Thursday, June 2, 2011 | By: Luna Biru

Aku kelicap itu


Sudah lama aku tak mendengar khabar dari seorang sahabat lamaku. Sahabatku ini seorang pembangkang tegar kepada setiap perbuatanku. Semua tindak tandukku selalu salah di matanya. Ada saja perilaku, tuturbicara dan entryku yang menjadi bahan persoalannya. Kadang-kadang aku rasa dia ni macam 'joy killer'. Kami 'berputus kasih' baru-baru ini pun kerana aku sudah cuak dengan sikap kaki komplennya yang tak pernah mahu berubah. Sejak itu kami pun masing-masing.

Tetiba saja malam ni aku rindu mahu bertengkar lagi dengannya.

Aku tahu mana nak cari dia dan dia pun tahu mana nak cari aku.

Tapi ego ini....
Aku teringat di Juni musim lepas, kami bertengkar lagi atas satu sebab yang cukup menghiris hatiku waktu itu. Ketika itu aku sedang meniti kejayaanku sebagai Jurulatih Kebangsaan di tahap yang cukup membanggakan. Dalam masa yang sama, aku juga berjaya menganjurkan sebuah projek yang kemudiannya menjadi sangat cemerlang. Lalu atas rasa gembira seorang kawan, aku kongsikan berita itu untuknya. Kusangka dia akan menerimanya dengan baik, ataupun sekadar mengucapkan tahniah atas kejayaanku. Namun perkara sebaliknya berlaku.

Dia mengatakan bahawa dia sama sekali tidak teruja dengan kejayaanku. Katanya, selama dia mengenali aku, aku adalah manusia yang tak pernah kekal dengan satu impian. Katanya lagi, impianku ada banyak dan aku akan sentiasa memastikan impianku tercapai setiap kali. Dan aku akan melakukan apa saja untuk mencapai impianku. Namun, bila aku sudah mencapainya, aku akan segera meninggalkannya dan beralih pada satu impian yang lain lagi. Dia mengibaratkan aku bagai burung yang hanya terbang sekadar untuk hinggap ke satu dahan demi dahan, sekadar untuk menguji kelajuan dan kemampuannya untuk terbang. Menurutnya lagi, kalau aku boleh mengecap kejayaan kali kedua pada bidang yang sama, maka barulah dia akan berbangga denganku.

Aku masih ingat betapa marahnya aku waktu itu. Aku menuduhnya pembunuh kebahagiaan kerana kata-katanya itu secara automatik terus membunuh seluruh kegembiraanku pada malam itu.

Baru Juni musim ini aku menyedari bahawa dia benar.

Ya. Dia benar. Aku memang begitu. Aku memang jenis manusia yang kuat semangat dan tabah. Aku akan meletakkan satu wawasan dalam hidupku dan aku akan berusaha untuk mencapainya. Aku juga akan pastikan bahawa impian itu benar-benar tercapai. Beruntungnya, aku tidak pernah gagal. Namun aku tidak pernah bertahan pada satu impian yang sama. Aku akan berhenti pada saat kejayaanku sedang bertapak dan meninggalkannya tanpa pernah menoleh lagi. Lalu aku akan memburu impian yang lain hingga kemudiannya kitaran itu pun berulang, lagi dan lagi.

Kenapa aku begitu?

Kerana sesungguhnya aku bukanlah sekuat mana. Segala rintangan yang kuhadapi sepanjang tempoh mencapai sesuatu impian itu seringkali menjadikan aku mangsa trauma pada akhirnya. Trauma itu kemudiannya menjadi sebab untuk aku meninggalkan impian itu. Aku seharusnya menjadikan trauma itu sebagai penguat semangatku sebagai landasan untuk mencipta kejayaan yang lain. Tapi sebaliknya, aku membiarkan trauma itu membunuh semangatku untuk terus bertahan.

Abah selalu cakap, aku hangat-hangat tahi ayam.

Barangkali itu adalah sinonim pada penjelasan panjang lebar sahabatku itu.

Kenapa baru setahun aku menyedarinya?

Semuanya kerana idea untuk membuat filem pendek baru-baru ini. Aku telah menghabiskan seluruh cuti ini untuk menghasilkan sebuah cereka yang boleh dijual di hati masyarakat. Tujuanku, selain ingin menabur nilai murni yang sewajarnya, juga adalah untuk menunjukkan pada dunia tentang siapa aku. Ya. Aku pasti aku akan ke situ. Tapi selepas itu....apa? Berhenti lagi? Cari impian baru lagi?

Kepada sahabatku itu, si kertu yang comel (haha). Kalau kau sedang membaca ini (yang aku pasti akan kau pertikaikan lagi), ketahuilah, bahawa aku masih mahu jadi temanmu. Meski usia sudah menggerogoti usia kita, namun bersamamu buat aku merasa tidak pernah dewasa kerana kau tidak pernah membiar aku untuk berjalan sendiri tanpa pertikaianmu. Dan aku benci itu!

0 comments:

Post a Comment