Friday, January 20, 2012 | By: Luna Biru

Perah mindamu di Cinta Fansuri


Aku tak mahu menipu bahawa aku masih seorang pembaca novel tegar macam dulu-dulu. Semenjak penulis muda Malaysia mengubah dimensi penulisan sastera kepada bentuk yang lebih bersahaja di penghujung tahun 90-an, aku sudah melupakan kegilaan ini. Buku terakhir aku baca Malam ini Kita Semua Menangis karya Ahadiat Akasyah yang tak seberapa menikam lagi macam Lagenda Budak Setan. Hampir kesemua karya pada zaman itu lebih membanggai mukasurat yang tebal-tebal berbanding pada isi dan isu. Bullshit semuanya. Lebih sedozen novel kubuang dalam tong sampah yang kemudiannya diminta izin oleh rakan sebilik di maktab dulu untuk dikutip balik.


Aku pun mula mengincar bahan baca baru yang boleh memuaskan nafsu. Hanya sesekali karya Ramlee Awang Murshid menyinggahi beg tanganku namun itupun bukanlah kecanduan yang tidak terubatkan. Aku juga tak mampu menjadi si Itu Matahariku yang mampu membaca apa pun. Tidak. Aku seorang pemilih.  Hakikatnya, aku masih tertumpu pada novel-novel Inggris dan Eropah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indon. Bukan kerana aku tidak berkemampuan menguasai bahasa inggeris tapi kerana seni bahasa itu adalah nikotin yang memabukkan aku. Hakikatnya, kehendak manusia itu berbeza-beza sifatnya dan aku tak mampu dipuaskan oleh novel melayu yang bahasanya terlalu rendah untuk ku kagumi. Maklumilah aku membesar dengan pengkarya agung Usman Awang, A.Samad Said dan Khadijah Hasim. Semenjak aku mula mengenal apa itu buku, Hanya karya penulis-penulis agung itu, termasuk Marzuki Ali dan himpunan buku-buku agama karya HAMKA saja yang ada di almari buku abah. Ketika aku berusia 13 tahun, aku mula khayal pada bius yang dikenakan oleh Sidney Sheldon. Titik. Selepas Sidney, aku tidak ada idola lain.

Lalu CINTA FANSURI?

Oh, sebelum itu, biar aku beritahu bahawa ketika aku membaca SALINA, umurku baru menjejak 9 tahun. Aku memerlukan masa dua tahun untuk menghabiskannya dan baru memahami pembacaanku ketika berusia 14 tahun. Uniknya karya A Samad Said tidak terhenti saat beliau menyudahkan ketikan terakhir novelnya, tapi beliau terus berkarya dalam minda seorang pembaca. Beliau meminta kita untuk terus memeras kemampuan menterjemah untuk sama-sama menguasai hasil karyanya. Mungkin aras beliau terlalu tinggi untuk manusia pemalas berfikir seperti aku. Lalu sebab itulah aku lebih menjiwai Usman Awang dalam lenggok bahasanya yang lebih mudah dicerna.

Lalu CINTA FANSURI?

Barangkali inilah novel terkini yang menyinggahi aku. Berapa waktu pula kali ini aku perlukan untuk memahaminya? Aku tak punya banyak masa isolasi kerana memang tak ada masa untuk itu. Hakikatnya, senipis apa pun ia, tetapi ia bagaikan raksa yang merasuk jiwa dengan filsafat agung yang mewarnai jiwa. Oleh kerana ia adalah A Samad Said, maka perahan minda diperlukan bekerja sekerasnya untuk sebuah petunjuk yang mengena rasa. Keghairahanku untuk menguasainya membuat aku mulai membanggai diriku. Aku dapat merasakan bahawa aku pasti jadi manusia sebijaksana beliau kalau aku mampu melunasi amanah yang digalaskannya ke bahuku. Oh, terus-teranglah. Itulah yang tak kusukai pada karya beliau. Kemampuanku mencerna karyanya telah menjadikan aku manusia angkuh. Lalu kemudiannya, berjalanlah aku di muka bumi ini dengan perasaan takbur bahawa akulah pencerna A Samad Said dan kau dan kau tak mampu menandingi kehebatanku berfikir.

Adakah gagal menguasai pemikiran A Samad Said telah menjadikan kita manusia yang tidak bijaksana?

CINTA FANSURI bukan sekadar kronologi kisah cinta yang berbalam-balam antara rindu dan bercak hampa. A Samad Said sudah terlalu tua untuk semua bunga-bunga itu.  Karyanya kali ini bermain peran pada sarkastik dan melankolik kehidupan. Seperti biasa, beliau terus menyusup ke dalam kalbu jiwa untuk meminta kita melihat dunia dari kacamatanya.

Shafizah, selamat menghayatinya. Jangan kau ikut takbur seperti aku.


7 comments:

shafizah said...

saya baru baca setengah. kita mintak cinta, dia bagi falsafah. haha. bukan semua orang baca karya ASS, jadi mereka yang baca itu special. istimewa.

akak tak takbur, tapi istimewa;)

itumatahariku said...

secara am nya ilmu sastera aku kurang, tidak sedalam lautan pacific... itu yg menyedihkan aku sehingga aku sukar untuk memahami karya agung tanah air bagai apa yang di kata... aku perna membeli sebuah novel 'lafaz-lafaz cinta' karya Hadi S. Khuli... aku terpaksa memberhentikan pengembaraanku utk novel itu kerana da masuk bab ke 11 aku masih terkial-kial mcari sesuatu! aku akur otak ku belum bersedia... aku juga perna memegang novel ASS di kedai tapi aku lepaskan kembali kerana karya agungnya terlalu berat, aku tahu kemampuan ku... aku kagum insan seperti mu wahai Luna, dan kalau kau bertanya kenapa?... aku tau kau juga ada jawapannya...

o ya... aku juga membaca bukan atas dasar penama/pemilik/penulis tapi atas dasar sinopsis yang aku google... aku cuma membaca bila aku free... maknanya aku terlalu banyak masa free berbanding Luna Biru... namun aku terusik cemburu bila di fikirkan raja sibuk kehidupan mrs Luna mampu meluangkan masa dengan apa yang dia suka... aku cemburu dgn kekuatan yg ada dlm diri mu... aku suka!... teruskan...

Luna Biru said...

Princess Luv...aku lebih dengki padamu sebenarnya. Melihat kau mengupload macam-macam novel setiap hari buat aku jadi marah2 pada kehidupanku. Aku selalu berfikir bahawa kehidupan jadi ibu sudah merampas masa peribadiku jadi seorang pembaca. Dari blogmu lah aku dapat tahu novel-novel terkini. Dan dari blogmu jugalah aku dapat membaca petikan2 ayat dari novel2 yang kau baca.

Aku cemburu...itu yang pasti. Alangkah seronoknya jadi seorang individu yang bebas melakukan sesuatu yang diinginkannya...dan aku, cuma mampu mencuri ilmu yang kau ada. Bahkan novel Malam ini Kita Semua Menangis pun kupinjam darimu yang sampai hari ini belum aku kembalikan.

Jangan kecik hati ok. Mungkin kita sudah di tahap sama-sama cemburu. Love you sister babe...

Luna Biru said...

Shafizah...filsafi ilmu dalam bentuk sastera yang di mengundang bermacam interpretasi. Mungkin aku juga telah tersindir dalam karya itu. Teruskan. Kau punya masa seumur hidup untuk memahaminya.

Terima kasih kerana meringankan bebanku dengan mengatakan aku istimewa.

itumatahariku said...

hahahaha aku lupa da tu novel...

x pa cemburu tu kan baik.....cemburu utk berkongsi rasa dan ilmu... hehehe... 'sharing is sexy?'....

tq... my luvly sist...

Atie said...

zue sayang,

kau bukan takbur tapi kerana kau berbeza sedikit.
Kau istimewa,
Pemikiranmu terlalu ke depan.
Misterimu terlalu sukar,
Dimensimu berbeza,
Kerana itu kau melihat dan menilai sesuatu bukan dengan sambil lewa....

Luna Biru said...

Aku lupa pulak mahu masukkan koleksi Mira W dan Marga T. Pernah kau baca Tie?

Post a Comment