Friday, March 11, 2011 | By: Luna Biru

Mesyuarat Penataran Standard Prestasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) KSSR PSV TAHUN 1

"20% kejayaan akademik di sekolah membantu kejayaan pelajar dalam kehidupan sebenar. 80% selebihnya adalah bergantung kepada kejayaan pelajar dalam menguasai adab, kemahiran bergaul dan komunikasi serta cara bagaimana dia menghadapi sesuatu masalah. Yang mana, kesemua ini kurang dititikberatkan dalam pendidikan di sekolah, kerana desakan sistem yang berlandaskan peperiksaan akademik semata-mata (exam based). Oleh itu, KSSR dibentuk untuk menjadikan individu pelajar tersebut berkembang mengikut kemampuannya, sekaligus mengembangkan potensi JERIS. Sistem exam based hanya mengembangkan potensi 'I' semata-mata hingga pelajar hilang wibawa berkembang dari sudut jasmmani, emosi, rohani dan sosial (JERS). Bagi menyeimbangkan keperluan ini, Pentaksiran Standard Berasaskan Sekolah telah digubal semula agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak demi generasi yang bakal memimpin dunia kita akan datang,"



....aku tertarik dengan mukadimah perasmi Mesyuarat Penataran Standard Prestasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) KSSR PSV TAHUN 1 yang dipengerusikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia ini. Mesyuarat yang dijalankan selama 3 hari 3 malam ini bertempat di Hotel Imperial International Kota Kinbalu. Seramai 158 peserta hadir yang terdiri daripada Jurulatih Negeri dan tambahan bagi Zon Sabah.

Objektif mesyuarat ini adalah untuk penyebaranluas mengenai sistem baru pengoperasian PBS yang dilihat lebih bersifat holistik dan bersepadu. Setiap murid bermula dari tahun satu dinilai dengan lebih adil dan saksama menerusi pemberian 'band' dari band 1-6. Bersamaan dengan ini, penggredan murid melalui sistem A,B,C dan D akan dihapuskan.

Setiap murid akan mempunyai fail untuk menyimpan segala bentuk evidens mereka bermula dari tahun satu hinggalah ke tahun 6. Berdasarkan fail ini nanti, maka pada tahun 2016, sistem UPSR akan mula berbentuk PBS iaitu, 60% markah berpusat dan 40% berdasarkan pencapaian di sekolah. Lalu, berdasarkan pengembangan kemajuan murid tersebut sepanjang tempoh sekolah rendah, mereka diberi pilihan untuk memilih sekolah yang bersesuaian dengan tahap kemampuan mereka pada tingkatan satu. Sekolah menengah seperti sekolah aliran seni, sekolah sukan dan ICT (termasuk sekolah menengah biasa) akan diperbanyakkan bagi menampung keperluan murid-murid ini. Contohnya, sekiranya seseorang murid tersebut lemah dalam bidang akademik tetapi agak menyerlah dalam bidang seni, maka dia akan masuk dalam aliran seni pada tingkatan satu nanti. Dalam sekolah seni itu, potensi murid ini akan diperkembangkan lagi hingga menjadi satu bakat yang besar dan mahir dalam bidangnya.

Sungguh indah idea ini, yang lahir dari cendikiawan Malaysia. Akhirnya, sistem pendidikan kita maju setapak lagi sesuai dengan arus pemodenan dan globalisasi sungguhpun negara luar sudah lama melaksanakannya. Namun, saya yakin sekiranya sistem ini dilaksanakan dengan sepenuh komited, hasrat kerajaan ini pasti akan tercapai sungguhpun kita terpaksa menunggu lebih 15 tahun lagi utnuk melihat hasilnya. Bersamaan dengan pelaksanaan sistem ini juga, saya yakin, murid-murid kita atau anak-anak kita yang selama ini tercicir dalam bidang akademik dapat diselamatkan dari istilah gagal kerana mereka kini tidak lagi bersaing untuk akademik tetapi mula mempertingkatkan kemahiran mereka. saya membayangkan anak saya memang agak lemah akademiknya, akhirnya mempunyai suatu ruang yang diiktiraf oleh negaranya sendiri. Maka, tidak akan wujud lagilah penghijrahan tenaga muda ke luar negara semata-mata ingin memproduksikan kreativiti mereka yang tidak mempunyai ruang di negara sendiri.

Namun, hakikatnya, ada beberapa isu yang perlu KPM fikirkan sebelum melaksanakan sistem ini. Pertamanya yang paling penting ialah pembentukan organisasi PBS. Oleh kerana PBS berorientasikan 'online', iaitu setiap markah murid perlu di key in setiap kali selesai pentaksiran, maka tugas ini akan terbeban kepada setiausaha PBS, iaitu GURU! Perlulah difahami bahawa beban tugas guru yang sudah menjadi isu hangat dan basi ini masih belum mampu diselesaikan lagi sungguhpun sudah melalui banyak perundingan. Sistem pemfailan dan perkeranian seperti ini secara rasionalnya banyak menganggu tugas mengajar dan mendidik pelajar. Guru sekarang bukanlah seperti gur 20 tahun lepas yang tugasnya lebih tertumpu kepada pendidikan pelajaran semata-mata. Dewasa ini, tugas guru semakin bertambah dengan desakan kepadatan jadual yang semakin membebankan. Hal ini juga boleh dilihat dari segi kelogikan peruntukan masa. Bukan saya mempertikaikan tugas seorang guru. Namun, tugas yang ada sekarang pun sudah cukup banyak hinggakan tidak tertangan lagi. Penambahan satu lagi tugas ibarat menuang air ke gelas yang sudah penuh. Juga ibarat masuk ke lif yang sudah sarat dengan penumpang. Kami sendiri sudah tidak tahu mahu memasukkan ke mana lagi tugas yang bakal mengunjung ke pintu sekolah ini.

Adalah lebih baik sekiranya pihak KPM menyediakan seorang pekerja khas seperti kerani atau apa sajalah jawatannya, untuk merealisasikan tugas ini. Seperti halnya KPM menyediakan juruteknik bagi setiap pusat akses di sekolah yang banyak mengurangkan beban guru ICT. Guru hanya perlu mentaksir murid dan merekodkannya dalam bentuk manual lalu menyerahkan kepada pekerja tersebut untuk direkodkan dalam bentuk digital. Cara sebegini lebih menyenangkan dan memudahkan guru dan guru juga punya banyak masa untuk memberi komitment penuh kepada pengajaran dan pembelajaran.

Saya sangat menyokong sistem PBS ini dengan bersyarat seperti di atas. Sekiranya, beban tersebut tetap diletakkan di bahu seorang guru, maka akan makin cacatlah P&P guru tersebut yang sentiasa terpaksa bekejar masa dan dateline.

Satu lagi isu yang hebat diperbincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah pembentukan instrument pentaksiran PBS. Ramai peserta yang hadir merasakan perlunya membentuk sebuah instrument berdasarkan band yang telah disediakan. Instrument ini tujuannya adalah untuk menjadi garis panduan yang dapat diselaraskan oleh semua guru di seluruh Malaysia dalam menentukan band seseorang murid. Namun, bagi saya, instrument ini tidak perlu diselaraskan kerana sistem PBS itu sendiri adalah berasaskan sekolah. Apalah kiranya jika sekolah di bandar yang bertaraf lebih tinggi dapat dibandingkan dengan sekolah yang terletak di hulu bandar? Sekiranya mereka menggunakan instrument yang sama, maka ketelusan pentaksiran ini tidak dapat diukur dengan jayanya. Pada pandangan saya, cukuplah sekadar band itu senditri menjadi guideline kepada guru untuk menaksir markah murid.

Ini adalah mesyuarat pertama yang saya hadiri dengan membawa pulang banyak tanda soal di dalam kepala. Saya sendiri masih agak kabur dan tidak tahu bagimanakah caranya nanti dapat saya sampaikan di peringkat daerah. Pastinya isu ini akan menjadi hangat diperdebatkan. Namun, saya masih menunggu keputusan akhir mesyuarat lembaga yang akan berjalan pada bulan May nanti. Semoga pada ketika itu, pihak KPM sudah mencapai kesepakatan sebelum melancarkannya secara rasmi. Janganlah jadi seperti pelaksanaan PPSMI yang tidak ke mana tujunya.

Kepada mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut, diharap dapat bersabar dan menanti hingga bulan May ini nanti. Sementara menunggu masa itu, kita enjoy-enjoy dulu ba...rilek-rilek ko bro...

Sekitar mesyuarat ...

Antara peserta yang hadir.
Encik Rushada, fasilitator
Projek pembinaan instrument berkumpulan
Encik Nordin (depan sekali), penolong pengarah
Inilah hasil perbincangan
Fail yang diberikan
Peserta PSV di malam terakhir
Apapun, semoga setiap usaha kita diredhai Allah jua hendaknya. Amin...
Thanks Uchu Sue, for sharing pictures! Sharing is caring!
http://rineyramley.blogspot.com/2011/03/ladies-outting-day.html

4 comments:

Unit Pentaksiran Sekolah said...

Setiap guru perlu mencatat pencapaian murid berdasarkan evidens yang dinyatakan. Bagaimana hendak mengutip evidens tu mungkin bergantung kepada instrumen.. namun ini hanya apabila mengadakan pentaksiran sumatif. Dalam P&P harian , cuma pentaksiran formatif yang perlu dilakukan. Ini tidak memerlukan guru merekodkan pencapaian murid.

Dari aspek kurikulum juga , BPK telah mengurangkan kandungan kurikulum. Difahamkan terdapat mata pelajaran dimana dikurangkan melebihi 60%. Ini semua akan membantu mengurangkan beban guru.

Dari aspek perekodan prestasi pencapaian pelajar (Standard Prestasi),kehadiran Sistem Aplikasi Online untuk memasukkan evidens sangat membantu. Laporan pencapaian dalam bentuk Formatif dan Sumatif dapat dibuat bila diperlukan.

Facebook: pbs kedah

Shahrir said...

Setiap guru perlu mencatat pencapaian murid berdasarkan evidens yang dinyatakan. Bagaimana hendak mengutip evidens tu mungkin bergantung kepada instrumen.. namun ini hanya apabila mengadakan pentaksiran sumatif. Dalam P&P harian , cuma pentaksiran formatif yang perlu dilakukan. Ini tidak memerlukan guru merekodkan pencapaian murid.

Dari aspek kurikulum juga , BPK telah mengurangkan kandungan kurikulum. Difahamkan terdapat mata pelajaran dimana dikurangkan melebihi 60%. Ini semua akan membantu mengurangkan beban guru.

Dari aspek perekodan prestasi pencapaian pelajar (Standard Prestasi),kehadiran Sistem Aplikasi Online untuk memasukkan evidens sangat membantu. Laporan pencapaian dalam bentuk Formatif dan Sumatif dapat dibuat bila diperlukan.

Facebook: pbs kedah

REMBULAN JINGGA said...

Terima kasih kerana memberi komen.
1. Isu Pengurangan kandungan kurikulum mungkin akan sangat membantu mengurangkan beban guru. Namun saya masih agak kabur mengenai isu ini dan akan mencari lebih banyak informasi mengenainya.

2. Sistem Aplikasi Online memang sangat membantu dan merupakan satu kemajuan dalam industri pendidikan negara kita. Namun, kita masih terbelenggu dalam isu yang berkaitan pembebanan tugas guru. Kalau sekadar BPK mengurangkan, tetapi sistem ini menambah, maka sebenarnya, kita belum benar-benar telus menyelesaikan permasalahan ini.
Thanks ya!

Shahrir said...

sama-sama... kita berjalan menuju objektif yang sama...mendapatkan pelajar yang lebih baik

http://pentaksiranberasaskansekolah.blogspot.com/

Post a Comment