Tuesday, January 3, 2012 | By: Luna Biru

Sesi persekolahan pun bermula


Maka besok bermulalah sesi persekolahan bagi tahun 2012. Seminggu ini sudah sibuk menguruskan keperluan anak-anak sekolah dan kemuncaknya malam ini terasa amat penat sekali. Migrain pun kambuh dan menari-nari atas kepala sampai aku rasa aku sudah boleh biul dengan semua ini. Keghairahan anak-anak untuk memulai sesi baru naik taraf mereka sudah melebihi paras normal yang boleh diterima oleh akal kecil aku.

Gamatnya lagi tahun ini adalah bila kedua Upin Ipinku juga bakal menjejak kaki ke alam persekolahan. Si Mizan bakal melangkau ke tadika 1 dan Si Ade yang belum layak ke sekolah pula berkeras mahu ikut abangnya. Setelah berputar otak dengan abang untuk memilih pendidikan awal mereka, akhirnya kami berdua bersetuju untuk menyekolahkan mereka di sekolah tadika aliran agama. Biar benih mereka bermula sejernih titisan doa-doa hafazan yang bakal dipelajari di sekolah mereka nanti. Besok, bila asasnya sudah kukuh, barulah mereka akan dipindahkan ke prasekolah pula. Lagipun, keduanya masih belum lurus berbicara lagi. Aku tak dapat membayangkan bagaimana pagiku besok bakal lebih riuh lagi dengan kehadiran dua orang baru ini. Selalunya mulutku riuh mengurus empat, kali ini, kesemuanya sekali. Oh pastilah aku tak sempat nak membubuh mekap tebal-tebal macam tahun lepas.

Oya, trend tahun ini rasanya sudah dikuasai sepenuhnya oleh Angry Bird. Kalau tahun lepas, sibuk cari Ben 10 tapi tahun ni, melilau sana-sini cari barang Angry Bird. Besok sekolah, aku rasa dalam 250 orang murid sekolah aku, lebih separuh pasti bawa beg Angry Bird. Jangan-jangan, ada juga cikgu yang bawa hand bag jenama yang sama. Haha...pasti lucu.

Saat aku menaip entry ni, adalah jam 11.50 malam, anak-anak aku baru saja masuk ke bilik masing-masing setelah dipaksa tidur oleh atoknya. Tapi hakikatnya, aku masih dengar lagi suara dorang ketawa berisik-risik. Aku tiada hati mau marah lagi sebab sudah terlanjur marah betul petang tadi. Bengang di kepala aku masih tersisa dan aku tak mahu menambah apa-apa lagi dos negatif di dalamnya. Namun sebenarnya, punca utama aku bengang adalah sebab aku tak tahu macamana mahu uruskan masa aku dengan baik esok. Aku perlu ke sekolah sedangkan pada masa yang sama aku kena juga uruskan pendaftaran Mizan dan Ade. Perlukah ambil cuti di hari pertama kerja? Kalau dulu-dulu, aku sanggup korbankan kepentingan anak-anak aku demi baktiku pada kerjayaku. Biasanya, aku hanya akan menyekolahkan mereka dua minggu lepas sesi persekolahan bermula. Kira-kira macam tunggu semuanya reda dululah. Tapi, sampai bila aku nak buat begitu? Kerjaya adalah amanah dan periuk nasi kita. Tapi keluarga juga adalah amanah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Oh aku rasa cuma guru yang memahami situasi ini.

Apapun, harapan aku untuk tahun ni, aku cuma mengharapkan agar Allah meluruskan sebuah perancangan kecilku. Semoga segalanya berjalan sebaik doaku meskipun aku tak benar-benar pasti apakah niatku suci atau tidak. Semoga juga, penghijrahan ku kali ini membuahkan benih yang baik, sebaik hati abang yang selalu bersama aku. Insya Allah....

Kepada semua cikgu-cikgu, Selamat memulakan tugas.

2 comments:

shafizah said...

selamat pagiiii cikguuuuuu=.=

Luna Biru said...

Selamat pagi cinta...

Post a Comment