Friday, March 11, 2011 | By: Luna Biru

Biarlah masa yang menentukan

Pendendam? Keras hati?

Itulah antara lontaran kata-kata abah pada aku semalam waktu aku berkeras untuk tidak memaafkan kejadian buruk yang menimpaku baru-baru ini. Kata-kata yang sama juga dihadiahkan oleh seorang sahabat lama yang entah tiba-tiba saja mahu jadi perunding kaunseling jiwa pada aku. Dua perkataan itu begitu menyentuh jiwaku sampai bengkak-bengkak mata aku menangis. Akhirnya aku mengakui, mereka benar. Ya, aku memang pendendam dan keras hati. 

Tapi ketahuilah, bahawa aku mengambil masa yang cukup lama untuk membentuk jiwa yang keras dan pendendam itu. Ia adalah hasil beberapa siri dan episod kelukaan yang aku terima yang akhirnya membuat aku nekad untuk bertindak seperti seorang penjahat. Jiwaku yang halus dan penuh seni ini lazimnya rela membiarkan diriku terluka beberapa kali, ditikam berkali-kali bahkan dihancurkan sampai aku tak mampu berdiri lagi. Sifat pemaaf yang tertanam dalam diriku menjadikan aku mudah menerima kelemahan seseorang, memaafkannya seribu kali sekali pun dan menyayanginya semula meskipun aku terpaksa bertatih sekali lagi untuk ke sekian kalinya.

Namun, aku bukan malaikat. Aku hanya seorang manusia yang juga punya kelemahan dan batas-batas tertentu. Bila sesuatu itu sudah melebihi tahap kemampuanku untuk menerima, maka aku akan mula bertindak. Bila seseorang itu mula melangkahi ketetapanku, menghina maruahku dan bertindak menghakimiku tanpa belas, mengambil hakku sebagai manusia, maka sudah wajarlah untuk aku nekad untuk memperjuangkan kembali harga diriku. Apalagi bila mereka mula bersikap tidak adil, atau bahkan sampai hati melakukan sesuatu yang tidak mungkin akan aku lakukan pada mereka, maka syaitan-syaitan dalam diriku itu pun mula menang. Lalu bila begini, jadilah aku manusia yang keras hati dan pendendam.  Lazimnya, langkah pertama yang aku lakukan adalah penyingkirkan mereka dari hidup aku. Dan bila aku sudah melakukan penyingkiran, maka aku tidak akan menoleh kembali. Yang sedihnya, aku tidak pernah menyesal.

Ya...keras benar hatiku.

Tapi percayalah, kalau kamu berada di tempat aku saat aku menghadapi kemelut itu, aku percaya, kamu tidak akan melakukan yang lebih baik dari aku. Alangkah baiknya kalau aku mempunyai hati sebaik si Intan dan Si Ana (sinetron Indon-Intan & Hikmah). Kalaulah hatiku semulia itu...Tapi siapalah di dunia ini yang rela membiarkan dirinya dihina dalam bentuk lisan dan tulisan yang kemudiannya disebarkan untuk tatapan orang ramai? Apalagi kesemua hinaan itu adalah berbentuk fitnah yang kemudiannya telah merosakkan hubungan silatur rahim yang selalu cuba aku pertahankan selama ini. Abah bilang, luruskan hati supaya hidup menjadi lebih berkat. Sahabatku bilang, kemampuan untuk memaafkan menjadikan aku lebih mulia. Tapi bagiku, tidak perlulah benang itu ditarik kencang-kencang nanti ia akan putus. Jadi, biarlah masa yang menentukan segalanya. Tawar di kopi boleh dicampur gula, tapi tawar di hati...?

Jadi, percayalah bahawa kekerasan hati dan sifat pendendam ini bukanlah terbentuk dengan sendirinya secara semulajadi. Ia adalah hasil satu siri yang panjang dan menyakitkan. Dan sesungguhnya aku; zue, riney, ade, sayang atau apa saja kamu panggil aku, memerlukan kekuatan untuk belajar membenci. Kerana di hatiku, hanya ada cinta. Ketahuilah, bahawa aku sangat sukar untuk membenci!

2 comments:

yusi said...

ba, nda sangka, ada pula persamaan kita, :)

tapi, mahal harganya zu, banyak sudah yang aku korbankan. ba, pandai2 la tanggung sendiri kan...

Luna Biru said...

life is gambling...

Post a Comment