Barangkali ini isu basi. Mungkin juga ramai yang sudah membacanya. Kalau belum, silalah ke entry ini. Kisah perkongsian hati Liyana Adnan, seorang blogger berpangkat engineer yang terang-terangan meletakkan harga guru di bawah tapak kakinya.
Sejak mula membacanya, dahiku berkerut. Usai menghabisi pembacaan, celaru mulai berkuasa di hati. Aku mencari marahku, seperti emosinya sahabat-sahabat seguru yang lain. Namun sampai ke sudah aku tidak menemukannya.
Lama aku mencari istilah perasaanku. Aku mencari sebuah perkataan yang paling tepat untuk menterjemahkan isihatiku.
Malu.
Mungkin itu yang aku rasakan.
Sungguh aku tidak menyangka kalau kerja yang kuanggap ibadah ini rupanya hina di mata orang lain. Bila mengingat penulis itu, aku teringat wajah manis anak-anak muridku. Hari ini, aku adalah idola di mata mereka. Mereka menyanjungku bagai seorang bidadari yang diutus Tuhan untuk memandaikan mereka. Setiap kali hari guru, mereka menghadiahkan aku hadiah-hadiah kecil sebagai tanda penghargaan. Paling tidak pun, mereka akan memberikan aku sekeping kad hari guru dengan ucapan mudah dan sangat bermakna.
Akankah juga suatu hari nanti bila mereka besar dan menjadi manusia yang jauh lebih gah dari kerjayaku ini akan memandang hina padaku?
Mudah-mudahan tidak. Mudah-mudahan saja mereka ikhlas menyayangi aku seperti ikhlasnya aku menyintai mereka. Mudah-mudahan juga mereka tidak akan pernah menyesal menghormati aku, seperti mana aku yang tidak pernah menyesali setiap detik waktu yang telah kuhabiskan untuk mereka.
Malu.
Ya. Malu itu juga aku rasakan bila di akhir coretan, Liyana menasihati para guru agar tidak membuang masa membaca blog, mengupdate facebook atau berjualan online. Tiba-tiba aku malu untuk mengupdate blog sendiri. Tiba-tiba aku merasa seperti manusia yang sama sekali tidak punya hak untuk diriku sendiri. Seolah-olah, gaji yang diberikan kepadaku tidak melayakkan aku untuk menjadi manusia yang hadir dengan hak.
Malu.
Tidakkah kau merasa malu, wahai guru? Kerjaya kita diperbandingkan dengan operator kilang. Kita cuma bekerja sehingga jam 2.00pm dan dibayar dengan gaji tinggi. Sedangkan operator kilang, pergi kerja gelap balik pun bergelap tapi gaji cuma suku dari gaji kita. Oh, malunya. Kenapa tak disamakan saja kita dengan buruh binaan? Bukankah buruh binaan kerjanya jauh lebih berat dari kita? Atau pekerja cuci pinggan yang hanya terima gaji RM350 sebulan sedangkan kerja dari subuh sampai ke tengah malam? Barangkali cik Liyana lupa kalau gaji seseorang diukur kerana kelulusan ikhtisasnya, bukan masa kerjanya. Kelupaannya membuatkan aku jadi malu lagi pada diriku.
Kasihan Liyana...
Silapnya dia kerana dia telah menggunakan istilah yang begitu global dalam mengutarakan pandangannya. Seperti Islam yang dianggap terrorist oleh dunia, maka begitulah Liyana mengistilahkan guru sebagai kerjaya yang sangat tidak bijaksana. Seharusnya, Liyana lebih bersifat spesifik agar tidak melukakan mana-mana pihak. Sama seperti dunia sebelum berani melabel Islam terrorist kerana bukan semua Islam itu mampu menjadi terrorist. Begitu juga guru, bukan semua guru bersifat seperti gambarannya.
Liyana, dan mereka yang sependapat dengannya;
Mungkin kamu adalah barisan murid-murid yang malang yang telah bertemu dengan pengalaman menyedihkan sepanjang tempoh menjadi murid. Namun aku bersyukur kerana aku berhadapan dengan sebuah dunia persekolahan yang sangat indah hingga menjadikan aku ingin sekali mengongsikan keindahan itu dengan murid-muridku. Apapun yang pernah kamu tempuh di dunia itu, jangan sesekali menganggap bahawa itulah dunia yang perlu dihadapi oleh semua orang. Ingatlah, kamu juga bakal punya anak suatu hari nanti. Anak kamu juga akan dididik oleh seorang guru.
Mungkin kamu merasa bahawa kedudukan yang kamu kecapi hari ini bukan berlahir dari jasa seorang guru. Itu hak kamu. Memang, makin tinggi pangkat seseorang, maka makin rendahlah harga bekas gurunya di matanya. Itu adalah kelazimannya.
Dan, kalau kau ingin bertanya, untungkah tidak menjadi guru, tanyalah saja terus kepada anak-anak guru. Anakku si Anis pernah berkata betapa malangnya menjadi anak guru. Gurulah kerjanya cuma tahu susukan kera di hutan sedangkan anaknya di rumah dibiarkan kelaparan...itu pendapat Anis, seorang budak berusia 12 tahun.
Ada ramai lagi manusia macam Liyana. Dan kita guru, tidak mungkin dapat memperbetulkan persepsi itu sampai bila-bila. Tapi guru, kau lebih tahu akan hargamu...
Ini cuma cabaran kecil. Semoga luahan hatinya menjadi inspirasi kepada kita untuk memperbetulkan diri jua. Amin...
P/s : Liyana sudah memohon maaf secara terbuka. Maafkanlah dia ok...
2 comments:
SALAM....cik liyana di maafkan...blog niy cukup myentuh.....sama dengan apa yang saya rasakan....pengalaman yang cukup indah ketika berada di zaman persekolahan...pengalaman saya di sekolah juga tidak kurang sakitnya...dan deritanya..tapi saya tidak pernah pun merasakan itu suatu kenangan yang menyakitkan....malahan ia mengajar saya....walaupun saya blum bergelar seorang guru pada masa ini..walaupun hanya sebagai guru kepada anak2 kecil..iaitu tadika dan prasekolah....tapi saya berasa sungguh bertuah..tidaklah salah jika seorang guru itu menulis blog..mjual secara online kerana tidak semua guru seorang yang berada...bagaimana pula bagi mereka yang mengajar dikawasan pedalaman..kadang2 mereka berkongsi masalah dan mengurangkan tekanan bekerja dengan menulis blog......wassalam
Terima kasih cik rian. Rasanya jadi guru prasekolah lagi besar cabarannya. Saya ajar tahun1 pun dah pening kepala. Tapi seorang guru tetap seorang guru. Tahniah sebab pilih kerjaya ni.
Post a Comment