.......Kalau
diibaratkan dia seperti enggang, maka aku adalah pipit itu. Ia adalah sebuah
melankolik yang klise, tapi nyata. Aku menyedari hakikat dan kekuranganku. Aku
memang tidak secantik gadis-gadis lain. Kata mama, dia sendiri terkejut melihat
raut wajahku sewaktu bidan menyerahkan aku ke pangkuannya. Aku memiliki
sepasang mata yang besar dan kuyu, mirip manusia yang mengantuk seumur hidup.
Bibirku agak tebal di bahagian atas, dan sedikit menjuih di bahagian
bawah. Hidungku tidak berbatang dan
mengembang di bahagian hujung. Keningku bersimpul, sementara telingaku sedikit
cupang dan agak tertangkup ke hadapan. Aku sangat berbeza dengan anak-anak mama
yang lain. Barangkali mama terserempak dengan alien saat mengandungkan aku.
Sejak
kecil lagi mama cuba menyakinkan aku bahawa kecantikan bukanlah hak mutlak yang
perlu dimiliki oleh setiap wanita, bahkan manusia. Manusia itu dinilai cantik
kerana ketajaman akalnya, budi pekertinya, kelembutan bahasanya juga pada
imannya. Kita barangkali tidak sempurna di mata manusia, namun itu semua tidak
penting. Apa yang penting ialah, kesempurnaan kita di mata Allah.
Selama
berpuluh tahun aku menyakini kebenaran kata-kata mama. Buktinya, meski tidak
memiliki pesona seperti gadis-gadis lain, tapi aku dikurniakan akal yang lebih
tajam dan bijaksana. Aku menjadi juara tegar di kelas saban tahun. Posisiku
tidak pernah dirampas oleh siapapun. Aku juga selalu menjadi pilihan utama guru-guru
untuk menjawat jawatan memimpin pelajar. Aku mengungguli acara debat dan
kokurikulum. Sebut saja namaku, si pencabar pasti menggigil gentar.
Namun
ketika usiaku mulai berganjak ke angka tiga puluhan, aku mulai sedar bahawa
kata-kata mama punya kelemahan yang mutlak. Selapis demi selapis cintaku
dikoyak pengkhianatan lantaran orang ketiga yang jauh lebih cantik dan sempurna
fizikalnya. Keyakinanku yang ampuh pada kenyataan bahawa cantik itu sebenarnya
terletak pada akal akhirnya hanya tinggal selembar benang. Hakikatnya, mata
tetap selalu menjadi hakim pertama dan akan kekal memilih yang indah-indah
untuk ditatap.
0 comments:
Post a Comment