Monday, November 18, 2013 | By: Luna Biru

mimpi bahagia

Tak ada yang merasa bahagia di rumah ini lagi. Kami kekalutan cara untuk membentuk bahagia kerana tak ada satu pun dari kami yang sudi menerima kelemahan orang lain sebagai cabang dari rencah kehidupan. Si anak bersungut ketidakmampuan ibubapanya dalam memenuhi kehendak materi, si nenek merasa hidupnya menderita seumur hidup kerana tidak kecukupan perhatian si datuk; si datuk itu pula merasa tidak pernah difahami; si suami merasa terpinggir oleh keributan dan ketidakmampuan; manakala aku; apapun jawatan atau gelaran yang kupegang di rumah ini seringnya tercekik oleh keadaan yang kuanggap tak mahu bertoleransi.


Lalu bahagia itu pun selalu jadi mustahil. Bahkan semakin hari, semakin sulit untuk diraih, apalagi bila musim-musim cuti sekolah begini...tanpa kemampuan, tanpa rancangan, mimpi untuk berkelana hanya tinggal impian yang melukakan. Sekaligus memalukan kerana aku gagal mengota janji.

Untuk sebulan akan datang, aku tak tahu lagi bagaimana harus menipu anak-anak untuk tetap bahagia. Sebulan ini adalah penyeksaan kekal. Kami akan hidup dengan leteran, pekik-pekik maut dan tuntutan untuk menjadi sempurna.

Ah...kenapalah manusia gagal memaklumi bahawa bahagia itu sebenarnya letak di hati?

0 comments:

Post a Comment