Friday, June 10, 2011 | By: Luna Biru

Karam Singh Walia, aku dan Jebat

Merujuk kembali kes hina kaum melayu yang dicanang dari mulut Karam Singh Walia. Aku dah tengok video tu yang dikongsi oleh Shafizah. Terpempan juga aku seketika saat menyaksikan perkelahian yang agak dramatik itu.

Aku malas nak komen jauh-jauh. Pertamanya, isu ni dah lama dan Encik Karam kita pun dah minta maaf secara terbuka. Dia juga sudah pun memberi penjelasan secara rasmi.


Kedua, aku tak mahu sentuh sangat isu perkauman yang selalu menjadi onar di kalangan masyakat Malaysia di Semenanjung ni. Aku tak faham sangat susur galur ceritanya walaupun dah banyak cerita negatif yang aku dengar. Dan sesungguhnya, aku memang tidak dapat nak rasakan sangat auranya kerana bahang isu itu tidak pernah sampai ke Sabah. Kalau ada orang melayu yang pernah ke Sabah, mesti dapat merasakan perbezaan isu ini.

Ketiganya, mungkin juga sebab aku bukan melayu. Waktu kecik-kecik dulu bila cikgu suruh tulis bangsa, aku tulis bangsa melayu. Cikgu marah dan cakap aku bukan melayu. Dia cakap bangsa melayu ada di semenanjung dan Sarawak saja. Penduduk asli dan bumiputra Sabah tidak digelar melayu. Mati-mati aku nangis sebab aku malu nak mengaku jadi kaum Dusun. Majoriti kaum Dusun dan Kadazan yang aku kenal kebanyakannya bukan beragama islam. Boleh dikatakan, aku sorang saja kaum Dusun yang Islam di kelas aku. Lagi satu, aku sendiri susah diterima dalam kaum Kadazan berdasarkan paras rupa dan warna kulit. Orang Dusun sendiri pelik bila aku mengaku Dusun. Kalau cikgu suruh orang Dusun atau Kadazan berkumpul, aku sorang saja yang berkulit agak gelap berbanding yang lain. Akhirnya aku alami krisis identiti yang memaksa aku mencari bangsa yang lebih kurang macam muka aku. Lalu aku terjumpalah bangsa Jebat.

Haha. Sejak itu aku mula mengakui bahawa aku bangsa Jebat. Eh, ada ke bangsa tu?

Tapi bila sudah semakin dewasa, malahan nama Dusun dan Kadazan itupun sudah ditukarkan menjadi kaum KadazanDusun, aku mula mempelajari bahawa warna kulit dan rupa tidak menentukan bangsa kita. Bangsa itu terlahir kerana darah. Setiap bangsa punya ciri-ciri khas yang terwaris dari satu generasi ke satu generasi. Aku juga mula belajar bahawa Jebat juga bukanlah bangsa. Ia hanyalah sebuah konotasi untuk menunjukkan perlambangan bangsa itu sendiri. Jebat adalah seorang racist yang memperjuang kebenaran dalam cara yang salah. Akhirnya aku mengambil kesimpulan bahawa bangsa melayu itu sendiri sebenarnya terjebak dalam dua golongan yang dikonotasikan sekadar untuk memberi perumpaan kepada sikap yang diwarisi.

Berdasarkan daripada video tersebut, maka aku sekali lagi membuat kesimpulan bahawa pemberontak bermotor yang menyerang Encik Karam itu adalah dari bangsa melayu yang berdarahkan Jebat. Jangan bilang kalau aku bukan melayu jadi aku tak malu menonton video itu. Malu gila weh. Setidaknya, mereka membawa nama islam. Dan kalau islamlah yang dipegang,  maka aku boleh katakan bahawa ia adalah sebuah jihad yang salah.

Apapun, abah selalu pesan,
NIAT YANG BAIK TIDAK AKAN MENJADI BAIK JIKA BERMULA DENGAN CARA YANG SALAH ataupun dalam bahasa mudahnya, CARA TIDAK MENGHALALKAN NIAT.

0 comments:

Post a Comment