Dan aku adalah penyokong tegar. Namakan saja filem melayu dari zaman aku kecik-kecik dulu, semuanya ada di kepalaku.
Meski sering diketawakan kerana dianggap memperbodohkan diri dengan filem melayu yang tak ke mana, namun aku tetap tegar dengan pendirianku. Aku percaya suatu hari nanti industri filem kita akan kembali sehebat dulu. Kalau pun bukan sehebat zaman P.Ramlee, sekurang-kurangnya mampu mengembalikan zaman Jins Shamsudin dalam siri filem Menanti Hari Esoknya, ataupun sehebat arahan Datuk Rahim Razali dengan Puteri dan Anak Sarawaknya.
Aku juga tidak pernah berpaling meski sering dikecewakan dengan zaman Julie Dahlan dengan Harry Boynya, atau Datuk Yusof Haslam dengan Sembilunya hinggalah Proffesor Razak Mohaideen dengan Erra dan Yusrynya.
Kini David Teo menjadi penguasa filem tempatan tanah air kita.
Dan aku pun semakin dewasalah.
Ketegaranku mula menyusut.
Mana Afdlin Shauki, Khabir Bhatia dan Osman Ali? Kenapa tidak berusaha merebut keunggulan menjadi seorang penguasa?
Ironis benar barangkali. Tapi percayalah, aku sudah bosan menyakinkan anak dan suamiku bahawa pilihanku benar. Setiap hujung bulan kami akan bertengkar tentang memilih filem yang mana satu untuk ditonton. Oleh kerana anakku ada ramai dan bajet pula terlalu terhad, maka kami cuma punya satu pilihan. Pawagam pula berjarak 50km dari rumah. Setiap kali menonton bajet akan keluar sebesar RM150 termasuk duit minyak, makan minum di pawagam dan tiket. Berbaloikah kuhabiskan semua itu semata-mata mahu menyokong indsutri filem kita yang tak ke mana?
Bila pulang ke rumah, aku dipersalahkan oleh anak-anak dan suamiku. Aku sakit hati bukan kerana dipersalahkan tapi kerana mereka benar. Aku tak suka nak akui, tapi mereka benar, memang tak berbaloi filem kita!
Syukurlah ada Astro First jimat sikit belanjaku untuk filem melayu. Sekarang kami sudah bebas ke pawagam tanpa perlu bertengkar.
Apa yang pastinya, untuk sebuah filem yang tak ada kualiti mampu menjadikan pengarah dan pelakon menjadi kaya raya. Tinggal kami jadi bodoh menghabiskan duit setiap bulan untuk memberi sokongan pada sebuah filem yang tak berbaloi untuk ditonton.
Filem itu adalah satu perkhidmatan. Dan biasanya kita membayar untuk satu perkhidmatan yang kita perlukan. Kalau tak puas hati, wang dikembalikan. Beranikah industri kita melakukannya?
Aku jual cabaranku. Siapa pengarah yang yang sanggup membeli?
0 comments:
Post a Comment