Tuhan takdirkan kita untuk saling berpasangan dengan manusia yang berbeza dengan kita dari serba-serbi. Perbezaan ini tujuannya untuk saling melengkapi, mencukupi mana yang kurang. Adakalanya perbezaan ini dapat diterima baik kerana lumrahnya manusia yang saling menyintai itu akan turut menyintai segala kekurangan pasangannya.
Namun sebenarnya di balik semua itu, masih ramai pasangan yang gagal memahami nilai perbezaan ini. Masing-masing cuba untuk membuktikan bahawa perbezaan merekalah yang benar dan lebih baik. Dalam konteks seperti ini, pertengkaran pun sering berlaku bila keduanya berbalah semata-mata untuk menegaskan bahawa punyanya adalah lebih baik dari punya yang satu lagi.
Manusia tidak akan berubah sekelip mata, atau bah kan biar berjuta-juta kali pun mata itu dikedip. Kalaulah benar perbezaan itu tujuannya untuk saling melengkapi, maka hal ini perlu dilihat dari sudut positif. Namun adakalanya cara tidak menghalalkan niat. Apapun, bak ibarat si tulang rusuk; jangan diluruskan nanti patah, jangan pula dibiar nanti makin bengkok. Siapapun yang silap, akuilah hakikat. Takkan jatuh ego manusia hanya kerana mengakui kesalahan dan kelemahan sendiri. Lakukanlah segalanya kerana kita takutkan Allah, bukan kerana kita tunduk pada manusia. Sesungguhnya rumahtangga bukanlah medan mahkamah untuk menentukan siapa betul dan siapa salah.
p/s : Aku punya 6 anak. Setiap satunya ada mewarisi sedikit perangaiku. Semua itu mewujdudkan perbezaan yang ketara hingga masing-masing selalu berbalah. Uniknya, bila digabungkan semuanya, maka ia akan menjadi seorang aku!
0 comments:
Post a Comment