Sunday, May 8, 2011 | By: Luna Biru

Hari Ibu...untuk Umi


Hari ni Hari Ibu. Hari yang seharusnya istimewa untuk meraikan seorang ibu. Ibuku, Umiku, Ratu hatiku yang paling istimewa. Tapi seperti biasa, aku cuma melewati hari ini seperti biasa, tanpa meraikannya, kecuali sebuah ucapan Selamat Hari Ibu dan pelukan di dadanya. Mungkin aku tidak seistimewa Along yang akan membelikannya kek ataupun hadiah-hadiah kecil. Bukan kerana aku merasa itu tidak perlu. Tapi mungkin kerana aku merasa kita tidak memerlukan sebuah hari khas dan khusus untuk meraikan keistimewaan ini. Hari-hari yang istimewa itu berlaku setiap hari. Dan aku cuba memberikan semua itu pada setiap kesempatan. Mencium dan memeluk Umi kulakukan setiap hari. Sekali sebelum berangkat kerja, dan kedua bila kulihat dia sedang duduk melepas lelah di tengah ruang tamu. Memeluk Umi pula bagai satu keperluan. Membelikan Umi makanan kegemarannya atau barang kesukaannya kulakukan setiap kelapangan. Bahkan berkumpul dan bercerita dengan Umi pula merupakan satu kewajiban setiap hari. Jadi, setiap detik itu adalah istimewa. Makanya aku tidak tahu harus bagaimana lagi untuk membuatnya lebih istimewa dari itu pada hari Ibu. Bahkan, entry tentang Umi pun sudah kutuliskan sebelum ini.
Sesungguhnya,Umi bagiku adalah seorang ratu yang di hatinya tidak ada apa-apa selain cinta dan pengorbanan yang besar. Umi rela membahagikan nyawa dan kehidupannya untuk kami, semata-mata untuk melihat kami bahagia. Dari aku kecil sampailah sekarang, Umi tidak pernah putus-putus memberikan seluruh kecintaannya pada aku. Bahkan sekarang ini, dia mencurahkannya untuk anak-anakku pula. Dia tidak pernah berhenti memberi. Malah, dialah pemberi terbaik dan tidak pernah meminta apa-apa selain cintanya dibals dengan cinta yang sama. Umi sudah melalui sebuah fasa-fasa yang menyakitkan selama menghidupi kami, hingga kesannya menapak derita sakit hingga kini. Sudah sampai kiranya masanya untuk aku mengambil alih untuk menjadi pemberi terbaik padanya pula. Namun, pengorbananku hanyalah sepanjang galah. Mana mungkin aku mampu jadi setabah dan sehebat dia.

Sungguhpun enggan kuraikan hari ini, namun, demi menjaga hati Umi, maka aku berusaha sedapat mungkin membuatnya senang dengan membisikkan kalimat itu di telinganya. Untuk itu, Sempena Hari Ibu tahun ini, aku cuba mencari gambarnya untuk kubingaikan dalam bingkisanku ini. Tapi akhirnya aku sedar, aku, si photographer ini, rupanya tidak punya gambar Umi. Aku bahkan tidak punya gambar bersama dia. Mungkin sebab Umi paling malu untuk bergambar. Atau mungkin juga kerana aku merasa memoret wajahnya bukan sesuatu yang penting. Esok, akan kuketik kamera digitalku untuk kurakamkan seluruh aktivitinya dan merakamkan kejelitaannya di dada album keluargaku. Ah...kenapa baru sekarang aku sedar semua ini? Syukurlah belum terlambat...

Kepada Umi, aku tahu, Umi tidak akan membaca ini. Dia bahkan tidak tahu membuka komputer atau menukar channel TV sekalipun. Tapi aku tahu, Umi tahu bahawa aku menyintainya di seluruh raga sukmaku. Menceritakan tentangnya adalah sesuatu yang memerihkan, kerana tidak ada bahasa terbaik untuk kutuliskan untuk menterjemah keistimewaannya. Umi berdiri dengan sendirinya, dengan sebuah keunikan yang penuh tersendiri dan bermisteri. Aku juga tahu, setiap kita merasai hal yang sama. Setiap ibu adalah istimewa.

Kepada ibu mertuaku, Puan Salmiah Kassin, meski berada nun jauh di sana, meski tak kuhubung lewat telefon, hanya saja kutitip ikhsanku di angin lalu. Semoga Ibu tenang menghadapi kemelut yang menghujam tika ini.

Kepada anak-anakku, yang sering bertanya, kenapa kita tak meraikan hari ibu, jawapanku cuma satu; Mama istimewa setiap hari. Kita tak perlu memaksa diri meraikan hari ini sedang kita punya 365 hari lagi untuk mempunyai detik itu. Cukuplah sekadar ucapan dan ciuman dari bibir mongel kalian. Kalau tiada pun, mama takkan menuntut, jauh sekali merasa tersinggung.

Umi dan abah ketika merai Majlis Khatan & Akikah cucu-cucunya
Umi...Azizah Abol Hassan
Ketika merai Hari Ulang Tahun Perkahwinan Umi & Abah yang ke-39, 2011
My mother in law, Puan Salmiah Kassim

Also to my Along...

0 comments:

Post a Comment