Monday, January 28, 2013 | By: Luna Biru

Sepucuk surat untuk Tuhan


Aku menghembus sisa-sisa asap rokok di mulutku dengan hati yang masih panas. Setelah semua asapnya habis keluar, rokok yang sudah separuh itu kusedut lagi dalam-dalam. Aku dapat merasakan nikotin merasuki paru-paruku. Aku tersedak seketika. Pasti racun itu sudah mengotori paru-paruku hingga ia tidak mampu lagi bekerja dengan baik.
Rokok sialan! Makiku dalam hati. Atau manusia yang sialan? Sudah tahu merokok itu membahayakan kesihatan, tapi masih juga dibeli dan dihisap. Kubuang puntungnya ke lantai dan kupijak dengan kasutku. Puntung itu pun melunyai di lantai dermaga. Kalau itu Dani, alangkah baiknya, ketusku dalam hati.

Ah, Dani! Dani yang lebih bejat dari sebatang rokok. Setelah kuserah segala isi cintaku kepadanya, tega dia menghancurkannya untuk menikmati tubuh perempuan lain! Keperawananku sia-sia di tangan lelaki bernafsu serakah sepertinya. Perselingkuhannya dengan sahabat serumahku, Tasha memang tidak boleh dimaafkan lagi. Kedua-duanya pun sama jalangnya.
Aku terus menyumpah dalam hati. Sebatang rokok kunyalakan lagi. Suasana kala itu sudah sangat sepi. Hanya kudengar bunyi ombak yang memukuli kaki dermaga. Malam kian larut. Aku tidak tahu harus ke mana malam ini. Hatiku enggan balik ke rumah dan bersemuka dengan Tasha setelah peristiwa di disko tadi.
“Assalamualaikum...” tegur satu suara dari belakangku. Laju aku menoleh. Seorang lelaki separuh usia berdiri di sebelah kananku. Dia memakai baju kemeja putih berkotak dengan garis yang berwarna kuning muda. Cahaya bulan menimpa wajahnya hinggakan wajah itu bersinar cerah. Aku dapat melihat tanda-tanda tua di dahinya. Dia tersenyum memandangku. Senyuman yang manis, kukira. Barangkali dia pernah menjad lelaki tampan suatu ketika dulu. Mudah-mudahan saja dia tidak berniat jahat. Kalau pun iya, pasti akan kupijak dia seperti puntung rokokku tadi. 
“Walaikumsalam,” jawabku sepatah. Lalu menoleh lagi ke hadapan, menghadap laut.
“Boleh pakcik tanya, nak?”.
“Tanya apa?”
            “Anak ni yang kerja di pejabat pos tu, kan?”
            “Dari mana pakcik tahu?"
            “Pakcik selalu datang ke sana,”
            “Oh...Jadi?” jawabku tak acuh. 
            “Mahukah anak tolong mengirimkan surat ini?”
            “Kenapa tak masukkan saja ke peti pos?” gerutuku kesal. Aku memang kerja di pejabat pos. Tapi bukan posmen! Aku malah tidak berurusan sama sekali dengan surat kerana aku hanya bertugas menjaga cawangan dan sumber manusia di situ.
            “Sebab pakcik tak tahu alamatnya,”
            “Jadi, pergilah cari alamatnya dulu,”
            “Pakcik tak tahu alamatnya, nak,” dia mengulang ayatnya. Wajahnya meneran sedih yang melampau.
          “Kalau pakcik sendiri pun tak tahu, macamana saya nak tolong?” balasku geram. 
        Lelaki tua itu menarik nafasnya dalam-dalam. Melihatnya begitu, timbul sedikit kesal di hatiku. Setelah beristghfar, aku pun bersuara lembut.
            “Pakcik nak kirim surat ni pada siapa sebenarnya?”
            “Tuhan,”
Mendengar itu, aku terpempan. Tuhan? Hatiku yang sudah mulai menyurut tadi, kembali marak dengan kemarahan. Aku merasa dipermainkan. Mungkin pakcik ini orang gila dan akulah yang bodoh kerana membuang masa melayaninya.
“Kenapa perlu hantar surat pada Tuhan? Mahu memohon pekerjaan? Tiada kerja kosong jadi malaikat. Kalau mahu jadi syaitan, banyak. Itupun tak payah susah-susah memohon,” balasku bertubi. Sarkastik. Itulah yang dapat menggambarkan irama bahasaku kala itu.
 “Bukan...pakcik bukan nak mohon kerja,”
“Jadi?”
“Pakcik cuma nak memohon agar Dia mahu mengembalikan hati pakcik supaya dapat menyintainya kembali,”
Sekali lagi aku terpempan....

0 comments:

Post a Comment