Sunday, November 17, 2013 | By: Luna Biru

Antara GSU dan JERIS

Aku disuguhi dengan ucapan terima kasih yang bertalu-talu. Tangan-tangan asing terus menyalami aku. Harapan demi harapan pun dipatrikan. Aku dianggap wirawati penyelamat dunia yang telah membebaskan anak-anak bumi Surati dari belenggu kegagalan Bahasa Inggeris. Aku disanjung-sanjung sampai mungkin mereka lupa bahawa tugasku sebagai guru hanyalah membukakan daun pintu selebar-lebarnya. Tanpa murid itu melangkah sendiri untuk masuk ke dalamnya, mimpi untuk lulus dalam matapelajaran yang ngeri ini bakal tinggal jadi mimpi.


Sentuhanku yang dianggap ajaib sebenarnya hanya ajaib untuk mereka yang mahu memerdekakan diri dari belenggu kemalasan dan kemunduran. 19 orang manusia tetap gagal aku selamatkan meski aku sudah berusaha sedapatnya untuk sampai ke arah itu. Nombor-nombor selebihnya juga sebenarnya bukanlah keajaiaban yang mutlak. Aku bukanlah sang pemakbul mimpi PPD yang begitu beraspirasi untuk merangkul sebanyak –banyak gred A dalam mata pelajaran kritikal ini. Aku juga tidak mampu memberikan sang pemimpin itu GPMP yang diimpikannya meski peratus kelulusan jauh meningkat dari yang sebelumnya. Kuantiti hanyalah sepenggal harapan yang sia-sia. Mereka menagih kualiti. Aku tak mampu memberi. Sialnya menjadi aku. Tanpa penghargaan atau secuil ucapan tahniah atas peningkatan peratus, kami ibarat ibubapa yang gagal mendidik anaknya jadi manusia berguna. 

Lalu ketika segala pengorbanan terasa begitu disia-siakan oleh manusia-manusia yang seharusnya menjulang Falsafah Pendidikan Negara, aku pun tersepit antara bingung dan pemberontakan. Apakah sebenarnya matlamat pendidikan itu? Apakah juga makna pendidikan dalam konteks JERIS yang disepadukan dengan FPN dan Rukun Negara? Kenapa setiap untaian waktu yang kulihat adalah percanggahan demi percanggahan yang hanya mencarca-marbakan antara hukum logic dan realistic?

Saat KPM mewar-warkan teori ‘Guru Mengajar, Murid Belajar’ yang kononnya begitu menghargai tiap satu titik perubahan dalam diri pelajar; KPM itu sendiri telah merungkai satu pelan statistic pengiraan untuk menilai analistik kualiti sekolah yang bertentangan dengan kehendak teori GMMB. Penilaian GPS ini, sedikit sebanyak menganggu institusi ketenangan dan tanpa sedar kita terus hanyut memburunya dengan melupakan keperluan pelajar itu sendiri. PPD semua daerah dan negeri berpusu-pusu mahu merebut GPS berkepala 1. Pasti bangga nantinya saat membentang di dewan-dewan berhawa dingin dengan kepala pemimpin intelektual. Kepala 3 dan 4 adalah satu sumpahan keramat yang boleh menjatuhkan entiti sesebuah daerah. Alasan tak mahu bertekak di parlimen menjadikan semua ketua-ketua rakyat yang bergelar guru ini terus mendesak sekolah untuk berkerah tenaga menghasilkan lombong gred A. Kesucian pendidikan itu pun diragut. Murid-murid mulai dipisahkan mengikut kasta dan hierarki kegeniusan otak tanpa memikirkan kesan psikologi paku karat yang bakal tertancak sampai mati di kepala mereka. Tak sedarkah bahawa masalah sosial yang begitu teruk melanda Negara kita adalah kesan dari pemisahan kelas sebegini?

Pemerkosaan paling ketara hasil dari idea manusia-manusia genius ini adalah apabila sang ketua-ketua rakyat mulai mementingkan maruah lebih dari kemenjadian murid itu sendiri. Tiada yang mahu bersyukur kalau murid itu sebenarnya sudah melalui fasa perubahan dari D ke C, atau dari C ke B. Jesteru yang dipandang hanya A. Kita buta kerana A. Kita pinggirkan hak murid kerana A. Kita begitu kecanduan kepala 1. Tiada penghargaan lagi buat guru-guru yang bertungkus-lumus menyelamatkan murid dari gagal ke lulus. Bahkan tiada penghargaan lagi untuk murid selagi mereka tidak memeluk A. Huruf A dan kepala 1 adalah lambang peradaban, lambang maruah, jauh lebih penting dari kesamarataan hak murid itu sendiri.

Ah…idea KPI, GPS ini tidak salah sebenarnya. Ia adalah suatu bentuk motivasi untuk sesebuah institusi memperbaiki diri. Ia juga adalah suatu system analitik untuk menilai prestasi kemajuan diri. Apa yang salahnya di sini ialah apabila kita meletakkannya lebih tinggi dari nilai pendidikan itu sendiri. Seolah-olah itulah yang maha terpenting dalam dunia pendidikan. Kita sampai lupa keperluan murid, kita acuhkan FPN, kita nafikan JERIS semata-mata mahu menjadi mulia di dewan parlimen. Alasan tak mahu dipersoal di dewan adalah sebuah alasan epic paling kuno, paling penakut dan paling pengecut. Aku juga tak tahu mahu menjawab apa pada Tuhan kalau di akhirat kelak aku dipersoalkan tanggungjawabku sebagai guru. Kelak Tuhan bertanya padaku, kenapa aku siakan keperluan muridku semata-mata mengejar A? Apa yang perlu kujawab? Mahukah Tuhan mendengar kalau kukatakan kerana system pendidikanku yang begitu kapitalis telah memaksa aku berbuat demikian?

Sebagai guru, aku sebolehnya cuba bersikap adil pada pelajar. Aku memberikan hak sama rata kepada mereka agar mereka berpeluang untuk memajukan diri dan mengembangkan potensi masing-masing. Setiap individu itu berbeza. Kerana itu kita ada FPN yang mementingkan JERIS. Kita mendidik manusia bukan untuk lulus peperiksaan. Kita menyediakan ruang untuk mereka belajar untuk bersedia menghadapi dunia masa depan. Pembelajaran adalah seumur hidup. Sudah tentu kita mahu sekolah kita adalah menjadi yang terbaik dengan deretan murid bergelar 5A dengan minimal angka GPS yang menawan. Tapi bagi aku itu semua adalah bonus pada segala usaha. Tidak mencapainya bukanlah bermakna kita tidak berusaha secemerkap mungkin. Meletakkannya sebagai kepentingan juga adalah suatu kebinasaan yang fatal. Mencabar guru berundur dari bidang ini semata-mata kerana dianggap gagal juga adalah lambang kemahatololan. Adilkah? Setelah segala usaha yang kita letakkan dan korbankan lalu kita dicabar untuk berundur dari dunia perguruan? Adakah itu nilai titik prestasi bahawa kita adalah guru yang gagal total? Ibarat seorang suami yang berputus asa pada isterinya, maka dia memutuskan untuk menceraikannya saja. Tanpa usaha untuk memperbaiki keadaan. Apa susah? It is very simple…very clear…if you don’t like this field, you can leave it.  Wow….semudah itu?

Cinta adalah kekuatan asas dalam kehidupan. Tanpa cinta, kita tidak akan kemana. Cintalah yang membuat mimpi kita menjadi kenyataan. Cintalah yang menguatkan kita hingga kita percaya kita akan mampu ke langit memeluk mimpi. Jadi cinta itu bermain peran dalam dunia keguruan ini. Aku berdiri di medan ini menempuh segala kesakitan dan kelelahan juga atas nama cinta. Medan ini begitu mengujakan. Sangat mencabar dan memberi kemanisan pada akhirnya. Namun semenjak akhir-akhir ini, cinta itu terus-menerus dicabar dengan system kapitalis dan komunisme dalam bidang yang begitu aku cintai ini. Ketelusannya sudah tiada lagi. Kita telah berubah jadi monster yang kejam dan tanpa sedar kita terus-menerus merobek hati si anak kecil dengan kegilaan kita meraih anugerah A dan kepala 1. Keikhlasan sudah berganti dengan kepenatan mengejar mimpi orang-orang genius. Malangnya, kita tak punya kuasa untuk mengadu nasib pun kerana kita hanyalah boneka KPM yang gila mengeksperimentasikan model-model pembelajaran yang baru. Mengadu bermakna bersedia untuk dicabar berhenti. Lalu boneka itu pun melahirkan murid berjiwa sekaku robot tanpa naluri.

Lalu, di saat aku dikecam kerana tidak mampu menjadi guru yang berkualiti oleh manusia-manusia besar, datang manusia-manusia kecil yang menyalamiku dan mengucapkan terima kasih padaku. Manusia kecil itu bukanlah murid. Tapi ibubapa kepada murid yang begitu bersyukur kalau masih ada guru bersisa di bumi seperti aku. Huruf C bagi mereka adalah ibarat butiran emas yang dikutip di tengah lumpur. Begitu bahagianya mereka mendapatkan huruf keramat itu seolah-olah huruf itu telah menyelamatkan mereka dari belenggu kemiskinan dan kenaifan.  Huruf itu seolah-olah telah mampu menyelamatkan maruah mereka sekeluarga. Mungkin mereka sedar, untuk mendapatkan huruf itu pun sukar sekali, apalagi mahu bermimpi mendapatkan A. Ia sangat jauh dari impian bahkan separuh dari mereka tidak berani pun memimpikannya. Mereka mungkin melihat kesungguhanku dari sudut pandangan yang tidak dipakai oleh system kapitalis.


Aku pun keliru. Apa sebenarnya simpang pada kebenaran ini? 

0 comments:

Post a Comment