Setelah seminggu terdampar di katil hospital yang dingin, baru hari ini aku punya masa melawat Anjangku yang begitu menyayangiku ini. Itupun setelah puas dimarahi dan diteriak abah. Hari ini, anehnya abah tidak menjerit padaku lagi. Dia hanya merenungku tajam dan mengucapkan sebuah kata-kata yang cukup membuatku tersentap;
"Lawatlah anjangmu Cil...lawatlah. Jangan nanti kau menyesal kalau sampai tak terlawat hanya kerana alasan sibuk. Kerja boleh menunggu. Tapi nyawa?"
Naifkan? PELALAI a.k.a. PELIDUT. Itu memang gelar terbaik untuk anak buah yang tak tahu malu macam aku. Sikapku yang suka menunda dari besok ke besok nyatanya sudah menjamah sampai ke minggu. Padahal, waktuku sakit dulu, sedang menyiram bunga pun, kutarik tangannya masuk ke bilik, minta diurut. Kalau dia sedang mandi, sanggup kutunggu di depan pintu. Belum pun kering badannya, aku sudah berbaring di atas tilam, merengek-rengek minta ditawar. Bahkan, kalau dia sedang mengadu tangannya luka kerana tertusuk duri bunga pun aku tak pernah peduli. Aku tetap memaksanya untuk menyembuhkan sakitku, seolah-olah sentuhannya itu adalah penyembuh magis buatku.
Anjangku ini tidak pernah meminggirkan aku. Semua anakku berada di bawah seliaannya sejak dari dalam kandungan sampailah habis berpantang. Dia setia mengurut dan melenggang perutku sepanjang mengandung. Kalau dia tahu aku mahu bersalin, dia segera datang dan memberi selusuh. Dia tidak pernah mungkir mencuci tembuni anak-anakku, bahkan penuh tulus menjaga aku sepanjang tempoh berpantang. Masih kuingat dia sampai tertidur menuam botol berisi air panas diperutku saat aku menderita sakit kelam batu. Dia betul-betul menyintai aku.
Dan kini,
dia sedang menderita melawan sakit tuanya...
Malangnya dia tak tahu kalau aku telah datang hari ini. Wajah tuanya kelihatan sangat tenang dengan nafas yang satu-satu dihela dari lubang hidungnya yang terselit hos penyambung nyawa. Wajah itu jauh dari kali terakhir saat aku melawatnya di rumahnya dulu. Kapan waktu itu? Aku cuba mengingat tapi otakku membantah untuk bekerja. Aku tidak mahu dicengkam rasa bersalah kerana kefatalan sikapku yang telah mengabaikannya yang begitu menyayangi aku.
Dan wajah tua itu...mengingatkan aku pada arwah nenek yang telah pergi 20 tahun lalu. Seraut wajah yang membuatku semakin dipenjara rasa bersalah. Subhanallah...maha suci Engkau ya Allah...ampunilah segala kelalaianku. Untungnya nenek tidak menderita terlalu lama. Semoga Allah meringankan penderitaan makcikku ini...
Segulir air mata mengalir lesu di sebelah matanya saat tangannya kugenggam memohon ampun dan minta dihalalkan segala keonaranku. Dia dengar! Aku mahu berteriak gembira. Tapi mungkin tubuhnya terlalu lemah untuk beraksi hingga mata pun tak mampu dibuka. Saat aku ingin pergi, aku dapat merasakan genggaman tangannya yang tadinya begitu hambar. Dia cuba menahanku pergi, benarkah? Atau dia ingin memberitahuku sesuatu, bahawa sebenarnya dia sedang menanti seseorang atau sebenarnya ada yang begitu memberat dalam jiwanya untuk membuatnya pergi?
Wallahuaklam...
0 comments:
Post a Comment