Abah selalu cakap, setiap perbuatan adalah dikira berdasarkan nawaitu-nya. Yalah...bukankah hadis Rasullullah juga berbunyi seperti itu:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
(Hadis ini diriwayatkan oleh Saidina Umar)
Berbalik kepada pesan abah, kata abah lagi, niat yang baik saja tidak cukup sekiranya tidak disertai dengan amalan dan jalan yang betul. Mula-mula mungkin orang tak faham, tapi, Insya Allah, lambat laun, niat itu akan sampai juga ke hati mereka. Maka dengan itu, bersabarlah. Percayalah bahawa setiap niat yang baik akan membawa kepada kebaikan juga. Meskipun akan mengambil masa yang lama untuk orang menyedarinya. Tidak ada perjuangan yang indah. Semuanya pasti akan melalui sebuah perjalanan yang getir. Namun, pada akhirnya, kita akan kembali menuai hasil seindah niat kita. Itu janji Allah, bahawa setiap perbuatan baik akan dibalas baik juga.
Dan aku, sebagai anak yang kecil waktu itu, pecaya bulat-bulat pada apa yang abah katakan. Demikian derasnya detik waktu berlalu hingga aku benar-benar mengerti pada apa yang dimaksudkan abah.
Ya. Begitu sukarnya membuat orang percaya tentang niat baik kita. Masing-masing punya keprejudisan sendiri dan cuba memutarbelitkan keadaan agar niat baik kita dipandang serong.
Aku tak sedih sangat. Cuma terkilan. Sangat terkilan. Manusia-manusia sebegini tetap terus wujud untuk menjadi syaitan pemusnah kepada kehidupan orang lain.
Syukurlah aku punya abah yang sentiasa mengajarku untuk siap menghadapi dunia.
0 comments:
Post a Comment