Sunday, November 17, 2013 | By: Luna Biru

Anies, SRU dan ustazah Jamilah

Setelah dipaksa-paksa, akhirnya dapat juga kupujuk Anis untuk mengikuti konvokesyen SAN-nya. Malu adalah alasannya untuk menolak jemputan konvo yang sudah dikirim lewat surat oleh guru sekolah agamanya sejak dua minggu sudah. Konvo ini adalah julung kalinya diadakan untuk mengiktiraf pelajar-pelajar yang sudah berjaya melepasi dari tahap cemerlang hingga ke minima lulus di sekolah ini. Naifnya, kesibukan pula jadi alasan untuk kami memaafkan perbuatan melengah-lengahkan mengambil keputusan SUI-nya semenjak dari tahun sudah.

                Didorong rasa bersalah itulah aku memaksanya memenuhi undangan konvo tersebut. Lebih dari itu kerana aku merasa agak sedikit terpesona atas kepintaran puteriku ini. Dia memang luar biasa cerdas. Dengan jumlah bilangan kehadiran yang mampu dibilang pakai jari, dia masih mampu lulus dengan baik.


                Nyatanya, meski ragu-ragu pada mulanya, pemaksaan ini akhirnya membuah kegembiraan buat Anis. Berkali-kali dia berterima kasih padaku atas pemaksaan itu. Dia gembira. Kesimpulan itu kucapai bukan sahaja kerana dia sendiri telah mengatakannya pada aku. Tapi juga kerana sepasang matanya tidak bisa menipu. Mata itu menerbit sinar bahagia kerana dia selama hidupnya begitu kecanduan dengan sesuatu yang bernama penghargaan. Entah syaitan mana yang membisik dalam telinganya yang mampu membuatnya percaya bahawa dia adalah mangsa yang dipinggirkan dan tidak dihargai.



                Aku senang melihatnya bebola matanya yang bersinar bahagia itu. Aku bahagia melihat senyumnya yang mengambang sampai ke telinga. Dia adalah ciptaan Tuhan yang terlalu besar untuk merasa kecewa dengan diri sendiri, kebahagiaannya itu juga membuat aku menyimpul pada suatu hal; betapa dia benar-benar belum matang dalam membuat keputusan. Aku perlu sentiasa ada di sisinya untuk menjadi buah pemikirnya.



                Ketika ustazah lamaku, yang selama ini kukira membenci aku, dan kini menjadi ustazah pula untuk Anis menemuiku dan mengucapkan tahniah, aku terkedu. Wajahnya yang garang dulu adalah monster yang paling kubenci. Sorot matanya yang kejam selalu membias dendam yang panjang dalam hidupku sepanjang bergelar pelajar. Benar. Selama ini aku fikir dia membenciku sepertimana aku membencinya. Aku juga selalu terfikir kalau dia akan melempiaskan kebenciannya itu pada anak-anakku pula. Tapi ternyata semua telahanku salah. Guru tetaplah seorang guru yang berjiwa mulia. Dia begitu menyayangi anak-anakku dan tidak pernah pula memburukkanku pada mereka. Dia malah selalu menjadikan aku sebagai kisah untuk diinsipirasikan pada Anis hingga anak itu benar-benar percaya betapa bagusnya mamanya ini dulu.



                Hari ini, ustazahku itu masih mengesekolahi aku dengan nasihatnya yang membuat aku tersentap. Sorot matanya yang kubenci dulu sudah berubah jadi elusan seorang ibu yang sangat mengasihi anaknya. Dia tetap mahu menyelamatkan aku dan mengharapkan yang baik-baik tentangku atas sebuah kepercayaan yang tak ku tahu dari mana datangnya…

                “Zue…jaga anak baik-baik. Selama ini aku risau kalau anak-anakmu tidak akan mewarisi sifat-sifatmu. Syukurlah kau ada Anis untuk meneruskan sifatmu itu. Jaga Arin dan Abe baik-baik. Bukan saja kerana mereka anakmu. Tapi kerana mereka adalah anak lelaki yang bakal jadi khalifah di bumi ini. Terapkan nilai disiplin dalam diri dorang dan teguhkan keimanan di hati dorang dan jangan sesekali kau abaikan nilai agama dalam diri dorang. Kau telah diberi amanah itu, Zue. Untuk memikul tanggungjawab menjadi ibu kepada lima orang anak lelaki. Kau tahu apa maksudnya, kan?”

                Ya. Sudah tentu aku tahu.

Aku juga tahu kalau aku sudah tersasar dari belokan yang sepatutnya aku lalui. Aku tahu kelemahan system perundangan yang aku kibarkan dalam membina keluarga ini. Terlalu banyak kalut. Terlampau banyak ralat. Dan aku bukanlah kuda pemacu yang gah berlari melawan angin. Aku bagai lalang yang terus merunduk hingga bila kusedar, aku sudah hampir membawa keluargaku tersemban atas tanah.

Ah…ustazahku itu…


2 comments:

Atie said...

Zue, ustazah Jamilah itu, ustazah kita waktu di SMAIP atau dia ustazah Jamilah yang lain? kalau dia ustazah Jamilah kita, tolong sampaikan salam terima kasih paling banyak aku sama dia kalau kau punya kesempatan ketemu sama dia ya...

Luna Biru said...

Ya...dialah tu Tie...

Post a Comment