Ini adalah entry balas a.k.a feedback daripada entryku sebelum ini yang bertajuk Aku kelicap itu. Haha...aku tulis pas tu aku bidas sendiri. Sebenarnya, ini bukan feedback dari aku, tapi dari abang (my hub). Dia bidas betul komen kawan aku tu, sebab bagi dia, aku bukan macam tu. Jadi aku macamana?
Menurut abang, aku hanya akan meninggalkan sesuatu usaha setelah mendapati bahawa apa yang aku usahakan itu hanyalah sia-sia dan tidak berbaloi untukku. Walaupun secara kasarnya apa yang aku usahakan itu mendatangkan hasil, namun sekiranya ia lebih banyak mendatangkan kesan negatif dan kemudaratan kepada diriku, maka aku akan tinggalkannya. Contohnya sewaktu menyandang jawatan Jurulatih Kebangsaan pada tahun 2003, aku dengan rela hatinya meninggalkan kemasyuran yang aku kecap waktu tu kerana tidak dapat membahagi masa dengan baik bersama keluarga. Semenjak menjadi JU, aku sudah mulai sering keluar rumah dan secara tidak langsung terabai masa bersama keluarga terutamanya anak-anak aku yang masih kecil waktu tu.Sehinggalah seorang anakku menegur dan mengatakan bahawa mak orang lain pun cikgu juga, tapi tak juga sibuk macam mama, maka akhirnya aku membuat keputusan untuk berhenti.
Namun, bila anakku sudah besar semuanya, aku mulai berentap lagi, mengejar kembali sesuatu yang aku telah tinggalkan itu pada tahun 2010. Nah....ia adalah kejayaan berulang,kan?
Satu contoh lagi kata abang, waktu aku sedang menyiapkan projek SALC pada tahun 2002. Projek itu amat berjaya dan diiktiraf oleh pihak KPM sendiri. Aku juga mula mencipta kejayaan demi kejayaan selepasnya namun akhirnya aku terhenti bila aku tidak tahan dengan sikap segelintir masyrakat yang negatif pada kejayaanku. Namun, aku berentap lagi pada tahun 2010, dan mengulang kejayaan yang sama dalam projek PPDa. Pun akhirnya, ketika projek itu berjaya, aku sekali lagi mengundurkan diri kerana alasan yang sama. Kenapa?
Menurut abang lagi, itu bermakna aku adalah seorang yang realistik, berpijak di bumi nyata dan akan mengambil keputusan mengikut timbangan mana yang lebih berat. Ia juga bukan kerana aku kelicap dan hanya mahu menguji tahap kemampuan terbangku, tapi kerana aku adalah jenis yang tidak mahu dilukai. Dan sesungguhnya, dalam banyak hal, aku sebenarnya lebih memilih kebahagiaanku sendiri, lebih dari sebuah kejayaan.
Dan kerana itulah, menurut abang, dia begitu berbangga dengan setiap kejayaanku dan sentiasa ada di sisi aku untuk memastikan aku berjaya mengejar setiap impianku. Sungguhpun kadang-kadang dia agak kecewa bila aku berhenti di tengah kegemilanganku, namun dia tahu, semangatku tidak putus di situ. Aku hanya perlukan cool down period, dan selepas tempoh itu berlalu, aku akan jadi kuat lagi.
Lalu aku tanya, kalau bukan kelicap, lalu aku diibarat apa?
Kata abang, aku macam phoenix, terbang gah di udara lalu membakar dirinya sendiri bila kecewa. Lalu kemudiannya, dari abu, muncullah phoenix muda yang bangkit kembali setelah mati dan bersedia untuk menjadi phoenix yang perkasa lagi.
"Puteri Burung Phoenix bertekad, mulai hari ini, ia tidak mahu lagi memikirkan tentang kekecewaannya atau apa sahaja yang menghampakan dirinya. Sebaliknya ia mahu terus terbang tinggi dan memandang ke arah mana sahaja yang boleh menggembirakan hatinya, kerana ia tahu, jika ia memilih arah yang mengecewakannya, ia akan hanya membakar dirinya sendiri!"
0 comments:
Post a Comment