Monday, January 28, 2013 | By: Luna Biru

Baby Boo


      Aku membuka mataku dengan keengganan yang melampau. Cahaya lampu kalimantang yang putih kekuningan menyilaukan pandangan mataku. Bunyi-bunyi suara melantang terdengar dari luar bilik. Bunyi suara itulah yang sering menjadi jam penggera membanguniku setiap subuh. Namun tidak biasanya suara itu ribut pada jam dini seperti ini. Siapalah yang memerlukan ribut saat fajar belum terbit di kaki horizon? Apalagi aku yang telah melalui sebuah kejadian malang kerana kehilangan nendaku yang tersayang tiga hari yang lalu. Musim sedihku belum berakhir. Penat mengurus jenazah dan kenduri nenek di kampung pun masih tersisa di badan.

Aku melemparkan selimutku ke kaki dan bangkit dari katil. Aku mendapati bantalku terhampar di atas lantai. Kepalaku terasa sedikit berpinar dan tengkukku sedikit lenguh. Aku paling tidak suka tidur tanpa bantal. Pasti sebentar lagi tengkukku kejang kerana aliran darah yang tidak sempurna ketika tidur.
Aku menguap mengusir kantuk. Lidahku terasa payau. Kelat di lidah itu menerbitkan rasa mual yang membuatkan aku teringin muntah. Aku melirik ke samping. Katil di sebelahku kosong. Aku lupa. Rita, teman sebilikku sudah seminggu keluar praktikal. Kalau dia ada, pasti kusuruh dia membuka pintu.  
Akhirnya, aku bangun menuju ke pintu kamar. Kelihatan beberapa orang siswi dengan baju tidur dan rambut yang berserabut berkumpul di hadapan lorong dorm. Mereka saling berpelukan dengan wajah kalut dan penuh ketakutan. Tong-tong sampah bergelimpangan di atas lantai. Sampah dan tuala wanita berhamburan tidak menentu.
            “Ada apa?” tanyaku.
Lima pasang mata kini sedang menatapku dengan sinar mata yang penuh ketakutan. Nancy, gadis kadazandusun yang datang dari pekan kecil di daerah Tambunan akhirnya bersuara.
            “A....ada....Balan....Balan...masuk ke bilikmu....” jawabnya dengan suara menggigil.
            Aku terperangah. “Hah? Balan-balan?” mataku bagai terbonjol keluar. Terkejut dan ngeri. Dua gabungan perasaan yang tidak kusukai sama sekali. Aku adalah makhluk Allah yang mempunyai perasaan takut yang melampau. Ketakutan pada hantu adalah satu cara hidup yang diterapkan pada kami sejak kecil. Hantu adalah obsesi yang mengerikan. Apalagi Balan-Balan!
            “Jangan main-main Nancy,” aku memberi amaran.
Nancy menggeleng kepalanya laju-laju.
“Aku juga melihatnya, Nis. Benda tu selongkar tong sampah dan jilat modes. Lepas tu, dia kejar kami waktu keluar dari tandas,” sahut Emelda.
            Oh, baiklah. Sekarang sudah ada dua orang saksi. Jadi aku tidak punya alasan untuk menafikan ketakutan mereka. Itu menjelaskan mengapa sampah bertaburan di lantai. Lagipun, secara rasionalnya, aku tidak fikir sahabat-sahabatku ini tergamak mengada-ngadakan cerita di tengah-tengah malam begini.
            Dalam waktu tidak sampai setengah hari, kisah balan-balan itu sudah menjadi bualan hangat bagi seluruh warga fakulti. Aku dijadikan sasaran pertanyaan sungguhpun tidak ada yang dapat kuceritakan kecuali mengitar semula cerita Nancy dan Emelda.
            Pelbagai teori pun muncullah.... 

0 comments:

Post a Comment