Monday, January 28, 2013 | By: Luna Biru

Kembara ke Dunia astral


Sudah tiga bulan, lebih sedikit anakku yang selalu manis dan manja itu tidur pulas di atas ranjangnya. Demikian asyiknya dia mengulit mimpi seakan tidak ada satupun yang mampu mengejutkannya. Tusukan demi tusukan jarum yang bersilih ganti menembusi kulit tangannya, urat kakinya atau bahkan kulit kepalanya juga tidak mampu menggoyahkan mimpinya. Dia bagaikan puteri salju yang tewas akibat termakan epal beracun. Kami pula adalah tujuh orang kerdil yang setia menantinya membuka mata. Kami telah menciumnya beratus kali dengan kesejatian cinta yang tiada sumbingnya. Namun sepasang kelopak matanya tetap tidak pernah sudi terbuka. Putera manakah yang ditunggunya? Sungguh, aku tidak mengerti apa yang ditunggunya hingga dia lena dalam tempoh yang sebegitu lama. Tidak adakah yang dapat membuatnya jaga?

            “Koma adalah suatu keadaan di mana pesakit kehilangan kesedaran yang sangat dalam. Ia bukanlah suatu penyakit tetapi merupakan respon kepada penyakit yang bersangkutan dengannya. Pesakit dikatakan koma apabila mereka tidak dapat memberikan respons normal terhadap rasa sakit atau rangsangan cahaya. Ia berlaku apabila berlakunya trauma kecederaan yang serius yang berlaku pada otak dan tulang belakang. Selainnya, adalah akibat kerosakan pada pangkal hati,”
            Demikian penjelasan para genius pakar kesihatan dari hari pertama Nisha kami hantar ke hospital. Penjelasan saintifik itu sama saja bunyinya walau ke manapun Nisha kami usung selepas itu.
            “Jadi anak kami mengalami jenis koma yang mana satu? Jangkitan pada otak atau hati?” Tanya suamiku, selaku jurucakap. Dia memang selalu lebih tenang berbanding aku. Sedang aku, tetap selalu tenggelam dalam ketewasan air mata dan emosi.
“Malangnya, hasil dignosis kami menunjukkan bahawa kedua-duanya tidak mengalami sebarang masalah. Anak puan sihat secara fizikal. Dia hanya tidur. Benar-benar tidur,”
            Kali pertama mendengarnya, aku bingung. Tidak mungkin ada manusia normal yang tidur tanpa dapat dibangunkan? Tapi bila berkali-kali kata-kata yang sama dipaksa masuk ke telingaku, aku mulai jenuh. Aku sudah muak mendengar penjelasan yang pastinya akan berakhir dengan nasihat supaya kami terus bersabar.
            Klise.
            Kesabaran bagiku hanyalah sebuah kata-kata penyedap suasana yang semakin tiada maknanya. Tidak adakah kalimah penutup yang lebih baik dari itu? Hakikatnya, kesabaranku itu sebenarnya sudah senipis kulit mataku. Aku tidak tahu sampai bila lagi kesabaran itu mahu kuajak berunding....

0 comments:

Post a Comment