Besok,
kalau sempat kau jejak tanah Rasulullah,sampaikan salamku,
bersaksilah di depannya
bahawa di sini,
masih ada aku
aku yang telah kau sakiti
dengan busa dusta dan fitnah.
Besok,
saat Malaikal Maut menjemputmu,
ingatlah aku juga bakal menyusulmu.
Kiranya aku yang pergi dulu,
ingatlah,
bahawa di sana ada aku
yang setia menanti hadirmu.
Besok,
tika mentari sejengkal di kepala,
tika syurga dan neraka hanya sedepa,
Ingatlah,
bahawa di situ ada aku,
yang masih menunggu penjelasanmu,
yang masih menuntut hutang fitnahmu.
Mohon jangan kau masuk dulu ke mana-mana pintu
sebelum kau perdengarkan aku
pengakuan bohongmu.
Hari ini,
waktu kau sujud mencium sejadah lima kali,
atau saat kau menadah ke hadrat Ilahi,
Ingatlah,
bahawa di sini ada aku
yang sujud di bumi yang sama
yang menyembah Tuhan yang sama.
Tuhan yang telah kau bawa bersaksi
atas sebuah dusta yang kau telah kau zalimi.Ingatlah aku,
saat kau bangun bahkan kau tidur
kerana aku tak pernah melupakanmu.
0 comments:
Post a Comment