Hukuman perintah berkurung di sekolah yang dikenakan pada kami atas kegagalan mendapat GPS kepala 1 oleh Encik PPD sudah tamat pada Jumaat lepas. Aku gagal hadir penuh. Aku malah gagal nak serahkan pelan tentatif BI aku meskipun aku sudah siapkan sejak awal-awal lagi. Gerombolan SIC + sudah menunggu bagai mulut sang gua batu belah baru bertangkup. Malangnya, sikap suka mengambil lewaku dan suka melambat-lambatkan penyerahan membuatkan aku pastinya akan jadi seperti si Pekan yang akan menangis-nangis meminta ampun nantinya.
Oleh itu, aku terpaksa menyerahkan benda keramat itu esok. Padan muka aku.
Dan saat ini aku sedang bergelumang penuh seksa menyudahkan 3 plus 2* assignment seorang rakan akrab yang merayu-rayu meminta pertolonganku. 3 plus 2 assignment dalam masa 8 hari! Memang kerja gila! Atas rasa hormat dan sayangku padanya, ditambah pula dengan sedikit perisa mahu mencari kewangan lebih, maka aku pun meringankan hati untuk membantu. Khamis lepas aku straight forward tidak tidur hampir 48 jam! Sempat aku bertanya dalam diri, adakah ini nilai rasa persahabatanku padanya? Kerana kalau nak dikira pasal bayaran, kawanku ini juga bukanlah orang yang berkemampuan. 3 plus 2 assignment dalam masa 8 hari...bayangkan saja caj yang dikenakan kalau orang lain yang membuatnya....tapi seperti yang aku katakan tadi, duit bukanlah nawaitu utama kerana nilai persahabatan kami sebenarnya lebih dari wang ringgit (sekurang-kurangnya pada perasaan aku).
Kalau korang tertanya-tanya, kenapa assignment pun kena orang lain buatkan, jawapannya aku sendiri pun tak tahu. Apa yang pastinya, trend mengupah orang lain membuat assignment sudah jadi semacam gaya hidup kepada bakal pemilik-pemilik sarjana muda ini. Aku yang masih tergantung sarjana ini juga pernah membuatkan assignment bakal master. Hebatkan aku? Persoalan kenapa adalah di luar bidang aku. Dalam hal ini aku hanya bertindak sebagai si penangguk di air yang keruh, iaitu mengambil peluang pada mereka yang tidak berkemampuan membahagi masa untuk mengurus diri sebagai guru, ibu dan pelajar PJJ dalam masa yang sama.
Ok. Setakat ini dulu. Sambung lagi buat assignment sebab si sahabat baik* telah menyemak hasil kerjaku dan mendapati dia sudah tersilap memberi panduan isi kandungan sebelum ini. Ini bermakna, aku terpaksa merombak balik assignment yang telah kubuat atas kekeliruannya yang fatal sebelum matahari terbit di 24 November 2013. Amin.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nota kaki:
*3 plus 2 : 1 assignment terbahagi kepada dua bahagian. Setiap bahagian pula adalah terdiri daripada 20 mukasurat.
*Sahabat baik? Wallahuaklam.
0 comments:
Post a Comment