Wednesday, May 11, 2011 | By: Luna Biru

Cola & Air putih

Panasnya mentari sudah merasuki ke segenap kulitku. Panas itu juga sudah menyejat mineral di badanku hingga aku merasa tak kuat untuk berdiri lagi. Sudah sejak pulang dari kampus tadi aku cuma baring-baring di katil bujangku yang bosan. Mataku tidak mahu lelap meski kepalaku sudah sakit semuanya. Kerongkongku perih dan selalu minta dibasahi. Namun bila kuingat-ingat, kali terakhir aku membasahinya sekitar 3 jam yang lalu, saat makan tengahari. Selepas itu, aku langsung ke bilik asramaku mencari sedikit kedinginan di bawah kipas siling. Pantas saja kalau kerongkongku itu mendesak untuk dibasahi lagi.

Aku bangkit dari pembaringanku dengan mata yang berpijar bintang-bintang kecil. Sejujurnya, aku memang tidak berdaya mahu berjalan dan mencari segelas air untuk menghilang dahagaku. Sejenak, aku terpandang sebiji tin minuman berkabonat di atas meja belajarku. Minuman itu kubeli petang kelmarin, saat keluar dengan teman ke bandar. Namun aku tidak memerlukan kenyamanan minuman itu kala ini. Aku hanya memerlukan segelas air putih yang mampu aku dapatkan setelah menjalani dua blok dari kamarku ini. Ada sebuah water heater cooler di hujung blok asrama. Memang jauh. Apalagi untuk manusia hidrasi sepertiku, rasanya perjalanan itu bakal lebih jauh dari imaginaasiku.

Tapi itu lebih baik dari harus memekur sepi dan kering di kamar ini. Perjalanan yang jauh itu mungkin dapat menjanjikan sebuah kelegaan pada akhirnya.




Lalu aku pun melangkah keluar kamarku dengan membawa sebotol bekas air minuman yang kosong. Aku menutup pintu perlahan dan membiarkannya tidak terkunci. Aku hanya pergi sebentar. Lagipula, teman sekamarku, Litha, selalu lupa membawa kuncinya. Aku khuathir dia pulang sebelum aku sampai lalu dia terperangkap di luar bilik.

Ketika aku sampai di hujung blok, di mana kotak minuman panas dan sejuk itu diletakkan, sudah ramai pelajar yang berbaris mengerumuni di sana. Aku menanti giliranku dengan menyandarkan tubuhku ke dinding yang berwarna biru abu yang memucat. Masa itu seakan terjadi begitu lama hingga timbul keinginan untuk memotong barisan. Saat giliranku hampir tiba, bekalan elektrik terputus tanpa isyarat. Dengan putusnya bekalan elektrik itu, masa putus jugalah harapanku untuk membasahi tekakku yang perih ini. Aku mengeluh hampa.

Bukankah lebih baik kalau aku nekad memotong barisan tadi? Betapa susahnya mencari seteguk air menghilang dahaga.

Terfikir di benakku untuk meminta segelas air dari mereka yang sudah dahulu mengisinya dariku. Namun akalku mengarahkan aku untuk mencarinya sendiri. Lalu aku pun bergerak menuju keluar dari asrama. Aku akan ke kafetaria yang bukan saja menjanjikan sebuah kelegaan dahaga, namun juga kedinginan penghawa dingin. Memang lebih jauh, tentunya.
Aku sampai di anak tangga menuju ke kafe saat sebuah kereta membunyikan honnya ke arahku. Aku menoleh. Ternyata Iqram, teman lelakiku. Kami sudah 6 bulan berpacaran. Dia seorang yang baik, penyayang dan penuh perhatian. Dia 7 tahun lebih tua dariku. Makanya sifat dan kedewasaannya jauh lebih matang dari cara pemikiranku sendiri. Iqram bekerja sendiri di perusahaan orang tuanya dengan menjawat jawatan yang bersar. Dia selalu meluang hujung minggunya melawat aku di asrama dan membawa banyak ole-ole makanan mahupun buku-buku cerita untukku.

Tapi aku sama sekali tidak mengharapkan kehadirannya kala ini. Saat ini aku hanya butuh kesendirian.

Iqram memberhentikan keretanya tepat di sebelahku. Dia membuka jendela keretanya yang disaluti plastik hitam penghalang cahaya.
“Halo, manis! Mau ke mana?”
Aku menanggapinya tanpa emosi. “Mau minum,”
“Mau minum? Sebentar, aku parking kereta dulu. Kita sama-sama ke kafe ya?”
Aku mengangguk. Iqram lalu meletakkan keretanya di tempat letak kereta di depan asrama. Aku hanya menghantarnya lewat mataku. Begitu bayangnya hilang, aku sudah naik kembali ke tangga. Dia perlu masa untuk melakukan semua itu. Pertama, mencari tempat letak kereta yang kosong, kedua, berjalan semula ke sini. Aku tidak mahu menunggu.
Aku haus. Hanya itu yang aku tahu. Hilangkan dulu dahagaku ini baru otakku kembali jernih.
Aku berjalan masuk ke kafateria yang hampir lengang. Hanya beberapa orang pelajar menempati meja kafe. Aku bergerak ke kaunter bayaran dan meminta sebotol air mineral dari Mila, si penjaga kaunter yang ramah. Dia berteriak ke dalam kafe menyampaikan hajatku. Namun seorang pekerja yang lain memberitahu bahawa air yang kuminta sedang diangkat keluar dari dalam kereta.

“Stok habis,”katanya. “Tadi ada sukan di padang. Sebentar ya. Atau kau mahu air masak? Tapi mesti ditambah ais supaya dingin,”
Aku menggeleng. Ais hanya akan semakin memerihkan kerongkongku.
Aku mengeluh semakin kesal. Rasanya aku mahu marah, tapi juga mahu menangis. Beginikah rasanya seorang musafir di tengah gurun mencari seteguk air?
“Ambil saja airku,” sapa satu suara di sisiku. Aku mengangkat kepalaku. Sebuah wajah berada di hadapanku dengan mata yang memandangiku penuh simpati. Dia menghulurkan sebiji botol minuman mineral kepadaku. Aku tidak tahu sejak bila lelaki itu ada di sana. “Tapi sudah kuminum sedikit. Aku harap kau tak kisah. Minumlah, mukamu pucat sekali,”
Aku ragu-ragu sebenarnya. Lelaki itu adalah rakan sekelasku, satu fakulti namun kami tidak pernah bertegur sapa. Baik dia atau aku sama-sama tidak pernah berusaha ramah atau sekadar memula hubungan dengan senyum.
“Ambillah. Lebih kau minum bekasku dari kau harus pengsan di sini,” pujuknya tersenyum. Bicaranya penuh kesungguhan.

Bukan soal aku mahu atau tidak, namun simpatiknya mengundang sedikit hairan di hatiku. Aku baru saja mahu mencapai botol dari tangannya, ketika Iqram mendatangiku.

“Di sini kau rupanya. Aku sangka kau menungguku,” katanya dengan manis, namun wajahnya sedikit hampa. Kehadirannya membuat aku menangguh keinginan untuk minum lagi. Iqram datang membawa bakul plastik yang sarat dengan makanan ringan dan minuman botol berkarbonat. Dia sama sekali tidak memandangi lelaki di sebelahku. “Katamu kau haus. Nah, ada kubelikan minuman kegemaranmu di sini. Mari...”dia menarik tanganku pergi dari situ dan mengajakku duduk di salah sebuah kerusi kosong di meja kafe. Dia meminta dua biji gelas dari pelayan. Sebiji untukku, sebiji untuknya. Dia lalu menuang minuman bergas itu ke dalam cawan kami. Buih-buih gas bergermercak menghasilkan rasa ingin dan bau yang menyelerakan.

Tapi sungguh aku tidak memerlukan segelas air bergas itu. Tanpa suara aku bangun dan menuju semula ke kaunter. Lelaki itu masih di situ, memandangiku dengan kening tersenyum. Dia seolah tahu aku akan kembali padanya. Tanpa suara dia menghulurkan minuman itu padaku lagi. Aku meneguknya penuh lahap seolah-olah aku tidak pernah minum sebelum ini.
Dahagaku akhirnya hilang. Air itu seakan meresap ke setiap urat dan kulitku hingga kudengar sebuah bunyi kecil di otakku. Kepalaku yang panas itu sejuk semula. Belum cukup memang, tapi ia sudah mampu membuat aku tersenyum lega.  

Aku memberikan botol itu kembali kepada si pemuda. Aku mengucapkan terimakasih. Kukira dia bagai seorang superhero yang telah menyelamatkan aku dari mati kehausan.
Dari jauh, Iqram memandangiku dengan kesal.


Sejak saat itu, aku dan si pemuda itu mulai bertukar senyum. Sesekali, dia meneguri aku kalau kebetulan ketemu di anak tangga menuju ke dewan kuliah. Sesekali, kami pasti berjalan seiring menuju ke kafe yang penuh sejarah itu. Sesekali, dia membelikan aku air mineral dan meletakkannya begitu saja di atas mejaku. Dialog-dialog kecil pun muncul dan kemudiannya berkembang menjadi satu perkongsian cerita-cerita yang lucu dan indah. Aku mulai merasakan kehadirannya dan mencari kehilangannya. Aku seakan ingin menghabiskan seluruh waktuku dengannya. Kesemua sesekali yang tercipta sebelumnya menjadikan aku seorang yang tamak dan ingin merangkulnya menjadi sebahagian hidupku. Dia bagai menempati sebuah ruang kosong dalam jiwaku selama ini sungguhpun aku tidak sedar, sejak bila ruang itu ada di sana.

Perasaan itu menjadikan aku curang. Aku sudah menduakan Iqram sungguhpun tanpa sebuah hubungan pasti dengan lelaki itu. Perasaan itu saja sudah cukup melabelkan aku sebagai penderhaka cinta.

Benarkah?
Namun dalam ketidakpastian itu, kuteruskan jua langkahku bersama keterujaan yang sulit kukendalikan. Kami mulai mengatur pertemuan pada janji yang pasti. Dia akan menjemputku di ruang menunggu asrama pelajar wanita setiap pagi dan aku akan menunggunya untuk ke kafe. Tiada istilah sesekali lagi. Ia adalah sebuah janji yang benar.

Iqram mulai menyedari perubahanku bila aku selalu mengelak untuk dikunjungi di hujung minggu. Alasanku macam-macam dan kadang-kadang kedengaran sangat aneh. Tentu saja dia mulai mengesyakinya.

Iqram mulai mendesakku untuk menyatakan hal sebenarnya. Tentu saja aku mahu mengakuinya tapi entah kenapa aku merasa terhalang. Mungkin kerana antara aku dan si pemuda itu belum pernah bicara soal cinta. Mungkin saja aku takut kalau hubungan aku dengannya belum tentu hujung pangkalnya. Atau mungkin saja aku takut yang kukejar tak dapat, yang kukendong berciciran.

Bukankah itu menjadikan aku seorang yang benar-benar tamak? Lebih dari itu, aku juga sangat mementingkan diri.

Mungkin aku patut menanyakannya sendiri pada sang pemuda itu. Ah,mana mungkinlah aku akan mulai dulu!

Bingung dengan diriku, aku pulang ke kampung. Saat itu jam kuliah. Aku bolos sehari pada hari Jumaat pagi dan hanya akan pulang pada hari Ahad petang.

Aku menceritakan masalahku pada kakakku semuanya, mengenai perasaanku pada Iqram yang memudar. Kecuali bahagian itu, bahawa di hatiku sudah ditempati oleh seorang pemuda lain.
“Apa yang membuatmu berubah? Kukira kau betul-betul menyintainya. Bukankah dia baik padamu selama ini?”
“Benar, dia baik. Bukan saja baik, malah pemurah. Dia rela melakukan apa saja untukku dan memberi segalanya untukku. Tidak ada yang membuatku berubah sebenarnya. Yang ada cuma sesuatu yang telah menggerakkan satu perasaan untuk keluar dari kepompongan itu,”
“Maksudmu? Aku tak mengerti,”
“Sebenarnya, selama aku berpacaran sama Iqram, aku tidak tahu kenapa ada satu perasaan aneh yang hidup menjalari di hatiku. Perasaan itu menjadikan aku tidak benar-benar menyintainya.Meski dia selalu menunjukkan seluruh kecintaannya padaku, namun seperti ada sesuatu yang masih kurang. Seolah-olah, dia tidak mampu mengisi satu ruang kosong di hatiku. Aku tidak dapat mengistilahkan perasaan itu. Tapi, yah...begitulah rasanya,”jelasku perlahan. “Pada mulanya aku memang senang sekali sama dia. Sampai sekarang pun aku masih senang sebenarnya. Namun belakangan ini aku bagai terhimpit pada satu titik yang menyeksakan bila aku mendapati ruang yang kosong itu sudah menguak semakin lebar,”
“Oh...kau pasti sudah menemukan seorang calon lain,”
“Itulah persoalannya. Aku tidak pernah menyedari kalau ruang kosong itu ada selama ini. Aku baru menyedari kewujudannya saat calon lain itu telah menempati di ruang itu,”
“Lalu kau memilih siapa?”
“Belum satu pun,”
“Kau harus,”
“Ya. Tapi siapa?”
“Baiklah. Aku berikan kau satu situasi. Semoga kau dapat memanfaatkan situasi untuk membuat keputusanmu,” kata kakak memandangiku. “Bayangkan kau sedang sesat di sebuah gurun dan kau merasa sangat dahaga. Ketika tiba di hujung jalan, kau menemukan dua botol minuman. Satu minuman yang berkualiti tinggi, sedap, mahal dan manis dan sudah lama ingin kau cicipi. Satu botol lagi cuma sebotol air putih yang tawar yang dapat kau nikmati bila-bila masa sekalipun. Jika kau memilih minuman yang mahal itu, ia hanya memberikanmu kelegaan seketika. Lalu kemudiannya, kau akan dahaga lagi. Namun jika kau memilih air putih, dahagamu akan hilang dalam tempoh yang lama. Ia malah mampu menyegarkan tubuhmu dan membuatmu bertenaga kembali. Kau mengerti,kan?”
Aku mengangguk.

“Nah, mulailah berfikir dari sekarang. Besok pagi, kau sudah perlu bangkit dengan sebuah jawapan yang pasti,”
Kakak lalu meninggalkanku sendirian.
Aku pun mulai berfikir keras.

Minuman mahal? Sebotol air putih yang tawar? Perumpaan yang diberikan kakak menyamai kisah benar yang kualami sebelum ini. Saat kali pertamanya sebuah pertemuan berhargaku dengan lelaki yang baik hati itu. Oh,salah, bukan baik hati. Tapi memahami. Dia mengerti bahawa aku sedang hidrasi dan hanya memerlukan segelas air putih. Iqram juga baik hati. Tapi dia kurang memahamiku. Dia tidak sedar betapa lemahnya aku waktu itu dan betapa segelas air putih itu mampu menyelamatkanku. Dia malah mendesak aku untuk terus menikmati minuman mahalnya sungguhpun ianya berbahaya untukku kala itu.

Tapi itu bukan salah Iqram. Dia hanya merasa dia perlu diistimewakan kerana menunaikan tanggungjwabnya sebagai kekasih. Juga bukan salah si pemuda itu. Kebetulan saja dia ada dan menawarkan airnya.

Aku tercenung merenung siling.

Rasanya aku sudah menemukan jawapannya.  

1 comments:

Atie said...

aku suka cerpen ne.....

Post a Comment