Friday, May 6, 2011 | By: Luna Biru

Perkhemahan Pendidikan Alam Semulajadi Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah (Feedback & Reflection)

Seronok sungguh rasanya terlibat secara langsung dalam Perkhemahan Pendidikan Alam Semulajadi Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah 2011 ni. Inilah kali pertama aku diberi peluang untuk mengikuti acara yang gemilang ini. Ia merupakan satu pengalaman yang bermakna dalam diary kehidupanku sebagai guru. Paling penting, akhirnya tercapai juga hasrat untuk menjejak kaki ke Kem Pusatko Malangang yang tersohor tu. Selama ni aku cuma dapat tengok dari gambar dan mendengar pengalaman dari rakan-rakan guru dan murid. Namun kini, aku mengalaminya sendiri.



Banyak pengalaman yang bermanfaat yang kupelajari sepanjang kem 4 hari 3 malam ini. Pengalaman yang paling berharga bagiku ialah soal pengurusan logistik dari pasukan jurulatih yang cekap dan komited dalam menjalankan tugas. Aku kagum dengan semangat kerjasama pasukan mereka yang sentiasa peka terhadap keperluan rakan sejawat. Setiap jurulatih tahu akan tugas masing-masing sehinggakan setiap aktiviti dapat dijalankan dengan jayanya walaupun agak sukar dan berbahaya. Setiap aktiviti yang dijalankan kemudiannya akan melalui proses laporan atau post mortem untuk menelusi serta memurnikan lagi tugasan berikut pada masa akan datang. Jurulatih juga sentiasa memberi penghargaan kepada rakan sejawat yang memberikan kerjasama semasa aktiviti. Setiap kesalahan pula ditegur dengan cara baik tanpa menimbulkan salah faham. Segalanya nampak begitu professional. Alangkah baiknya kalau semua ini dapat dipraktikkan dalam setiap aktiviti di sekolah. Tapi mungkin komitment terhadap akademik menjadikan guru-guru di sekolah tidak dapat menyisihkan keperluan seperti ini lagi. Akhirnya, tinggallah ketua unit bergerak sendiri dan guru-guru pula ibarat pahat yang terpaksa ditukul untuk bergerak.


Perkara kedua yang aku kagum sepanjang perkhemahan ini ialah sesi komunikasi dengan peserta kursus. Dalam kem ini, tugas ini disandang oleh Jurulatian Cik Dhya. Memang mengkagumkan caranya mengawal peserta kursus yang seramai 147 orang tu. Beliau mampu menjadikan sesi kawalan peserta kepada sesuatu yang menghiburkan dan menyeronokkan. Jurulatih Dhya sentiasa cepat menyelamatkan sesi menunggu dengan sorak dan lagu kanak-kanak yang pelbagai rentaknya. Teruja betul aku tengok dia mengendalikan sesi ice breaking dan malam kebudayaan. Dia sentiasa menarik minat peserta untuk menjadikan sesi menunggu sebagai satu sesi yang ditunggu-tunggu. Bolehlah aku guna ilmu ni untuk pengakap muda aku.


Aku juga nak puji soal makanan dan pengurusan kafe. Makanan yang dihidangkan memang sedap terutamanya sambal lada tumis yang menggiurkan tu. Aku berani cakap, masakan di sini lebih sedap berbanding makanan di hotel lima bintang dalam kursus yang selalu aku hadiri. Meskipun menunya limit dan tidak pelbagai, tapi rasa air tangan tu menjadikan makanan tu sangat lazat untuk dinikmati. It really feels like home.

Namun ada juga sesetengah perkara yang menyebalkan berlaku di sini. Namun tak perlulah dibahaskan kerana ia lebih bersifat individu dan tidak melibatkan soal pengurusan Pusatko. Apapun, aku ucapkan tahniah kepada Pusatko yang mampu menjayakan setiap aktiviti mahupun acara dengan jayanya. Aku bangga pernah menjejak kaki ke sini. Soal mengisi borang menjadi jurulatih? Oh...belum masanya lagi. Meskipun aku sangat memerlukan ilmu itu untuk acara perkhemahan, namun aku belum bersedia untuk menjinjing tugas itu ke bahuku. Ini bukan soal minat. Kalau bercakap pasal minat, sudah tentulah aku berminat untuk mengikutinya. Lebih-lebih lagi aku sudah lama bertugas menjadi kem kom dan disiplin dalam setiap acara perkhemahan. Namun, terlalu banyak perkara yang difikirkan untuk menceburi bidang ni. Lebih-lebih lagi untuk seorang ibu beranak enam macam aku ni.

Last sekali, aku nak puji pengurusan Malam Kebudayaan dan Majlis Perasmian yang sangat mantap dan efektif. Himpunan jurulatih yang hebat di Malam Hijau menjadikan ia sebuah acara yang sangat meriah dan mampu dikenang selamanya. Majlis penutupan pula dibuat dengan sangat tepat dan ringkas tetapi menepati sistem protokol yang ditetapkan. Dengan sebuah kesederhanaan lagu dan sentuhan emcee, satu suasana dramatik dapat dihidupkan hingga peserta menangis dalam keharuan. Aku percaya, bukan aku saja mempelajari sesuatu dalam kem ini. Tetapi para peserta muda itu juga. Aku harap mereka dapat menyimpan pengajaran dan kenangan ini baik-baik hingga menjadikan mereka warga yang berjaya suatu hari nanti.


Terimakasih sekalung budi kepada pihak PUSATKO. 

Sincere.



0 comments:

Post a Comment