M dan ada wang saku RM100. Satu idea yang polos. Kurang kemas dan kreatif? Tentu...
Saguhati.
Nampakkah kamu tulisannya? Apapun, aku puji ideanya cantik dan asli.
Yang dua ni tiada nombor langsung. Idea lebih kurang sama tapi mungkin memperjelas maksud dan tema janji ditepati. Nampak sangat kebudak-budakkan dan tidak matang. Tapi seperti saguhati 05 di atas, kukira keduanya memperjelas makna tema. Ingatlah, tema kita bukan kemerdekaan. Kalau bercakap tentang kemerdekaan, berbagai idea boleh meluru dalam kepala yang bersangkut tentang isu kemerdekaan. Tema kita juga buka politik, maka tak perlulah wajah PM menjadi taruhan.
Aku masih ingat cikgu PS aku waktu tingkatan 5 dulu cakap; "Kalau kau buat cantik macamana pun tapi kalau kerja kau tak ikut tema dan tajuk, tetap yang tak cantik juga akan dapat markah lebih selagi dia menepati tema. So, kau jangan hairan, kalau kau ikut pertandingan, selalunya orang yang tak cantik lukis akan menang. Samalah macam kalau kau jawab karangan SPM..."
Jadi, ajarilah aku, wahai cikgu PSV...
1 comments:
Pada pendapat saya, poster adalah satu bentuk komunikasi untuk menyampaikan mesej. Yang paling penting, tipografi adalah asas utama kepada poster, manakala ilustrasi adalah bahan sokongan kepada mesej yang hendak disampaikan. Hanya dengan tipografi sahaja (tanpa ilustrasi) juga boleh dipanggil poster. Sad, 'cause the top three winner doesn't show good criteria of what poster should be. Prinsip asas senireka turut berserabut.
Post a Comment