Monday, November 18, 2013 | By: Luna Biru

Karma itu tertulis buat kita

berita di sini
Aku tak pasti kalau segalanya bermula dari titik aduan ini. Apa yang penting, impaknya bakal kami sekeluarga rasai berikutan keputusan KPM untuk memansuhkan elaun ini bermula awal Januari depan. Suka atau tidak kami bakal kehilangan RM700 dari gaji. Hebat pertiwiku. Hebat kerajaanku!

Kononnya elaun ini akan digantikan dengan satu instensif lain. Persoalan apa dan bila menjadi tanda tanya. Tapi mungkin jarak masa itu masih lama sekali kerana mereka yang maha bijaksana itu baru bercadang, baru mengajukan permohonan. Maka itu bermakna ia belum dibincangkan lagi. 

Kami pun terjengil2 menatap langit memikirkan nasib yang bakal kami terima kelak. Dengan kos sara hidup yang ampun-ampun tingginya, kadar kenaikan minyak, mulut anak-anak dan orang tua yang perlu disuap, bil-bil yang tiada belas, maka kami akan jadi antara penjawat awam yang malang. Inikah makna kemenangan PRU13? Hidup semakin sulit menghadapi kerajaan yang sudah gegabah menutup lubang demi lubang keberhutangan mereka semata-mata untuk meraih kemenangan tempoh hari. Rakyat pula, meski terpaksa menelan pahit kehidupan, terkesima juga dengan manisnya gula-gula BRIM dan projek2 bisnes mikro yang kononnya berusaha mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan. Persoalan yang timbul dalam kepalaku adalah, mengapakah elaun seciput itu yang dipotong dari gaji yang juga seciput semata-mata nak berselindung pada PPSMI yang sudah roboh tiang serinya? Hakikatnya, ia hanya bertujuan untuk menyelamatkan bajet negara yang kian merundum. Mengapa menteri-menteri yang besar gaji dan beribu2 elaunnya itu tidak pula diminta berkorban demi rakyat yang kononnya perlu didahulukan?

Tiba-tiba aku memahami perjuangan A. Samad Said meski ia tidak berlangsung pada jalan yang betul. Terlalu banyak kapitalis, terlalu banyak korup dan terlalu banyak birokrasi yang bermahajarela di bumi yang kita cintai ini. Malang sungguh kita tak punya pilihan untuk dikagumi hingga kita terpaksa saja menyerah pada satu barisan yang tidak pernah lurus barisannya lagi. Lebih malang lagi kita telah bersaksi di atas lembaran kertas merah jambu untuk kekal setia. Kertas itulah yang menjadi pegangan utama untuk terus mengugut dan mempersenda nasib kita. 

Jadi aku kini adalah penjawat awam PPP yang berstatus DGA 32 dengan tangga gaji RM3350 dan berelaun kurang dari RM700.Setelah menolak potongan rumah, kereta dan Angkasa, maka yang tinggal adalah kurang dari RM50 untuk dibelanjakan setiap hari. Bak kata Pak Najib, BRIM RM500 kalau dibelanjakan dengan berhemat pun, pasti cukup sampai setahun. Maka, berasaskan kata-kata yang penuh motivasi itu, aku pun menghitung-hitung apa yang dapat kubelanjakan dengan wang RM50 sehari. Belanja anak sekolah pagi petang saja sudah capai RM20. Duit minyak nak menghantar dorang pun RM15 sehari. Lebihnya bolehlah kot beli  ikan sardin. Nak beli sayur dan telur, kan ke Pak Najib anjurkan tanam dan ternak sendiri? 

Ah...aur-aur pemberontakan dan pembangkang mulai terbit secalit-calit dalam darahku yang tak pernah mahu duduk diam ini...




0 comments:

Post a Comment